Wednesday, April 1, 2015

TATABAHASA BAHASA MELAYU - KATA GANTI NAMA

Petikan diambil daripada Laman Cikgu Mohd Zaki Hj. Awang Mat (bmspm.net)


A. KESALAHAN PENGGUNAAN KATA GANTI NAMA:
1. Jenis kata ganti nama:
a. Ganti nama diri pertama
: aku, saya, hamba, patik, kami, kita, beta
b. Ganti nama diri kedua : awak, engkau, kau, mu, kalian, kamu, saudara/i, tuan/puan,
cik, encik
c. Ganti nama diri ketiga : dia, mereka, baginda, Tuhan, orang itu, pelajar itu, ia

2. Jenis kesalahan kata ganti nama:

i. ‘ia’ tidak boleh digunakan untuk binatang atau benda. (‘ia’ - untuk manusia sahaja)
Salah:
- Ayam itu berkokok. Ia berkokok dengan kuat.
- Kereta itu rosak. Ia rosak semalam.
Betul:
-Ayam itu berkokok. Ayam itu berkokok dengan kuat.
-Ayam itu berkokok dengan kuat.
-Kereta itu rosak semalam

ii. ‘ia’ tidak boleh disambung dengan ‘nya’.
Salah:
-Ia dimarahi guru kerana ianya jahat.
Betul:
-Ia dimarahi guru kerana ia jahat.

iii. Kata ganti nama tidak boleh digandakan. (kecuali ‘tuan/ puan, saudara/i, encik’)
Salah:
-Mereka-mereka semua sedang tidur.
-Kamu-kamu semua perlu sedar.
Betul:
-Mereka semua sedang tidur.
-Kamu semua perlu sedar.

 iv. Singkatan ‘mu’ dan ‘ku’ mesti dicantumkan dengan objek.
Salah:
-Saya akan pergi ke rumah mu.
-Sudah ku baca buku itu.
Betul:
-Saya akan pergi ke rumahmu.
-Sudah kubaca buku itu.

v. Gelaran kata nama khas mesti dengan huruf besar.
Salah:
-Nama guru saya encik Manaf.
-Kucing jantan itu ialah si Tompok.
Betul:
-Nama guru saya Encik Manaf.
-Kucing jantan itu ialah Si Tompok.

vi. ‘Tuhan’ mesti dieja dengan huruf besar.’ Nya’ untuk Tuhan mesti ada tanda sengkang dan berhuruf besar.
Salah:
-Semoga tuhan memberi rahmatnya kepada kita.
Betul:
-Semoga Tuhan memberi rahmat-Nya kepada kita.

vii. Jawatan yang bilangannya sedikit atau 'khas' mesti dengan huruf besar.
Salah:
-Perdana menteri akan ke Singapura.
-Beliau datang dengan menteri pertanian.
Betul:
-Perdana Menteri akan ke Singapura.
-Beliau datang dengan Menteri Pertanian.

viii. ‘ia’ dan ‘dia’ tidak boleh untuk orang dihormati atau yang lebih tua. (gunakan ‘beliau’)
Salah:
-Pegawai itu tidak hadir kerana ia sakit.
-Perdana Menteri demam kerana dia terkena hujan.
Betul:
-Pegawai itu tidak hadir kerana beliau sakit.
-Perdana Menteri demam kerana beliau terkena hujan.

ix. ‘beliau’ tidak boleh untuk orang jahat atau kanak-kanak.
Salah:
-Beliau ditangkap kerana merompak.
-Beliau masih bayi lagi, cikgu.
Betul:
-Dia/ ia ditangkap kerana merompak.
-Dia/ ia masih bayi lagi, cikgu

(Terima kasih Cikgu Mohd Zaki - maaf dipetik tanpa izin, niat nak bantu murid)

