Friday, March 5, 2010

Penggunaan rangkai kata 'salah seorang daripada'

Pengguna bahasa Melayu sering menggunakan rangkai kata salah seorang daripada, seperti dalam ayat yang berikut:
  1. Salah seorang daripada pelumba-pelumba itu telah mengalami kekejangan otot di kaki kirinya.
  2. Salah seorang daripada semua pelumba itu telah mengalami kekejangan otot di kaki kirinya.
  3. Salah seorang daripada pelumba itu telah mengalami kekejangan otot di kaki kirinya.

Semua ayat tersebut tidak gramatis. Ayat 1 hingga 3 tidak gramatis kerana rangkai kata salah seorang daripada mempunyai kelewahan bahasa. Rangkai kata yang tepat ialah seorang daripada atau salah seorang.

Selain itu, frasa nama pelumba-pelumba dan semua pelumba tidak tepat apabila digunakan dalam ayat tersebut. Hal itu dikatakan demikian kerana dalam konteks ketiga-tiga ayat itu, rangkai kata seorang daripada atau salah seorang sudah membawa konsep jamak. Oleh itu, frasa nama pelumba-pelumba dan semua pelumba yang mengikutinya dianggap lewah.

Ayat yang gramatis ialah ayat yang berikut:

4. Salah seorang pelumba itu telah mengalami kekejangan otot di kaki kiri.

5. Seorang daripada pelumba itu telah mengalami kekejangan otot di kaki kiri.

(Dipetik daripada ruangan Soal Jawab Bahasa, Pelita Bahasa Februari 2010, DBP)

Wednesday, March 3, 2010

Penggunaan Kata Sendi Nama Dari dan Daripada

Sebenarnya kata sendi nama dari dan daripada mempunyai pengertian yang berbeza dalam sistem tatabahasa Melayu.

1 : Dari: Kata sendi dari digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat, waktu atau masa.

Contohnya :
  • Ahmad datang dari mana?
  • Keadaannya semakin tenat dari sehari ke sehari.

2 : Daripada : Kata sendi daripada hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan perkara berikut :

a) Menyatakan punca bagi manusia, institusi, haiwan, benda dan unsur mujarad. Contoh:

  • Ali menerima sepucuk surat daripada ibunyayang kini sedang menunaikan fardu haji.
  • Ahmad dapat menyelesaikan masalah itu hasil daripada ketabahannya menghadapi dugaan.

b) Menyatakan maksud sumber atau asal kejadian sesuatu benda.

  • Kain yang dipakai oleh Puan Mariam diperbuat daripada sutera.
  • Raja menerima berita kemenangannya dalam pertandingan melukis daripada berita yang disiarkan melalui televisyen.

c) Menyatakan sebahagian daripada semua. Contoh :

  • Enam orang daripada mereka mati disambar petir.
  • Sebahagian daripada pelajar sudah pulang ke rumah masing-masing.

d) Menyatakan perubahan , perbezaan atau perbandingan contoh :

  • Adik lebih tinggi daripada abang
  • Pendapatan yang dikemukakan jauh lebih matang daripada usianya yang sebenar.

e) Kata sendi nama daripada boleh hadir di hadapan kata kerja atau frasa kerja dan kata adjektif atau frasa adjektif apabila digunakan untuk menyatakan perbezaan atau perbandingan. Contohnya :

  • Lebih baik menjawab soalan daripada tidak menjawab langsung.
  • Daripada duduk sahaja di rumah lebih baiklah beramal ibadat, membersihkan kawasan masjid dan lain-lain.