Saturday, May 22, 2010

Kata Bantu : Boleh dan Dapat

Kata bantu boleh digunakan untuk maksud 'keizinan'. Sebagai contoh :

1. Kamu boleh pergi ke tandas jika semua latihan telah disiapkan.

2. Mereka tidak boleh memasuki kawasan itu kerana berbahaya.

Kata bantu dapat pula digunakan untuk maksud 'keupayaan'. Sebagai contoh :

1. Adik sudah dapat menunggang basikal itu.

2. Ayah masih tidak dapat melakukan kerja yang berat kerana badannya masih lemah.

(Dipetik daripada ruangan Soal Jawab Bahasa, oleh Munsyi Dewan, Pelita Bahasa Mei 2010)

Saturday, May 15, 2010

Gotong Royong Perdana Sempena Hari Guru di SMKBS dapat sambutan

Majlis gotong royong sempena Hari Guru 2010 mendapat sambutan hangat daripada guru-guru dan pelajar SMK Bagan Serai.

Program ini bermula jam 8.00 pagi dan berakhir jam 12.00 tengah hari.

Gotong royong yang diadakan ini telah berjaya memberikan kesedaran kepada pelajar untuk mengekalkan kebersihan dan keceriaan sekolah, selain memupuk rasa cinta dan sayang kepada sekolah.

Impak lain yang kelihatan ialah wujudnya semangat permuafakatan antara pelajar, termasuk dalam kalangan pelbagai kaum seiring gagasan 1 Malaysia seperti yang dilaungkan oleh kepimpinan negara.

Kata Pemeri - Masih banyak kesilapan!

Kata pemeri ialah perkataan yang menghubungkan subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Terdapat dua jenis kata pemeri, iaitu 'ialah' dan 'adalah'.

Kata pemeri 'ialah' diletakkan di hadapan frasa nama, manakala kata pemeri 'adalah' diletakkan di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama.

Kata pemeri tidak boleh diletakkan dihadapan kata kerja atau frasa kerja,

Sebagai Contoh :

1. Wanita yang memakai kebaya itu ialah ibu saya.
2. Faris adalah antara pelajar yang cemerlang di sekolah ini.
3, Sate ialah makanan kegemaran saya.
4. Tarikh tutup peraduan itu adalah pada hari Rabu

Friday, April 30, 2010

Kem Bahasa Melayu Edisi 1

Kepada semua pelajar tingkatan 5, SMK Bagan Serai:

Program KEM Bahasa Melayu Edisi 1, akan diadakan "

Pada : 8 Mei 2010
Jam : 8.30 pagi - 12.00 tengah hari
Tempat : Dewan Sekolah

Fokus : Memperkasakan jawapan 'Rumusan' dan 'Novel'

Semua pelajar diwajibkan hadir.

Kata-kata Hikmah

Berikut merupakan kata-kata hikmah yang saya petik daripada internet untuk bersama-sama kita renungi ........

1) Jangan sekali-kali kita meremehkan sesuatu perbuatan baik walaupun hanya sekadar senyuman.

2) Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan.

3) Setiap yang kita lakukan biarlah jujur kerana kejujuran itu telalu penting dalam sebuah kehidupan. Tanpa kejujuran hidup sentiasa menjadi mainan orang.

4) Hati yg terluka umpama besi bengkok walau diketuk sukar kembali kepada bentuk asalnya.

(Petikan : http://www.tokekedai.net.my/)

Selagi Bergelar Manusia

Manusia suka harta tetapi lupa pada amalan
Manusia suka rumah tetapi lupa pada kubur
Manusia suka bercinta tetapi lupa pada neraka
Manusia suka berbalah tetapi lupa pada syurga
Manusia suka manusia tetapi lupa pada Pencipta

Walau apa pun yang kita suka, jangan lupa tentang akibatnya yang sedang menanti. Ingatlah, malaikat tidak pernah berhenti mencatat!!!

