Tuesday, September 6, 2011

Isi dan olahan isi

Teknik penyampaian karangan berikut boleh dicontohi:

Hutan merupakan kawasan terbesar di muka bumi ini selepas lautan. Situasi ini menggambarkan betapa bermaknanya hutan kepada manusia. Apakah yang akan terjadi jika hutan-hutan ini dimusnahkan? Penebangan pokok-pokok tanpa had akan menyebabkan kemusnahan hutan hujan tropika. Keadaan ini akan menyebabkan sistem ekologi yang membekalkan udara bersih kepada manusia akan terganggu. Kawasan hutan yang menjadi kediaman hutan juga musnah. Lalu haiwan-haiwan ini akan hilang tempat mencari makanan.

Aktiviti penggondolan hutan yang berpunca daripada kerakusan manusia menebang pokok-pokok boleh menyebabkan berlakunya banjir lumpur. Kawasan tanah tinggi seperti bukit akan mudah runtuh apabila tiada pokok yang menahan kehadiran hujan di atasnya. Keadaan ini akan menyebabkan kawasan rendah di sekitarnya diancam banjir lumpur akibat hakisan tanah di lereng-lereng bukit. Ekoran itu, nyawa manusia dan haiwan-haiwan turut terancam. Hutan yang ada di muka bumi ini juga dianggap sebagai kawasan rumah hijau. Kemusnahan hutan bermakna tempat berteduh bagi spesies haiwan akan terganggu. Mereka akan kepanasan akibat peningkatan haba, kesan rumah hijau dan juga pancaran matahari. Malah, bagi kawasan yang rendah, kemungkinan ditenggelami air boleh berlaku apabila hujan tidak dikawal oleh pokok-pokok yang sudah ditebang.

Lebih malang lagi, kita akan melihat kepupusan habitat haiwan yang menghuni hutan sejak sekian lama apabila hutan-hutan ini musnah. Haiwan-haiwan liar ini jika tidak mati kelaparan, mungkin akan pergi ke kawasan kampung berdekatan untuk mencari makanan. Hal Ini akan mengancam keselamatan penduduk berhampiran. Sehubungan itu, aktiviti penanaman pokok hendaklah dilakukan secara terancang bagi mengelakkan implikasi buruk sama ada kepada manusia mahupun hidupan-hidupan lain.

Thursday, September 1, 2011

Buku Baru Yang Telah Dibaca : Memecah Masalah (Soal Jawab Guru)


Karya Cikgu Norbi elok dibaca
oleh semua pendidik

Mengajar sebagai proses membina manusia cemerlang bukanlah satu tugas yang mudah. Sebagai sebuah aktiviti penyampaian ilmu, mengajar memerlukan kebijaksanaan, kreativiti, kejujuran dan kesabaran dalam pelaksanaannya. Elemen-elemen ini perlu diadunkan menjadi satu untuk membentuk kecemerlangan pelajar, sekolah dan guru itu sendiri.

Guru perlu mempunyai seni mengajar dan bersikap kreatif. Ramai yang mampu mengajar tetapi bukan semua orang dapat mengajar dengan baik, menarik dan berkesan. Melalui buku ini, penulis menjelaskan sikap yang perlu ada pada seorang guru untuk menjadi seorang guru yang cemerlang dan disenangi oleh rakan-rakan guru lain.

Budaya kerja kelas pertama perlu sentiasa dipraktikkan selain inisiatif untuk mempelbagaikan pedagogi pengajaran supaya pelajar tidak akan berasa bosan dengan kaedah yang sama setiap hari.