TAJUK
:
PERMAINAN TRADISIONAL
TUGASAN
:
CARA-CARA MEMPOPULARKAN PERMAINAN TRADISIONAL
FORMAT
:
TIADA
ISI-ISI PENTING :
Individu mencari maklumat berkaitan permainan tradisional
Ibu bapa beri sokongan kepada anak-anak
Peranan pihak sekolah yang menubuhkan kelab permainan tradisional
Peranan kerajaan melalui media massa
Peranan pihak swasta
CONTOH KARANGAN (YANG MUDAH - SESUAI UNTUK KATEGORI MURID PENCAPAIAN SEDERHANA)
Permainan tradisional ialah permainan yang dimainkan oleh masyarakat
dahulu pada masa lapang. Antara permainan tradisional yang mendapat
sambutan masyarakat ialah layang-layang, congkak dan batu seremban. Namun
demikian, permainan tradisional semakin dilupakan oleh generasi
muda. Oleh sebab itu, pelbagai usaha perlu dilakukan untuk
mempopularkan permainan tradisional ini.
Antara cara mempopularkan permainan tradisional ini ialah kita perlu
mencari maklumat tentang permainan tradisional tersebut. Setelah
maklumat diperoleh , kita perlu mencuba permainan tersebut dengan ahli
keluarga. Kita juga boleh mengambil bahagian dalam pertandingan permainan
tradisional yang dianjurkan oleh mana-mana pihak. Sebagai contoh pertandingan
permainan congkak. Dengan ini, jelaslah bahawa generasi muda perlu
mempopularkan permainan tradisional negara kita.
Ibu bapa pula, perlu memberi sokongan kepada anak-anak dengan cara
membelikan peralatan permainan tradisional. Ibu bapa juga boleh membawa
anak-anak menyaksikan pertandingan permainan tradisional ini. Selain itu,
ibu bapa boleh membawa anak-anak melawat ke muzium dan galeri seni untuk melihat
dengan lebih dekat peralatan permainan tradisional ini di samping memahami
cara-cara permainan ini dimainkan. Usaha-usaha yang dilakukan oleh ibu
bapa ini dapat mempopularkan permainan tradisional.
Pihak sekolah juga boleh menubuhkan kelab permainan tradisional.
Dengan tertubuhnya kelab permainan tradisional ini, ahli-ahli kelab dapat
menganjurkan pertandingan. Sekolah juga boleh menghantar ahli-ahli kelab
mengikuti kursus permainan tradisional bagi menarik minat pelajar melibatkan diri
dalam permainan ini. Peserta yang mengikuti kursus hendaklah diberi sijil
penyertaan dan penghargaan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa pihak
sekolah berperanan penting untuk mempopularkan permainan tradisional.
Kerajaan perlu mempromosikan permainan tradisional melalui televisyen dan
surat
khabar. Usaha ini boleh dilakukan melalui kempen yang berterusan.
Sebagai contoh, kerajaan mengadakan karnival pertandingan tradisional seperti
Pesta Layang-layang yang diadakan di Pasir Gudang, Johor setiap tahun. Melalui
Kementerian Belia dan Sukan kerajaan boleh mengadakan kursus permainan
tradisional ini untuk golongan belia. Hal ini secara tidak langsung
dapat mengurangkan gejala sosial dalam kalangan remaja. Usaha kerajaan
ini dapat menarik kedatangan pelancong asing ke negara kita sekali gus dapat
mempopularkan permainan tradisional ini.
Sementara pihak swasta pula boleh menganjurkan pertandingan permainan
tradisional ini. Pihak swasta boleh menjadi penaja bagi pertandingan yang
dianjurkan dengan menyediakan hadiah yang lumayan. Sebagai contoh,
penganjur menyediakan hadiah berbentuk tiket pelancongan ke luar negara kepada
para pemenang. Hal ini dapat menarik penyertaan pelbagai lapisan
masyarakat untuk menyertainya. Pendek kata, jelaslah bahawa pihak swasta
juga memainkan peranan penting dalam mempopularkan permainan tradisional
negara ini.