Dipetik daripada – http://tazkirah.wordpress.com/

Wednesday, April 21, 2010

Kesalahan Penggunaan Kata Tugas

Masih ramai penutur bahasa Melayu yang melakukan kesalahan penggunaan kata tugas. Telitikan kesalahan penggunaan kata tugas dalam ayat-ayat berikut dan semak pembetulannya.
[ (a): salah, (b): betul)]


1(a) Oleh kerana kedudukan kewangannya tidak stabil, dia membatalkan hasratnya untuk membeli saham yang berkenaan.
b) Oleh sebab kedudukan kewangannya tidak stabil, dia membatalkan hasratnya untuk membeli saham yang berkenaan.


2 (a) Selain daripada bermain golf, ayah juga mempunyai hobi memasak.
(b) Selain bermain golf, ayah juga mempunyai hobi memasak.


3 (a) Mereka saling ziarah- menziarahi sambil bermaafan di pagi hari raya.
(b) Mereka saling menziarahi samabil bermaafan pada pagi hari raya.


4 (a) Penduduk kampung disarankan agar tidk membuang sampah di dalam sungai bagi mengelakkan pencemaran air.
(b) Penduduk kampung disarankan agar tidak membuang sampah ke dalam sungai bagi mengelakkan pencemaran air.


5 (a) Wau kepunyaan Atan yang tersangkut di tiang telefon itu, koyak.
(b) Wau kepunyaan Atan yang tersangkut pada tiang telefon itu, koyak.

Friday, March 5, 2010

Penggunaan rangkai kata 'salah seorang daripada'

Pengguna bahasa Melayu sering menggunakan rangkai kata salah seorang daripada, seperti dalam ayat yang berikut:
  1. Salah seorang daripada pelumba-pelumba itu telah mengalami kekejangan otot di kaki kirinya.
  2. Salah seorang daripada semua pelumba itu telah mengalami kekejangan otot di kaki kirinya.
  3. Salah seorang daripada pelumba itu telah mengalami kekejangan otot di kaki kirinya.

Semua ayat tersebut tidak gramatis. Ayat 1 hingga 3 tidak gramatis kerana rangkai kata salah seorang daripada mempunyai kelewahan bahasa. Rangkai kata yang tepat ialah seorang daripada atau salah seorang.

Selain itu, frasa nama pelumba-pelumba dan semua pelumba tidak tepat apabila digunakan dalam ayat tersebut. Hal itu dikatakan demikian kerana dalam konteks ketiga-tiga ayat itu, rangkai kata seorang daripada atau salah seorang sudah membawa konsep jamak. Oleh itu, frasa nama pelumba-pelumba dan semua pelumba yang mengikutinya dianggap lewah.

Ayat yang gramatis ialah ayat yang berikut:

4. Salah seorang pelumba itu telah mengalami kekejangan otot di kaki kiri.

5. Seorang daripada pelumba itu telah mengalami kekejangan otot di kaki kiri.

(Dipetik daripada ruangan Soal Jawab Bahasa, Pelita Bahasa Februari 2010, DBP)

Wednesday, March 3, 2010

Penggunaan Kata Sendi Nama Dari dan Daripada

Sebenarnya kata sendi nama dari dan daripada mempunyai pengertian yang berbeza dalam sistem tatabahasa Melayu.

1 : Dari: Kata sendi dari digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat, waktu atau masa.

Contohnya :
  • Ahmad datang dari mana?
  • Keadaannya semakin tenat dari sehari ke sehari.

2 : Daripada : Kata sendi daripada hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan perkara berikut :

a) Menyatakan punca bagi manusia, institusi, haiwan, benda dan unsur mujarad. Contoh:

  • Ali menerima sepucuk surat daripada ibunyayang kini sedang menunaikan fardu haji.
  • Ahmad dapat menyelesaikan masalah itu hasil daripada ketabahannya menghadapi dugaan.

b) Menyatakan maksud sumber atau asal kejadian sesuatu benda.