Faedah Sukan Kepada Masyarakat



 Sukan bukanlah semata-mata aktiviti fizikal yang dilakukan untuk mengisi masa lapang atau sebagai riadah kecil mengeluarkan peluh.Mutakhir ini ,pemodenan sukan bergerak seiring dengan kemajuan dunia dan membawa falsafah yang lebih berat. Pertumbuhan pelbagai bidang sukan yang rancak ini digerakkan dengan lebih dinamik dan profesional. Penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga telah banyak membawa manfaat. Ironinya, penglibatan masyarakat dalam bidang sukan dapat menunaikan pelbagai hasrat bukan sekadar pertarungan di gelanggang sahaja. Persoalannya, apakah faedah-faedah bersukan kepada maasyarakat? 

Salah satu daripada faedah bersukan ialah kegiatan sukan dapat membantu mengekalkan kesihatan fizikal dan mental. Kehidupan zaman moden ini lebih banyak menggunakan tenaga dalaman dan pemikiran.Golongan profesional dan separa profesional dalam membangunkan negara sering kali terpaksa mengabaikan kegiatan fizikal kerana kekurangan waktu untuk tujuan tersebut. Kesibukan semua lapisan masyarakat ini membawa kepada masalah kesihatan fizikal dan mental. Penglibatan golongan kanak-kanak , remaja dan orang dewasa dalam pelbagai kegiatan sukan dapat menyelesaikan pelbagai masalah kesihatan. Kegiatan sukan merupakan langkah awal seperti kata pepatah “sediakan payung sebelum hujan” dalam mengawal obesiti, penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetis dan penyakit jantung. Kegiatan sukan juga dapat membantu mereka yang telah menghidap penyakit untuk kembali pulih. Penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga mampu menangani ketegangan fikiran dan meringankan bebanan mental. Sesungguhnya kegiatan sukan dapat melancarkan perjalanan darah, mengurangkan lemak yang berlebihan dalam salur darah dan jantung ,membantu perkumuhan dan membuang sisa-sisa yang tidak diperlukan oleh badan. Tegasnya, penglibatan dalam bidang sukan merupakan usaha efektif dalam melahirkan masyarakat yang sihat.

Selain itu, bersukan juga dapat mengisi masa lapang seseorang. Masa lapang sebenarnya amat berharga bagi setiap individu atau masyarakat. Seseorang yang melibatkan diri dalam bidang sukan juga adalah satu cara mengisi masa lapang dengan berfaedah. Masa itu emas, walaupun hanya ada beberapa minit, masa itu sangat berharga. Masa lapang ini sangat bermanfaat jika digunakan untuk bersukan bagi mengembalikan tenaga dan melegakan ketegangan. Bagi golongan remaja pula, penglibatan dalam bidang sukan dapat menghindarkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral, vandalisme dan membuang masa sia-sia seperti melepak, merokok dan terlibat dalam pengambilan dadah. Sukan dapat menarik masyarakat ke arah memanfaatkan masa lapang dengan cara yang lebih baik. Kesan yang jelas ialah sukan mampu meningkatkan swadaya masyarakat dan melangkah gagah dengan yakin ke peringkat antatabangsa walaupun melalui ranjau pidana dunia persaingan hari ini. Sesungguhnya sukan dapat mendisiplinkan masyarakat memanfaatkan masa dengan lebih bermakna. 

Di samping itu, sukan merupakan salah satu wahana penting untuk mengeratkan hubungan perpaduan dan integrasi masyarakat. Hal ini demikian kerana, kegiatan sukan dapat melahirkan semangat kekitaan dalam pasukan untuk meraih kemenangan. Sifat bersatu padu juga dapat dipupuk melalui penglibatan dalam kegiatan sukan kerana bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Lantaran itu, hubungan yang erat dapat melahirkan sebuah pasukan yang kuat. Para penyokong juga dapat menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di samping berkongsi minat dalam sukan yang sama. Dengan ini, nilai-nilai perpaduan seperti bekerjasama, bertoleransi dan meletakkan kepentingan negara dan pasukan melebihi kepentingan diri dapat dilahirkan melalui penglibatan diri dalam bidang sukan. Justeru , kegiatan sukan dapat mendidik masyarakat bekerjasama dan bersatu padu serta mengeratkan hubungan.
 

