Tuesday, September 12, 2017

Menarik Minat Murid Lemah Belajar



7 Cara Menarik Minat Murid Lemah Belajar

Arus pendidikan telah mengalami perubahan yang sangat pesat seiring dengan zaman yang kian maju. Generasi kini sudah banyak berubah, berbeza dengan generasi dahulu. Seiring dengan perubahan ini, sewajarnya kaedah mengajar juga harus diubahsuai dengan keadaan semasa.

Cabaran ini juga termasuklah apabila mengendalikan murid-murid yang lemah dalam sesi pembelajaran. Terdapat banyak cara yang boleh dilakukan untuk 
menarik minat murid lemah supaya dapat belajar dengan baik.

1. Tahu gaya pembelajaran mereka.

Ini merupakan faktor yang paling penting dalam memastikan murid-murid dapat menerima apa yang hendak diajar kepada mereka.  Terdapat tiga jenis gaya belajar yang utama iaitu visual, auditori dan kinestetik. Walaupun setiap orang mempunyai ketiga-tiga jenis gaya ini namun seseorang itu mempunyai satu gaya yang dominan dalam diri mereka. Setiap gaya belajar ini mempunyai cara pendekatan yang berbeza. Guru perlu mengenali gaya belajar setiap murid di dalam kelasnya dan menyesuaikan dengan kaedah yang hendak digunakannya.

2. Menggunakan pelbagai kaedah yang berbeza.

Murid yang lemah biasanya mempunyai daya tumpuan yang kurang. Ini menyebabkan mereka cepat bosan dengan apa yang dipelajari. Mereka sewajarnya di ajar dengan menggunakan pelbagai medium yang berbeza. Jika satu sesi pembelajaran mempunyai pelbagai kaedah yang berbeza, minda murid belum sempat merasa bosan dengan sesuatu ia telah diperkenalkan dengan sesuatu yang baru. Ini dapat mengurangkan rasa bosan mereka dan dapat menarik minat mereka untuk belajar. Adalah lebih baik jika guru dapat mengajar dengan berfokuskan bahan bantu mengajar. Bahan tersebut mestilah kreatif dan menggunakan warna yang cerah untuk menarik minat mereka. Selain itu, masa yang diperuntukkan untuk sesuatu aktiviti janganlah terlalu panjang, dan jika ia perlu memakan masa yang panjang sebaiknya diselangkan dengan masa rehat untuk mengelakkan mereka mudah hilang tumpuan. Jika sebelum ini kita hanya belajar di dalam kelas, apa kata kita ke luar kelas, belajar sambil melihat suasana yang berbeza.


3. Menerangkan tentang kegunaan ilmu yang mereka pelajari.
Kadang-kadang murid merasa tidak minat atau bosan dengan apa yang mereka pelajari adalah kerana mereka tidak mengetahui kegunaan ilmu yang mereka pelajari. Mereka hanya mengetahui bahawa mereka perlu belajar kerana disuruh oleh ibubapa mereka atau bagi mereka ia adalah rutin yang perlu mereka lalui seperti rutin-rutin yang lain. Guru yang baik adalah guru yang mampu menjelaskan kepada anak muridnya tentang apa yang boleh mereka aplikasikan dengan apa yang mereka pelajari. Contohnya, jika murid mengetahui dengan jelas kepentingan belajar matematik untuk membantu mereka dalam sukatan yang betul untuk membuat kek pasti murid yang minat membuat kek akan lebih bersemangat untuk mempelajari ilmu tersebut.

4. Melibatkan pengalaman yang sebenar.

Murid-murid yang didedahkan dengan pengalaman yang sebenar akan lebih faham berbanding dengan murid-murid yang hanya belajar secara teori semata-semata. Cara ini lebih berkesan terutamanya untuk generasi sekarang yang hanya mengetahui sesuatu hanya di hujung jari. Sebagai contoh untuk belajar ukuran kilogram, jika guru membawa alat penimbang dan menimbang bahan di depan murid, pastinya akan lebih difahami dan diingati berbanding jika guru hanya memberitahunya secara lisan. Ia akan jadi lebih menarik jika guru mengadakan kelas membuat kek dan sambil mengajar sambil mengajar sukatan ukuran.

5. Menyediakan ganjaran yang menarik minat murid.

Jika pembelajaran disertai dengan ganjaran yang mampu menarik minat murid ia pasti akan lebih berkesan. Dua jenis ganjaran yang biasa diberikan adalah dalam bentuk peneguhan positif dan peneguhan negatif. Peneguhan positif adalah seperti pujian atau memberikan hadiah-hadiah yang membuat murid gembira dan merangsang mereka untuk terus bersemangat dalam belajar. Manakala peneguhan negatif pula adalah seperti memberikan hukuman seperti denda berdiri, buat kerja di luar kelas dan sebagainya. Tujuan jenis ganjaran bersifat negatif ini adalah agar murid tidak mengulangi kesalahan yang sama berulangkali. Kedua-dua jenis ganjaran ini penting mengikut kesesuaian suasana. Namun peneguhan positif lebih sesuai digunakan untuk murid-murid yang lemah seperti puji-pujian, kata semangat. Sebab itulah dalam Pembelajaran Abad 21 perlu disediakan Reward Chart. Ini adalah kerana biasanya murid yang lemah adalah murid yang kurang yakin pada diri mereka sendiri, apabila ada peneguhan barulah semangat dari dalam diri akan muncul.

6. Mengulangi berkali-kali apa yang diajar.
Maksud mengulangi disini adalah mengulangi isi pelajaran dengan kaedah yang berbeza. Murid yang lemah juga biasanya terdiri daripada mereka yang mempunyai masalah dari segi memahami sesuatu. Disebabkan itulah guru perlu sentiasa mengulangi apa yang sedang diajar berulangkali dengan cara yang berbeza. Guru boleh mengulang-ulangnya dengan lisan, kemudian diulang lagi mengunakan media ataupun dengan menggunakan peta minda yang menarik menggunakan kreativiti guru itu sendiri. Selain itu, guru boleh menarik minat mereka dengan sentiasa memanggil nama murid yang lemah berulangkali semasa proses pembelajaran, ini sedikit sebanyak akan menyebabkan mereka akan fokus kepada guru yang sedang mengajar.

7. 
Guru perlu bersikap tegas tapi bukan garang.
 
Semasa mengajar guru harus mengamalkan sikap yang tegas tetapi bukan sifat yang garang. Sifat yang tegas akan membuatkan murid dapat membezakan antara yang mana betul dan salah. Manakala sifat yang garang akan menyebabkan murid-murid takut dan semakin tidak ingin belajar. Biasanya murid yang lemah adalah terdiri daripada mereka yang juga mempunyai masalah displin. Sikap tegas amat penting untuk membantu mereka memahami apa yang mereka pelajari dan membantu mereka mematuhi peraturan semasa belajar. Guru juga perlu sentiasa memberi dorongan dan motivasi kepada murid-murid berkenaan.

Semoga para guru tidak berputus asa mendidik dan membantu murid lemah untuk terus belajar. Anggaplah ia sebagai cabaran untuk kita dalam berjuang dalam dunia pendidikan. Ingat usaha tangga kejayaan.


Dipetik daripada:
Penulis Pendidik2u: Noraini Ismail