  • Kain yang dipakai oleh Puan Mariam diperbuat daripada sutera.
  • Raja menerima berita kemenangannya dalam pertandingan melukis daripada berita yang disiarkan melalui televisyen.

c) Menyatakan sebahagian daripada semua. Contoh :

  • Enam orang daripada mereka mati disambar petir.
  • Sebahagian daripada pelajar sudah pulang ke rumah masing-masing.

d) Menyatakan perubahan , perbezaan atau perbandingan contoh :

  • Adik lebih tinggi daripada abang
  • Pendapatan yang dikemukakan jauh lebih matang daripada usianya yang sebenar.

e) Kata sendi nama daripada boleh hadir di hadapan kata kerja atau frasa kerja dan kata adjektif atau frasa adjektif apabila digunakan untuk menyatakan perbezaan atau perbandingan. Contohnya :

  • Lebih baik menjawab soalan daripada tidak menjawab langsung.
  • Daripada duduk sahaja di rumah lebih baiklah beramal ibadat, membersihkan kawasan masjid dan lain-lain.

Monday, November 9, 2009

ULANG KAJI SOALAN KOMPONEN SASTERA (CERPEN)

Dengan berdasarkan analisis soalan komponen sastera yang telah dibuat oleh rakan guru Bahasa Melayu melalui blognya, iaitu Cikgu Mohd Zaki Hj. Awang Mat, terdapat 3 cerpen lagi yang belum pernah ditanya dalam peperiksaan SPM. Oleh itu, pelajar-pelajar hendaklah memfokuskan cerpen-cerpen tersebut semasa membuat ulang kaji komponen sastera SPM. Saya akan memaparkan ringkasan cerita ketiga-tiga cerpen tersebut kali ini untuk membantu pelajar supaya ingat akan ceritanya semula.

1. Cerpen Annyss Sophillea

Ringkasan Cerita

Cerpen ini mengisahkan Annyss Sophillea dari planet Alstonia yang hendak mencari kembarnya, iaitu Eyrique Etiqaz di bumi. Di bumi, dia bersahabat baik dengan Akmal. Setelah gagal mencari kembarnya, Annyss Sophillea kembali ke Alstonia. Dia bertemu dengan Strenn, iaitu sepupunya yang telah merampas kuasa kerajaan Alstonia. Sepatutnya Eyrique Etiqazlah yang mewarisi takhta kerajaan itu.Annyss Sophillea pula berasa yakin bahawa Strenn telah menyembunyikan kembarnya itu supaya dapat terus kekal berkuasa. Oleh itu, dia berusaha untuk mencari Eyrique Etiqaz. Pada masa itulah Akmal datang untuk memberikan bantuan kepada Annyss Sophillea. Akmal berjaya naik ke Alstonia dengan menunggang eustary. Annyss Sophillea memberitahu Akmal bahawa dia dipisahkan daripada kembarnya supaya mereka menjadi lemah, sebaliknya jika mereka bersatu, mereka akan menjadi sangat kuat.Akhirnya Annyss Sophillea dan Akmal berjaya menemui Eyrique Etiqaz di sebuah bilik kurungan di hujung terowong rahsia. Mereka pun mengeluarkan Eyrique Etiqaz dari bilik kurungan itu. Tenaga Eyrique Etiqaz pulih dalam masa yang singkat apabila dia menyentuh tanduk eustary.Pada masa itu juga, Strenn datang dan menyebabkan dia dan Eyrique Etiqaz beradu kekuatan. Masing-masing memiliki kesaktian untuk mengalahkan lawan masing-masing. Pada suatu peringkat, apabila melihat Eyrique Etiqaz hampir kalah, Akmal mengeluarkan pistol lalu menembak Strenn, namun demikian di Alstonia, sesiapa yang membunuh orang maka dia juga akan turut terbunuh. Oleh sebab itu, Akmal turut tumbang dan merasai kesakitan yang ditanggung oleh Strenn. Walau bagaimanapun, Annyss Sophillea dan Eyrique Etiqaz sempat meletakkan tangan mereka pada dada Akmal untuk menyelamatkan nyawa sahabat mereka dari bumi itu.