Akhir sekali, sukan juga mampu memberi ruang untuk menambahkan pendapatan secara individu dan kumpulan. Atlet yang mencapai tahap kemahiran profesional boleh menjadikan sukan sebagai kerjaya yang lumayan. Penganjuran dan pengusaha peralatan dan prasarana sukan juga mampu menjana pendapatan yang besar. Serentak dengan kegiatan sukan secara serius di peringkat glokal dan global mampu menjana keuntungan melalui kadar tukaran wang asing. Seiring dengan itu, industri hiliran muncul bersama perkembangan sukan yang diceburi. Kemajuan sukan menampakkan hala tuju anak muda yang berkebolehan mengembangkan bakat dan potensi menjadikan sukan sebagai kerjaya masa depan mereka. Pemain bola sepak secara professional, pemain badminton seperti Datuk Lee Chong Wei dan Shalin Zulkifli masing-masing menjadikan badminton dan bowling sebagai kerjaya. Jelaslah sukan juga dapat menjadi kerjaya yang baru kepada masyarakat.

Kesimpulannya, penglibatan dalam bidang sukan akan membawa pelbagai faedah kepada masyarakat.Oleh itu , semua lapisan masyarakat amat digalakkan menyertai semua jenis sukan. Sukan diharapkan dapat melahirkan masyarakat yang sihat, bersatu padu, berdaya maju dan berdaya saing. Sukan juga mampu mengangkat martabat rakyat dan negara di persada antarabangsa agar mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan Negara maju yang lain. Sesungguhnya , sukan berfaedah kepada individu, masyarakat dan negara. Tegasnya, kegiatan sukan wajar digalakkan kepada semua lapisan masyarakat

Tuesday, March 31, 2015

Karangan Pelajar : Perpaduan Kaum



Kehidupan masyarakat yang harmoni bergantung kepada perpaduan kaum dalam kalangan rakyat.
Bincangkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini.

