Minat untuk
membaca karya-karya sastera dalam kalangan rakyat kini semakin berkurangan.
Bincangkan langkah-langkah yang
perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat orang ramai membaca karya
sastera
Sedarsawasa yang lalu, karya
sastera amat diminati oleh semua bangsa di Tanah Melayu. Karya sastera didefinisikan
sebagai wadah atau sarana untuk menyampaikan mesej masyarakat seiring latar
masyarakat latar masa. Latar pemikiran sezaman. Karya sastera merupakan karya
yang mempunyai daya kreatif yang asli dan tersendiri. Di negara kita, terdapat
Sasterawan Negara yang ternama dan terbilang. Saban hari, karya sastera semakin
hilang ditelan zaman yang serba canggih dan moden. Orang ramai yang terdiri daripada golongan
dewasa, golongan remaja malahan kanak-kanak pada era ini, dikatakan kurang
meminati karya sastera berpunca daripada pelbagai sebab yang berkaitan dengan
perkembangan teknologi terkini dan motivasi diri yang rendah terhadap pembacaan.
.Justeru pelbagai pihak yang berkaitan perlu mengambil usaha-usaha yang
berkesan untuk memupuk minat membaca karya sastera dalam kalangan masyarakat
agar karya sastera tidak lupus ditelan zaman.
Pada zaman berteknologi tinggi ini, orang ramai terutama
generasi muda telah memiliki pelbagai bentuk alatan teknologi maklumat dan
komunikasi untuk mendapatkan maklumat berbanding mencari maklumat daripada pembacaan.
Perkembangan teknologi ini boleh dikatakan antara penyebab minat untuk membaca
karya-karya sastera dalam kalangan rakyat makin berkurangan. Malah ada yang
telah lupa dan tidak kenal akan karya sastera yang dihasilkan oleh sasterawan
negara seperti Usman Awang, Shahnon Ahmad, A.Samad Said dan sebagainya. Hal ini
tidak boleh dipandang remeh kerana karya sastera yang dihasilkan merupakan
warisan bangsa yang menunjukkan identiti dan bangsa kita. Minat untuk membaca
karya-karya sastera ini perlu disemarakkan semula dalam kalangan masyarakat.
Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak
untuk menarik minat orang ramai untuk membaca karya sastera?
Antara langkah yang perlu
diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat orang ramai membaca karya
sastera termasuklah peranan Pusat Sumber Sekolah. Pusat Sumber Sekolah perlu
memperbanyak buku sastera dan karya agung seperti novel ‘Ranjau Sepanjang Jalan’
oleh Shahnon Ahmad, ‘Salina’ oleh A.Samad Said, ‘Saudagar Besar Dari Kuala
Lumpur’ oleh Kamaludin Muhamad dan ‘Tulang-tulang Berserakan’ oleh Usman Awang
agar murid mahupun guru berpeluang untuk membacanya. Pusat sumber boleh menganjurkan
pertandingan mengulas novel-novel karya sasterawan negara berkenaan pada setiap
bulan. Langkah ini membolehkan para
pelajar dapat mengenali dan menghayati pemikiran karyawan-karyawan tersohor
tersebut. Karya-karya yang berjaya dilekatkan pada papan kenyataan berserta
gambar novel dan penulisnya. Secara tidak langsung, minat pelajar terhadap
karya sastera akan semakin bertambah. Tegasnya, pihak sekolah khususnya pusat
sumber memainkan peranan yang penting dalam menarik minat pembaca terhadap
karya sastera.
Selain itu, peranan ibu
bapa juga amat penting dalam mengambil langkah untuk menarik minat anak-anak
membaca karya sastera. Ibu bapa haruslah memberikan pendedahan tentang karya
sastera kepada anak-anak sejak kecil lagi bak kata pepatah melentur buluh
biarlah dari rebungnya. Contohnya, ibu bapa boleh membaca sastera ralyat kepada
anak-anak sebelum mereka masuk tidur Melalui cara ini, hubungan silaturahim
antara ibu bapa dengan anak bukan sahaja dapat dipereratkan, malah anak-anak dapat
mengetahui cara hidup dan budaya masyarakat kita sendiri. Selain itu, ibu bapa
bolehlah membelikan karya sastera untuk dibaca oleh anak-anak supaya mereka
dapat menghayati keindahan hasil warisan bangsa selain dapat mengisi masa
lapang dengan berfaedah. Ibu bapa boleh menghadiahkan novel yang sesuai kepada
anak-anak mengikut umur mereka. Ibu bapa
juga perlu pilih bahan bacaan yang hendak dibeli untuk anak-anak sewaktu
membawa mereka berkunjung ke kedai buku mahupun pameran buku. Seterusnya, ibu
bapa harus menyediakan sebuah perpustakaan mini yang dilengkapi dengan pelbagai
bahan bacaan khususnya karya-karya sastera seperti prosa atau puisi tradisional
dan moden yang dihasilkan oleh pengarang tersohor di rumah. Dengan itu, minat anak-anak untuk
membaca karya sastera dapat dipupuk dan disemai dalam jiwa mereka.
