Tuesday, July 20, 2010

Malam Deklamasi Puisi Di SMKBS

SMKBS dengan kerjasama PERENTAS, Pejabat Kebudayaan Kerian akan menganjurkan malam Deklamasi Puisi pada 24 Julai 2010, mulai jam 9.00 malam di perkarangan SMK Bagan Serai.

Semua peminat puisi yang tinggal di sekitar Kerian dijemput hadir. Kiranya berminat untuk mendeklamasikan puisi sila hubungi Cikgu Mohd Saad (0135101354)

Saturday, May 22, 2010

Kata Bantu : Boleh dan Dapat

Kata bantu boleh digunakan untuk maksud 'keizinan'. Sebagai contoh :

1. Kamu boleh pergi ke tandas jika semua latihan telah disiapkan.

2. Mereka tidak boleh memasuki kawasan itu kerana berbahaya.

Kata bantu dapat pula digunakan untuk maksud 'keupayaan'. Sebagai contoh :

1. Adik sudah dapat menunggang basikal itu.

2. Ayah masih tidak dapat melakukan kerja yang berat kerana badannya masih lemah.

(Dipetik daripada ruangan Soal Jawab Bahasa, oleh Munsyi Dewan, Pelita Bahasa Mei 2010)

Saturday, May 15, 2010

Gotong Royong Perdana Sempena Hari Guru di SMKBS dapat sambutan

Majlis gotong royong sempena Hari Guru 2010 mendapat sambutan hangat daripada guru-guru dan pelajar SMK Bagan Serai.

Program ini bermula jam 8.00 pagi dan berakhir jam 12.00 tengah hari.

Gotong royong yang diadakan ini telah berjaya memberikan kesedaran kepada pelajar untuk mengekalkan kebersihan dan keceriaan sekolah, selain memupuk rasa cinta dan sayang kepada sekolah.

Impak lain yang kelihatan ialah wujudnya semangat permuafakatan antara pelajar, termasuk dalam kalangan pelbagai kaum seiring gagasan 1 Malaysia seperti yang dilaungkan oleh kepimpinan negara.

Kata Pemeri - Masih banyak kesilapan!

Kata pemeri ialah perkataan yang menghubungkan subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Terdapat dua jenis kata pemeri, iaitu 'ialah' dan 'adalah'.

Kata pemeri 'ialah' diletakkan di hadapan frasa nama, manakala kata pemeri 'adalah' diletakkan di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama.

Kata pemeri tidak boleh diletakkan dihadapan kata kerja atau frasa kerja,

Sebagai Contoh :

1. Wanita yang memakai kebaya itu ialah ibu saya.
2. Faris adalah antara pelajar yang cemerlang di sekolah ini.
3, Sate ialah makanan kegemaran saya.
4. Tarikh tutup peraduan itu adalah pada hari Rabu

Friday, April 30, 2010

Kem Bahasa Melayu Edisi 1

Kepada semua pelajar tingkatan 5, SMK Bagan Serai:

Program KEM Bahasa Melayu Edisi 1, akan diadakan "

Pada : 8 Mei 2010
Jam : 8.30 pagi - 12.00 tengah hari
Tempat : Dewan Sekolah

Fokus : Memperkasakan jawapan 'Rumusan' dan 'Novel'

Semua pelajar diwajibkan hadir.

Kata-kata Hikmah

Berikut merupakan kata-kata hikmah yang saya petik daripada internet untuk bersama-sama kita renungi ........

1) Jangan sekali-kali kita meremehkan sesuatu perbuatan baik walaupun hanya sekadar senyuman.

2) Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan.

3) Setiap yang kita lakukan biarlah jujur kerana kejujuran itu telalu penting dalam sebuah kehidupan. Tanpa kejujuran hidup sentiasa menjadi mainan orang.

4) Hati yg terluka umpama besi bengkok walau diketuk sukar kembali kepada bentuk asalnya.

(Petikan : http://www.tokekedai.net.my/)

Selagi Bergelar Manusia

Manusia suka harta tetapi lupa pada amalan
Manusia suka rumah tetapi lupa pada kubur
Manusia suka bercinta tetapi lupa pada neraka
Manusia suka berbalah tetapi lupa pada syurga
Manusia suka manusia tetapi lupa pada Pencipta

Walau apa pun yang kita suka, jangan lupa tentang akibatnya yang sedang menanti. Ingatlah, malaikat tidak pernah berhenti mencatat!!!