            Dewasa ini, pelbagai perubahan dan perkembangan dapat dilihat di negara kita Malaysia. Sebagai contohnya, kejayaan pembinaan menara yang tertinggi di dunia, Menara Kuala Lumpur dan jambatan yang terpanjang di Asia Tenggara iaitu Jambatan Pulau Pinang dan yang terkini ialah pembinaan Jambatan Pulau Pinang Kedua. Kejayaan-kejayaan Malaysia hari ini adalah disebabkan oleh perpaduan antara rakyat berbilang kaum. Bagi rakyat Malaysia, perpaduan antara kaum amatlah penting untuk melahirkan sebuah negara yang aman dan damai. Oleh itu, bagi mengekal di samping mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini, maka langkah-langkah yang sewajarnya harus diambil.
            Bagi mengukuhkan perpaduan antara kaum, masyarakat memainkan peranan yang sangat penting. Masyarakat haruslah menghayati nilai-nilai murni seperti nilai toleransi dalam pergaulan seharian supaya perselisihan faham tidak berlaku. Di kawasan perumahan, pelbagai aktiviti kemasyarakatan dapat dijalankan. Contohnya, aktiviti membersihkan alam sekitar dan aktiviti kejiranan yang lain supaya hubungan silaturahim antara kaum dapat dieratkan. Aktiviti rumah terbuka pada hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri juga dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain. Selain itu, melalui aktiviti seumpama ini, sesuatu kaum  mempunyai peluang untuk memahami adat resam serta makanan tradisi kaum lain. Hal ini secara tidak langsung telah mendalamkan pengetahuan kita terhadap kaum yang lain dan dapat mengurangkan peluang menyentuh pantang larang kaum lain.
             Seterusnya, ibu bapa juga berperanan penting dalam hal ini kerana ibu bapa merupakan model kepada anak-anak mereka. Oleh itu, ibu bapa perlulah menunjukan sikap yang baik dan bertolak ansur dengan orang lain terutamanya yang berbeza kaum supaya anak-anak mereka dapat mempelajari nilai yang baik daripada mereka. Sekiranya seorang bapa memarahi dan mengatakan isu sensitif antara kaum, tentu anak mereka akan terpengaruh kerana bapa borek, anak rintik. Ibu bapa juga haruslah mendidik anak-anak mereka tentang nilai toleransi dan juga adat resam kaum lain sejak dari kecil lagi bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini secara langsung boleh mengurangkan perselisihan faham antara kaum.
             Tambahan pula, dalam usaha mengukuhkan perpaduan antara kaum, kerajaan memainkan peranan yang terpenting kerana merekalah yang memimpin rakyat Malaysia. Pihak kerajaan seharusnya menggalakkan dan memberi sokongan kepada aktiviti-aktivit yang diadakan oleh badan-badan bukan kerajaan yang bertujuan untuk memupuk perpaduan antara kaum. Pihak kerajaan juga boleh mewujudkan dasar-dasar dan slogan-slogan yang bertujuan menyatupadukan rakyat Malaysia. Contohnya, konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri kita Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak. Banyak aktiviti telah diadakan dengan jayanya berdasarkan konsep tersebut dan masyarakat perlulah menyokong aktiviti-aktiviti sebegini. Seterusnya, dalam dasar pentadbiran kerajaan tidak haruslah mengabaikan atau mementingkan mana-mana kaum dan perlu mentadbir dengan adil dan saksama.
             Di samping itu, sekolah memainkan peranan yang agak penting juga dalam menyatupadukan semua kaum. Hal ini kerana kebanyakan masa murid-murid pada hari ini adalah di sekolah. Oleh itu, sekolah memberi pengaruh yang agak besar kepada para pelajar. Sekolah seharuslah menerapkan kepentingan perpaduan dan nilai-nilai murni dalam proses pembelajaran dan  pengajaran. Menerusi pengajaran mata pelajaran Pendidik Sivik dan Kewarganegaraan serta Sejarah, guru-guru perlulah memberitahu betapa pentingnya perpaduan kepada rakyat Malaysia dan kesusahan pemimpin-pemimpin kita yang terdiri daripada berbilang kaum menuntut kemerdekaan daripada kerajaan British. Guru-guru juga boleh menceritakan implikasi sekiranya rakyat tidak bersatu padu. Contohnya, tentang rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969.
            Selain itu, media massa pada hari ini juga membawa pengaruh yang besar kepada rakyat Malaysia sama ada media cetak ataupun media elektronik. Media massa boleh menyiarkan iklan-iklan serta rancangan-rancangan yang berunsurkan perpaduan. Contohnya, kartun ‘Upin dan Ipin’ yang menceritakan kehidupan kanak-kanak yang berbilang kaum. Media massa tidak seharuslah mamaparkan isu-isu sensitif yang boleh menyebabkan kemarahan mana-mana kaum. Orang yang menemu ramah dan orang yang ditemu ramah tidak haruslah menyentuh isu sensitif antara kaum. Penyebaran khabar angin seperti orang Melayu ingin membunuh orang Cina melalui Internet ataupun telefon bimbit juga tidak boleh dilakukan. Hal-hal ini tidak sepatutnya berlaku di negara kita dan pihak-pihak yang menyentuh isi sensitif kaum perlulah dijatuhkan hukuman kerana isu-isu ini boleh menyebabkan rakyat Malaysia berpecah belah dan sejarah hitam berkemungkinan berulang lagi.
             Deduksinya, Malaysia, sebagai sebuah negara yang sedang berkembang.Rakyatnya telah menerima pendidikan dan mengetahui kebaikan dan keburukan sesuatu keputusan seharusnya bersatu padu kerana sepakat membawa berkat. Sekiranya rakyat Malaysia tidak bersatu padu, ekonomi negara kita tidak akan berkembang dan politik kita akan tidak stabil di samping membawa kesan buruk kepada negara kita iaitu sekali lagi dijajah oleh kuasa lain. Perpaduan teras kejayaan! Sekiranya rakyat Malaysia menginginkan sebuah negara yang aman damai serta berkembang maju, rakyat Malaysia yang berbilang kaum haruslah bersatu padu dan bersama-sama merealisasikan Gagasan Satu Malaysia dan Wawasan 2020!

