Usaha untuk mencegah penyakit berbahaya dalam kalangan masyarakat bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi juga merupakan tanggungjawab individu.
Ulaskan pernyataan tersebut.
“Diabetes dalam kalangan masyarakat”
“Seluruh keluarga menghidap denggi”
“Serangan jantung punca kematian”
Begitulah antara tajuk yang sering
terpampang di dada-dada akhbar berkaitan dengan penyakit-penyakit yang
berbahaya dalam kalangan masyarakat di negara kita. Antara penyakit berbahaya
dalam kalangan masyarakat ialah sakit buah pinggang, strok, diabetes dan zika.
Dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan hari ini telah melalaikan kita
terhadap tanggungjawab setiap individu untuk mencegah penyakit berbahaya
seperti yang dinyatakan. Majoriti masyarakat menganggap bahawa usaha untuk
mencegah penyakit berbahaya adalah tanggungjawab kerajaan semata-mata. Namun,
adakah kita sedar akan tanggungjawab kita dalam mencegah penyakit berbahaya
yang kian meruncing? Belakangan ini, masyarakat bukan sahaja tidak cakna dengan
tanggungjawab diri sendiri bahkan sering menuding jari kepada pihak lain
seperti kerajaan untuk menyelesaikan permasalahan ini. Sebagai generasi muda,
kita merupakan nadi untuk membendung musibah ini. Persoalannya, apakah
tanggungjawab setiap individu untuk mencegah penyakit berbahaya dalam kalangan masyarakat?
Pihak kerajaan haruslah mengerahkan
pihak Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengadakan pemeriksaan tahap
kebersihan di kawasan persekitaran penduduk. Tindakan seumpama ini perlu memandangkan penyakit berbahaya boleh menular
dalam kalangan masyarakat disebabkan tahap
kebersihan yang tidak memuaskan. Penyakit berbahaya seperti demam denggi
dan zika menular disebabkan oleh terdapat kawasan takungan air yang menjadi
tempat pembiakan nyamuk aedes. Oleh itu, pihak Kementerian Kesihatan perlulah
mengadakan “fogging” sekurang-kurangnya sebulan sekali selain memohon kerjasama
daripada penduduk agar mengadakan pembersihan kawasan rumah mereka, bak kata
pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Kesannya, kawasan
persekitaran akan menjadi bersih sekali gus dapat mengelakkan tempat-tempat
pembiakan nyamuk aedes. Seterusnya dapat menghindari daripada penyakit demam
denggi dan zika yang boleh menjejaskan kesihatan masyarakat. Tegasnya
pemeriksaan tahap kesihatan secara berkala oleh Kementerian Kesihatan dapat
mencegah penyakit berbahaya ini dari terus menular.
Gaya hidup sihat merupakan langkah utama
untuk mengatasi wabak penyakit berbahaya. Hal ini dikatakan demikian kerana,
kesihatan individu bergantung kepada corak atau pola pengurusan sistem tubuh
yang seimbang dan konsisten. Pengamalan
diet yang tidak seimbang akan mengakibatkan individu menghidap penyakit
berbahaya seperti kencing manis.. Seseorang
Individu dapat menjamin keperluan vitamin dan serat untuk tubuh yang ideal
dengan mempraktikkan sistem piramid makanan dalam amalan pemakanan yang
seimbang. Impaknya, tubuh badan akan memperoleh nutrien yang mencukupi untuk
membolehkan sel-sel menghasilkan antibodi
yang kuat daripada risiko penyakit berbahaya, bak kata pepatah mencegah
lebih baik berbanding mengubati. Intihanya jelaslah bahawa amalan gaya
hidup sihat menjadi faktor perdana dalam
usaha bagi individu mengatasi penyakit berbahaya.
Setiap individu juga perlu memainkan
peranan masing-masing dalam mencegah diri daripada penyakit berbahaya seperti
membuat pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya 6 bulan sekali. Hal ini
demikian kerana, melalui cara ini, individu dapat mengesan penyakit yang sedang
dihidapinya lebih awal agar dapat menerima rawatan lanjut bagi mengelakkan daripada lebih memudaratkan.
Pemeriksaan tekanan darah dan pemeriksaan tahap glukosa dalam darah adalah
antara perkara yang sering dilakukan semasa pemeriksaan kesihatan bagi mengesan
penyakit berbahaya. Jika pemeriksaan kesihatan dilakukan secara berkala
seseorang itu akan dapat mengenal pasti tahap kesihatannya dan sekiranya
menghidapi sebarang penyakit berbahaya penyakit tersebut dapatlah dirawat
dengan segera. Oleh hal yang demikian, kita tidak akan dibelenggu oleh kesengsaraan
penyakit yang lewat diberi rawatan. Mencegah adalah lebih baik dari merawat
merupakan satu sikap sentiasa berwaspada terhadap kesejahteraan diri yang telah
dianugerahkan oleh Tuhan. Tegasnya, setiap individu haruslah mengambil berat
terhadap pemjagaan kesihatan diri agar dapat mencegah diri dari mehidapi
penyakit yang berbahaya.
Kesimpulannya, setiap individu
hendaklah mengambil langkah segera demi kesejahteraan diri masing-masing. Sehubungan
dengan itu, kita perlu menjauhkan diri daripada melakukan sebarang gejala yang
tidak sihat kerana gejala itu mampu memudaratkan kesihatan diri kita. Setiap
individu perlu memikul tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin agar
masyarakat di negara kita bebas daripada menghidapi wabak penyakit berbahaya. Setiap individu
menginginkan kesihatan yang baik berpanjangan, justeru jauhkanlah diri dari
amalan yang buruk tetapi sentiasa membudayakan perkara yang dapat menjamin
kesihatan yang baik. Sayangilah diri kerana jasad kita hanya dipinjamkan
sementara kehidupan kita di dunia ini. Hargailah diri kerana walaupun memiliki
wang berjuta tetapi wang tidak dapat membeli sebuah kesihatan yang sejahtera.
Oleh itu , ayuhlah kita memikul amanah yang dikurniakan agar dapat menikmati
kesihatan diri yang sejahtera.
5 comments:
Cikgu...boleh x cikgu tunjukkan isi2 penting
.....
Tq for the essay I can do my homework in easy way.
Tambahkan isi satu lagi seperti beriadah and karangan ni memang terbaik
Tambahkan isi satu lagi seperti beriadah and karangan ni memang terbaik
Post a Comment