Dipetik daripada – http://tazkirah.wordpress.com/

Wednesday, April 21, 2010

Kesalahan Penggunaan Kata Tugas

Masih ramai penutur bahasa Melayu yang melakukan kesalahan penggunaan kata tugas. Telitikan kesalahan penggunaan kata tugas dalam ayat-ayat berikut dan semak pembetulannya.
[ (a): salah, (b): betul)]


1(a) Oleh kerana kedudukan kewangannya tidak stabil, dia membatalkan hasratnya untuk membeli saham yang berkenaan.
b) Oleh sebab kedudukan kewangannya tidak stabil, dia membatalkan hasratnya untuk membeli saham yang berkenaan.


2 (a) Selain daripada bermain golf, ayah juga mempunyai hobi memasak.
(b) Selain bermain golf, ayah juga mempunyai hobi memasak.


3 (a) Mereka saling ziarah- menziarahi sambil bermaafan di pagi hari raya.
(b) Mereka saling menziarahi samabil bermaafan pada pagi hari raya.


4 (a) Penduduk kampung disarankan agar tidk membuang sampah di dalam sungai bagi mengelakkan pencemaran air.
(b) Penduduk kampung disarankan agar tidak membuang sampah ke dalam sungai bagi mengelakkan pencemaran air.


5 (a) Wau kepunyaan Atan yang tersangkut di tiang telefon itu, koyak.
(b) Wau kepunyaan Atan yang tersangkut pada tiang telefon itu, koyak.

Friday, March 5, 2010

Penggunaan rangkai kata 'salah seorang daripada'

Pengguna bahasa Melayu sering menggunakan rangkai kata salah seorang daripada, seperti dalam ayat yang berikut:
  1. Salah seorang daripada pelumba-pelumba itu telah mengalami kekejangan otot di kaki kirinya.
  2. Salah seorang daripada semua pelumba itu telah mengalami kekejangan otot di kaki kirinya.
  3. Salah seorang daripada pelumba itu telah mengalami kekejangan otot di kaki kirinya.

Semua ayat tersebut tidak gramatis. Ayat 1 hingga 3 tidak gramatis kerana rangkai kata salah seorang daripada mempunyai kelewahan bahasa. Rangkai kata yang tepat ialah seorang daripada atau salah seorang.

Selain itu, frasa nama pelumba-pelumba dan semua pelumba tidak tepat apabila digunakan dalam ayat tersebut. Hal itu dikatakan demikian kerana dalam konteks ketiga-tiga ayat itu, rangkai kata seorang daripada atau salah seorang sudah membawa konsep jamak. Oleh itu, frasa nama pelumba-pelumba dan semua pelumba yang mengikutinya dianggap lewah.

Ayat yang gramatis ialah ayat yang berikut:

4. Salah seorang pelumba itu telah mengalami kekejangan otot di kaki kiri.

5. Seorang daripada pelumba itu telah mengalami kekejangan otot di kaki kiri.

(Dipetik daripada ruangan Soal Jawab Bahasa, Pelita Bahasa Februari 2010, DBP)

Wednesday, March 3, 2010

Penggunaan Kata Sendi Nama Dari dan Daripada

Sebenarnya kata sendi nama dari dan daripada mempunyai pengertian yang berbeza dalam sistem tatabahasa Melayu.

1 : Dari: Kata sendi dari digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat, waktu atau masa.

Contohnya :
  • Ahmad datang dari mana?
  • Keadaannya semakin tenat dari sehari ke sehari.

2 : Daripada : Kata sendi daripada hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan perkara berikut :

a) Menyatakan punca bagi manusia, institusi, haiwan, benda dan unsur mujarad. Contoh:

  • Ali menerima sepucuk surat daripada ibunyayang kini sedang menunaikan fardu haji.
  • Ahmad dapat menyelesaikan masalah itu hasil daripada ketabahannya menghadapi dugaan.

b) Menyatakan maksud sumber atau asal kejadian sesuatu benda.

  • Kain yang dipakai oleh Puan Mariam diperbuat daripada sutera.
  • Raja menerima berita kemenangannya dalam pertandingan melukis daripada berita yang disiarkan melalui televisyen.

c) Menyatakan sebahagian daripada semua. Contoh :

  • Enam orang daripada mereka mati disambar petir.
  • Sebahagian daripada pelajar sudah pulang ke rumah masing-masing.

d) Menyatakan perubahan , perbezaan atau perbandingan contoh :

  • Adik lebih tinggi daripada abang
  • Pendapatan yang dikemukakan jauh lebih matang daripada usianya yang sebenar.

e) Kata sendi nama daripada boleh hadir di hadapan kata kerja atau frasa kerja dan kata adjektif atau frasa adjektif apabila digunakan untuk menyatakan perbezaan atau perbandingan. Contohnya :

  • Lebih baik menjawab soalan daripada tidak menjawab langsung.
  • Daripada duduk sahaja di rumah lebih baiklah beramal ibadat, membersihkan kawasan masjid dan lain-lain.