Aspek komsas yang mungkin ditanya dalam soalan ialah perwatakan dan latar. Oleh itu fokuskan pada perwatakan Daneng dan Cikgu Jo serta latar tempat dan latar masyarakatnya.

2. Cerpen Lambaian Malar Hijau

Ringkasan Cerita

Cerpen ini mengisahkan Daneng, anak orang Asli dari perkampungan di Lembah Tualang yang enggan meneruskan pelajaran walaupun mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Daneng sudah meninggalkan sekolah berasrama itu selama enam bulan dan kembali ke tempat tinggalnya semula. Cikgu Jo yang tidak mudah berputus asa terus memujuk Daneng supaya meneruskan pelajarannya. Pada peringkat awalnya Daneng tetap berkeras dan tidak mahu menyambung pelajarannya kerana terlalu cinta akan kawasan hutan yang dianggapnya sebagai warisan nenek moyangnya.Cikgu Jo menasihati Daneng agar melanjutkan pelajaran, kerana dengan ilmu dan kedudukan yang baik, dia akan dapat menjaga hutan itu dengan lebih berkesan. Akhirnya hati Daneng menjadi lembut dan dia bersetuju untuk meneruskan pelajarannya.Dua puluh lima tahun kemudian, Daneng telah berjaya menerima Hadiah Nobel kerana usahanya memulihara, memelihara, dan menambah kawasan hutan di negara ini. Beliau telah dianugerahi gelaran ”Datuk” atas segala usahanya. Cikgu Jo berbangga dengan pencapaian pelajarnya itu. ”Datuk Daneng” sebagai orang yang tidak cepat lupa daratan, terus mengenang jasa Cikgu Jo yang amat besar itu.

Aspek komsas yang mungkn ditanya dalam soalan ialah gaya bahasa, perwatakan dan latar. Oleh itu fokuskan pada gaya bahasa, perwatakan watak utama dan latar tempat, di samping latar masyarakatnya.

3. Virus Zel Untuk Abah

Ringkasan Cerita

Zel ialah seorang gadis yang berusia 20 tahun dan mengalami tekanan perasaan akibat perceraian antara ibu dengan bapanya. Zel sebenarnya dahaga akan kasih sayang ayahnya, tambahan pula ibunya asyik sibuk dengan kerjanya iaitu menguruskan perniagaan komputernya. Zel kecewa kerana ayahnya tidak memahami perasaannya. Ibu Zel ialah seorang wanita yang berpelajaran dan berfikiran terbuka. Dia meminta Zel menerima hakikat bahawa ayah dan ibunya telah berpisah. Ibunya memberikan nasihat supaya Zel jangan menyimpan dendam terhadap ayahnya atau keluarga baru ayahnya. Walau bagaimanapun ibunya membenarkan Zel ke rumah ayahnya yang kini sudah berkahwin dengan Syarifah dan mempunyai tiga orang anak iaitu Awi, Aman, dan Arif.Di samping itu kawan Zel, iaitu Win menasihati Zel supaya jangan bertindak mengikut emosi. Hal ini demikian kerana, Zel sudah berusia 20 tahun dan bakal menjadi penuntut jurusan undang-undang di United Kingdom. Pada suatu hari, Zel mengikut abang tirinya, Awi untuk membeli hadiah sempena hari lahir ayah mereka. Mereka bertengkar ketika memilih warna yang menjadi kegemaran ayah mereka. Perasaan Zel semakin tertekan apabila Awi meminta Zel supaya jangan mengganggu ayahnya lagi.Dendam Zel terhadap ayah dan keluarga barunya membara semula. Dia ingin melepaskan virus Zel untuk memusnahkan Program ZQ 1308 yang sangat penting kepada keluarga ayahnya. Win sempat memujuk Zel supaya membatalkan niat buruknya itu. Akhirnya, Zel membatalkan niatnya untuk membalas dendam walaupun dia tetap berasa sakit hati.