Ali Redha 5RKA

                                                                                                                                 

Tuesday, February 10, 2015

Karangan Bertema Alam Sekitar


Persembahan Kumpulan Siti Fatimah

Disampaikan pada 9 Februari 2015 dalam Kelas BM 5RKA (SMKPBG)
 

Peranan Pelbagai Pihak Menangani Isu Pencemaran Alam

 Seiring dengan pembangunan pesat yang dijalankan di negara ini sejak satu dasawarsa dahulu, negara kita telah menghadapi pelbagai masalah dan halangan dalam usaha menuju ke Wawasan 2020 yang diidam-idamkan. Selama ini, masalah kebersihan awam dan alam sekitar telah berakar umbi di negara ini serta menjadi semakin kronik belakangan ini bagai bangkai gajah yang tidak dapat ditutupi dengan nyiru lagi. Masalah sosial tersebut tidak seharusnya dipandang enteng memandangkan isu tersebut berkait rapat dengan kesihatan rakyat negara ini. Sebab-sebab berlakunya pengabaian kebersihan awam dan alam sekitar hendaklah dikenal pasti supaya langkah-langkah pencegahan dapat diambil demi kesejahteraan hidup sejagat. Sayugia diingatkan bahawa masalah kebersihan awam dan alam sekitar dapat mendatangkan kesan buruk yang tidak diingini terhadap kesihatan rakyat. Secara keseluruhannya, langkah-langkah yang proaktif dan efektif harus diberikan penekanan dalam usaha mengatasi masalah tersebut. Oleh itu, semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi.

Ibu bapa memainkan peranan yang signifikan dalam memastikan kebersihan awam dan alam sekitar terjamin. Ibu bapa haruslah menitikberatkan didikan agama yang mantap dalam diri kanak-kanak sejak bangku sekolah lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Semua agama menekankan aspek kebersihan dan menegah penganutnya daripada melakukan kekotoran yang akan menjejaskan kemaslahatan awam. Dengan adanya didikan agama yang teguh, insan yang mementingkan kebersihan di tempat awam atau kebersihan alam sekitar dapat dilahirkan. Selain itu, ibu bapa harus menunjukkan perlakuan yang baik dalam aspek kebersihan tanpa mengira di mana jua berada kerana tingkah laku mereka akan menjadi teladan dan ikutan anak-anak mereka kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Ibu bapa tidak seharusnya bersikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus, sedangkan dirinya berjalan senget. Misalannya, ibu bapa haruslah membuang sampah ke dalam tong sampah dan menggunakan tandas awam dengan baik. Dengan ini, anak-anak yang masih berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang akan mencontohi perbuatan ibu bapa mereka dan akan dijadikan sebagai amalan dalam kehidupan mereka kerana alah bisa tegal biasa. Jadi, didikan ibu bapa amat penting dalam memastikan kebersihan tempat awam dan alam sekitar terpelihara.