Di samping itu, media massa turut memainkan peranan yang
penting dalam mengambil langkah menarik minat semua lapisan masyarakat membaca
karya sastera. Sebagai contohnya, pihak media boleh mempromosikan karya sastera
kepada masyarakat melalui radio, televisyen dan surat khabar. Melalui cara ini,
lapisan masyarakat dapat mengetahui cara untuk mendapatkan karya sastera di
pasaran. Bukan itu sahaja, pihak media juga boleh menyiarkan sudut sastera atau
ulasan karya sastera yang agung di akhbar dan majalah kepada orang ramai.
Dengan itu, orang ramai berpeluang untuk mengenali karya sastera di negara kita
dengan lebih mendalam. Tambahan pula, pihak media turut boleh menganjurkan
peraduan teka teki atau menulis sajak dan syair yang bertemakan karya-karya
sastera. Jelasnya, pihak media haruslah mengambil langkah untuk menarik
perhatian orang ramai untuk membaca karya sastera.
Seterusnya, pihak kerajaan
haruslah mengadakan pameran karya sastera dan kempen menghayati karya sastera
di seluruh pelosok negara. Melalui langkah ini, rakyat berpeluang untuk
mengenali karya-karya sastera ini dengan lebih dekat. Tambahan pula, pihak
kerajaan boleh membina perpustakaan rakyat di setiap daerah bagi memudahkan
rakyat untuk membaca ataupun meminjam karya-karya sastera untuk dibaca. Pihak
kerajaan turut boleh mengambil inisiatif untuk mengurangkan kadar cukai
penerbitan karya sastera. Langkah ini dapat menurunkan harga buku tersebut agar
semua rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah berpeluang untuk memiliki
karya-karya sastera itu sendiri. Oleh itu, jelaslah bahawa pihak kerajaan turut
memainkan watak yang utama dalam mengambil langkah untuk menarik minat orang
ramai membaca karya sastera.
Akhir sekali, pihak-pihak NGO
seperti syarikat penerbitan harus menerbitkan lebih banyak karya sastera supaya
karya tersebut mudah didapati di pasaran. Pihak penerbit boleh bekerjasama
dengan penulis untuk mengeluarkan berbagai-bagai genre sastera. Penerbit
juga perlu memberikan bayaran setimpal
dan berpatutan kepada penulis. Persatuan Karya-karya Sastera boleh ditubuhkan untuk
melindungi karya-karya penulis supaya tidak dplagiat oleh pihak tertentu yang
bermotifkan keuntungan dan bagi membolehkan para peminat berkongsi pendapat bersama dengan penulis.
Kerajaan juga boleh meningkatkan jumlah penerbitan karya sastera dalam setahun
dan bekerjasama dengan seberapa ramai penulis dan penerbit untuk menghasilkan
karya sastera yang bermutu.
Berdasarkan perbincangan
di atas, dapat disimpulkan bahawa semua pihak menggalas tanggungjawab yang
berat dalam usaha untuk menghidupkan minat orang ramai membaca karya sastera.
Masyarakat pula harus bersikap berhati terbuka
supaya langkah-langkah tersebut mendapat sambutan yang hangat dan
seterusnya berjaya direalisasikan. Kita selaku warga Malaysia haruslah
mencintai dan menghayati karya sastera kita kerana ia merupakan warisan bangsa
dan mencerminkan identiti kita.
(Karangan ini
dipetik daripada modul karangan terbitan PPD Kinta Selatan (2011) dengan sedikit
penambahbaikan)