Aspek komsas yang mungkn ditanya dalam soalan ialah perwatakan dan nilai-nilai kemanusiaan. Oleh itu, fokuskan pada perwatakan watak utama dan nilai-nilai kemanusiaan serta pengajarannya.

Sumber: http://khirkassim.blogspot.com/2009/08/ulang-kaji-komponen-sastera-komsas-spm.html

Pemanasan Global : Dalam Pelbagai Dimensi Soalan

Dipetik daripada Blogs Cikgu Ghalib Yunus (Terima kasih)

Soalan 4(a):

Dunia dilanda pemanasan global yang menyebabkan kutub utara dan kutub selatan semakin mencair. Bincangkan usaha-usaha untuk menangani masalah ini.

Jawapan:

Strategi
T: Pemanasan Global
K: Usaha-usaha
F: Umum/perbincangan

Isi:
1. menjalankan program kitar semula
2. mengharamkan aktiviti pembakaran secara terbuka
3. Aktiviti penebangan hutan secara haram hendaklah dikawal
4. penggunaan minyak petrol tanpa plumbum hendaklah diperluas
5. Segala bentuk pencemaran hendaklah dihapuskan.

Soalan 4(b):

Dunia pada hari ini dilanda pemanasan global yang akibat kerakusan manusia. Bincangkan kesan-kesan yang timbul daripada fenomena ini.

Jawapan:

Strategi
T: Pemanasan Global
K: Kesan
F: Umum/perbincangan

Isi:
1.Tahap pencairan salji di Kutub Utara semakin tinggi.
2.paras air laut meningkat dan keluasan saiz daratan semakin mengecil.
3. Bumi terdedah kepada kejadian bencana alam.
4. Penduduk mengalami risiko kehilangan nyawa dan kecederaan.

Soalan (4c):

Dunia dilanda pemanasan global yang menyebabkan kutub utara dan kutub selatan semakin mencair. Bincangkan punca-punca fenomena ini berlaku.

Jawapan:

Strategi
T: Pemanasan Global
K:Punca
F: Umum/perbincangan

Isi:
1. Kegiatan perkilangan dan industri
2. Aktiviti penebangan hutan secara haram hendaklah dikawal
3. penggunaan minyak petrol tanpa plumbum hendaklah diperluas.
4. Segala bentuk pencemaran hendaklah dihapuskan.

Soalan 4(d):

Dunia dilanda pemanasan global yang menyebabkan kutub utara dan kutub selatan semakin mencair. Bincangkan punca-punca dan usaha-usaha untuk menangani masalah ini.

Jawapan:

Strategi
T: Pemanasan Global
K:Punca dan usaha
F: Umum/perbincangan

Isi:

Punca:
1.Kegiatan perkilangan dan industri
2.Aktiviti penebangan hutan secara haram hendaklah dikawal

Usaha:
3.Aktiviti penebangan hutan secara haram hendaklah dikawal
4.penggunaan minyak petrol tanpa plumbum hendaklah diperluasSoalan

4(e):Dunia pada hari ini dilanda pemanasan global yang akibat kerakusan manusia. Bincangkan kesan-kesan yang timbul daripada fenomena ini dan langkah-langkah untuk menanganinya.

Jawapan:

Strategi
T: Pemanasan Global
K: Kesan dan langkah
F: Umum/perbincangan

Isi:

Kesan:
1.Tahap pencairan salji di Kutub Utara semakin tinggi.
2. Bumi terdedah kepada kejadian bencana alam.

Langkah:
3.Aktiviti penebangan hutan secara haram hendaklah dikawal
4.penggunaan minyak petrol tanpa plumbum hendaklah diperluas