 

Selain itu, guru juga memainkan peranan yang penting dalam memupuk nilai kebersihan dalam sanubari para pelajar. Pendidikan Moral dan Pendidikan Agama yang menekankan pembentukan insan yang berkeperibadian mulia dan murni telah diterapkan dalam sistem pendidikan negara kita. Guru perlu mengajar murid tentang kepentingan mengamalkan nilai kebersihan dalam hidup terutamanya yang melibatkan kemaslahatan umum seperti tandas awam dan kawasan rekreasi. Guru tidak seharusnya leka dalam menjalankan obligasi mereka sebagai pendidik yang berkesan kerana setiap ajaran guru akan melekat dalam sukma pelajar dan akan diaplikasikan dalam kehidupan mereka. Sehubungan dengan itu, guru perlu menitikberatkan aspek kebersihan di dalam kelas dan di kawasan sekolah di samping menekankan kepentingan penjagaan kebersihan alam sekitar dengan melarang murid daripada membuang sampah di merata-rata tempat. Konsep bersih ini diperluas bukan sahaja di dalam kelas tetapi kepada kehidupan yang lebih menyeluruh. Pihak sekolah dan guru boleh membina taman mini dan landskap supaya keadaan sekolah lebih cantik dan hijau. Mata pelajaran Pendidikan Moral dan Pendidikan Agama Islam perlu diajar oleh guru-guru dengan pengisian aktiviti pembelajaran yang menarik dan berkesan supaya obejektif yang dirancang tidak tersasar. Langkah yang dijalankan dengan penuh istiqamah ini sudah pasti dapat mendidik generasi muda kita tentang kemaslahatan amalan kebersihan.

 

Peranan media massa juga tidak dapat diketepikan memandangkan media massa seperti radio, televisyen dan suratkhabar mendatangkan pengaruh yang mendalam dalam kehidupan sehari-hari. Rancangan dan program yang dapat menyemaikan sikap rakyat menjaga kebersihan awam harus disiarkan melalui saluran media bercetak dan media elektronik dari semasa ke semasa untuk menyedarkan rakyat tentang peri pentingnya kebersihan terhadap kesihatan masyarakat. Kempen-kempen kebersihan awam seperti  Cintailah Sungai Kita dan slogan Negara Bersih Sihat patut digiatkan dan diharapkan dapat membangkitkan kesedaran sivik masyarakat negara ini untuk memelihara kebersihan awam. Kempen-kempen yang dijalankan oleh pihak media massa perlulah berketiak ular dan bukannya hangat-hangat tahi ayam. Melalui kempen kesedaran ini, masyarakat diseru untuk menjaga kebersihan alam sekitar dan tempat awam. Dengan ini, sedikit sebanyak langkah ini dapat membendung dan memastikan bahawa kualiti kebersihan alam sekitar dan tempat awam senantiasa bersih dan dijaga. Jadi, kempen kesedaran ini dapat mencapai matlamatnyai apabila semua rakyat sedar akan kepentingan alam sekitar. 

 

            Dalam pada itu, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan isu kebersihan seperti Akta Alam Sekitar 1971 dan Akta kilang 1974 bagi mengatasi masalah kebersihan awam. Hukuman yang lebih berat harus dijatuhi ke atas mereka yang bersikap bena tak bena terhadap kebersihan awam. Denda wang ringgit nampaknya masih kurang berkesan untuk menyedarkan rakyat negara ini berubah sikap. Sekiranya perbuatan mencemarkan alam sekitar dan tempat awam masih diulangi, denda yang berlipat ganda harus dikenakan dan disertai dengan hukuman yang lebih tegas. Misalannya, negara Singapura telah mengusulkan banyak cadangan yang membina dalam usaha membasmi masalah kebersihan awam. Antaranya ialah rakyat negara itu yang ditangkap membuang sampah sarap atau puntung rokok ke atas lantai di tempat awam akan dikenakan denda yang tinggi di tempat kejadian itu juga oleh pegawai polis yang bertugas. Bagi menjaga maruah diri supaya tidak ditegur atau dikritik ole orang ramai, mereka yang bersalah sudah tidak berani untuk mengulangi perbuatan terkutuk itu di tempat awam. Maka, tidak mustahillah negara Singapura digelar Taman Bandar Raya yang terkenal dengan kebersihannya. Oleh itu, kita harus mencontohi ketegasan undang-undang negara Singapura kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Sesungguhnya ketegasan undang-undang mampu melahirkan individu yang menitikberatkan aspek kebersihan dalam kehidupan 

 

            Secara tuntas, kebersihan awam dapat dijaga dan dipelihara melalui komitmen daripada pelbagai pihak. Sikap individualistik dan ketiadaan kesedaran sivik terhadap kebersihan awam perlu dikikis. Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad pernah meluahkan perasaan kecewa beliau terhadap sikap rakyat negara ini yang memandang remeh terhadap kebersihan awam setelah melihat keadaan di sekeliling Bukit Bintang yang menjijikkan, ditimbuni sampah sarap yang dihinggapi lalat. Beliau telah menyarankan rakyat Malaysia supaya mengamalkan sikap mementingkan kebersihan awam dalam kehidupan sehari-hari. Kebersihan tempat awam sememangnya merupakan aspek yang amat penting untuk menjamin keharmonian sejagat. Kita tentu tidak ingin generasi yang akan datang hidup dalam keadaan yang dicemari, menyedut udara yang kotor, serta minum air yang bermikro organisma. Maka, sebelum nasi menjadi bubur, marilah sama-sama kita mempraktikkan kebersihan diri dan lebih penting lagi kebersihan awam demi kesejahteraan hidup pada hari muka!

Karangan Bertema Alam Sekitar (5RKA)

PERSEMBAHAN KUMPULAN MUJAHIDAH 5RKA

Langkah-langkah memulihara alam sekitar dalam kalangan masyarakat.

        Menjelang abad ke-21, apabila masyarakat kita semakin maju, kita dapati bahawa tapak bumi ini telah menjadi mangsa dalam arus kemodenan ini. Sering meniti dari bibir ke bibir masyarakat mengenai isu pencemaran alam sekitar iaitu pencemaran air, udara dan darat. Antaranya, isu jerebu yang mengancam negara kita sejak beberapa tahun kebelakangan telah menjadi topik hangat yang dibincangkan dari kedai kopi hingga ke parlimen. “Kalau tidak kerana angin, masakan pokok bergoyang”. Sikap manusia zaman moden yang asyik mengejar fatamorgana sehingga mengabaikan isu pencemaran alam sekitar, merupakan faktor yang menyebabkan keadaan ini semakin merosot. Sekiranya keadaan ini dibiarkan, manusialah yang akan menerima padahnya pada suatu hari nanti. Memandangkan keadaan ini, maka pelbagai langkah drastik perlulah diambil sebelum nasi menjadi bubur. Persoalannya, apakah langkah yang boleh diambil untuk memulihara alam sekitar? Jawapannya terletak pada kita semua.

     Antara langkah memulihara alam sekitar ialah dengan mengadakan aktiviti gotong- royong membersihkan kawasan persekitaran. Gotong-royong ini boleh dilakukan dalam kelompok yang kecil iaitu hanya melibatkan ahli keluarga ataupun dalam bentuk kelompok yang besar yang melibatkan masyarakat atau agensi-agensi kerajaan yang berkaitan. Peribahasa sepakat membawa berkat membuktikan sekiranya kita  mengadakan aktiviti gotong-royong, kita dapat membersihkan kawasan persekitaran kita agar alam sekitar kita lebih bersih dan secara tidak langsung dapat menjamin kesihatan diri, keluarga dan masyarakat. Antara aktiviti gotong-royong yang boleh dijalankan untuk memulihara alam sekitar ialah membersihkan kawasan perumahan, kawasan pantai, kawasan rekreasi dan sebagainya. Jelaslah, bahawa aktiviti gotong royong adalah salah satu cara untuk memulihara alam sekitar.

  Perancangan dan pengurusan sisa yang sistematik merupakan salah satu langkah yang dapat mengatasi masalah pencemaran alam sekitar dengan efektif. Masyarakat perlulah mempraktikkan program 3R dalam kehidupan seharian iaitu program yang dikenali sebagai ‘Reduce, Reuse, Recycle’. ‘Reduce’ ialah usaha mengurangkan penggunaan bahan sumber yang terhad. Dalam erti kata lain, masyarakat haruslah berjimat cermat dalam menggunakan bahan sumber yang saban hari kian berkurangan seperti petroleum dan arang batu. ‘Reuse’ pula ialah usaha menggunakan semula bahan-bahan buangan secara terus atau mengubah fungsi bahan tersebut dengan mereka cipta barangan baru. Hal ini dilakukan untuk menjimatkan bahan sumber sekali gus mengurangkan sampah sarap yang boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar. Dalam pada itu, masyarakat perlu mempraktikkan amalan kitar semula iaitu mengguna semula bahan baru. Contohnya, masyarakat boleh menjual surat khabar dan majalah lama untuk di kitar semula. Hal ini bukan sahaja dapat mengurangkan sampah malah dapat menjimatkan kos untuk pelupusan sampah. Bak kata pepatah, berjimat sebelum kena, ingat sebelum habis. Oleh itu, masyarakat haruslah sentiasa peka terhadap isu-isu pencemaran alam sekitar untuk mengelakkan pencemaran daripada menjadi semakin serius.

 Salah satu langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah pencemaran alam sekitar ialah mengurangkan penggunaan bahan kimia dalam kalangan masyarakat. Hal ini demikian kerana bahan kimia akan mendatangkan pencemaran kepada alam sekitar selain akan mendatangkan impak dalam jangka masa yang panjang kepada alam sekitar. Apa yang dimaksudkan ialah penggunaan racun serangga dan pendingin hawa merupakan salah satu kesan yang paling ketara dan serius. Akibat daripada penggunaan racun serangga dan pendingin hawa, berlakunya penipisan lapisan ozon dan air bawah tanah oleh klorofluro karbon (CFC) yang amat berbahaya kepada masyarakat di jagat raya. Kesannya, masyarakat mudah dihidapi penyakit-penyakit yang berbahaya seperti katarak mata, barah kulit dan sebagainya. Hal ini turut memberi impak kepada ekonomi negara kerana terpaksa mengeluarkan dana yang amat besar bagi menampung kos perbelanjaan hospital. Oleh itu, penggunaan bahan kimia ini perlu dikawal oleh kerajaan dan pihak swasta supaya kita dapat menjaga alam sekitar yang dianugerahi oleh Tuhan. Tegasnya, langkah menangani masalah pencemaran alam sekitar adalah dengan mengurangkan penggunaan bahan kimia dalam kehidupan kita.

    Kesimpulannya, masalah pencemaran alam sekitar di negara kita haruslah ditangani dengan segera dan usaha ini memerlukan kerjasama padu daripada semua pihak. Alam sekitar telah dianugerahkan dan diamanahkan oleh Tuhan kepada manusia. Manusia haruslah menjaganya dengan penuh tanggungjawab kerana alam sekitar tidak sepatutnya dikorbankan dalam arus pemodenan dan pembangunan sesebuah negara. Seandainya masalah ini dibiarkan, kesannya akan memudaratkan manusia itu sendiri walaupun hidup dalam kemewahan. Adakah pemodenan negara lebih penting daripada keindahan alam sekitar? Adakah kita menginginkan kemewahan hidup semata-mata tanpa mengharapkan kesihatan? Tepuk dada tanyalah selera. Dengan itu, penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar daripada pencemaran memerlukan kerjasama, kesedaran dan keprihatinan daripada setiap lapisan masyarakat. Mudah-mudahan generasi akan datang dapat menikmati keindahan dan kelestarian alam sekitar yang dianugerahkan kepada manusia.
(Hasilan persembahan pelajar SMK Panglima Bukit Gantang pada 9/2/2015)