Saturday, November 5, 2016

Cara-Cara Mempopularkan Permainan Tradisional



TAJUK                   :               PERMAINAN TRADISIONAL
TUGASAN            :               CARA-CARA MEMPOPULARKAN PERMAINAN TRADISIONAL
FORMAT              :               TIADA

ISI-ISI PENTING :

Individu mencari maklumat berkaitan permainan tradisional
Ibu bapa beri sokongan kepada anak-anak
Peranan pihak sekolah yang menubuhkan kelab permainan tradisional
Peranan kerajaan melalui media massa
Peranan pihak swasta

CONTOH KARANGAN  (YANG MUDAH - SESUAI UNTUK KATEGORI MURID PENCAPAIAN SEDERHANA)

Permainan tradisional ialah permainan yang dimainkan oleh masyarakat dahulu pada masa lapang.  Antara permainan tradisional yang mendapat sambutan masyarakat ialah layang-layang, congkak dan batu seremban.  Namun demikian, permainan tradisional semakin dilupakan oleh generasi muda.   Oleh sebab itu, pelbagai usaha perlu dilakukan untuk mempopularkan permainan tradisional ini.

Antara cara mempopularkan permainan tradisional ini ialah kita perlu mencari maklumat tentang  permainan tradisional tersebut.  Setelah maklumat diperoleh , kita perlu mencuba permainan tersebut dengan ahli keluarga.  Kita juga boleh mengambil bahagian dalam pertandingan permainan tradisional yang dianjurkan oleh mana-mana pihak. Sebagai contoh pertandingan permainan congkak.  Dengan ini, jelaslah bahawa generasi muda perlu mempopularkan permainan tradisional negara kita.

Ibu bapa pula, perlu memberi sokongan  kepada anak-anak dengan cara membelikan peralatan permainan tradisional.  Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak menyaksikan pertandingan permainan tradisional ini.  Selain itu, ibu bapa boleh membawa anak-anak melawat ke muzium dan galeri seni untuk melihat dengan lebih dekat peralatan permainan tradisional ini di samping memahami cara-cara permainan ini dimainkan.  Usaha-usaha yang dilakukan oleh ibu bapa ini dapat mempopularkan permainan tradisional.

Pihak sekolah juga boleh menubuhkan kelab permainan tradisional.  Dengan tertubuhnya kelab permainan tradisional ini, ahli-ahli kelab dapat menganjurkan pertandingan.  Sekolah juga boleh menghantar ahli-ahli kelab mengikuti kursus permainan tradisional bagi menarik minat pelajar melibatkan diri dalam permainan ini.  Peserta yang mengikuti kursus hendaklah diberi sijil penyertaan  dan penghargaan. Hal ini  jelas menunjukkan bahawa pihak sekolah berperanan penting untuk mempopularkan permainan tradisional.

Kerajaan perlu mempromosikan permainan tradisional melalui televisyen dan surat khabar.  Usaha ini boleh dilakukan melalui kempen yang berterusan.  Sebagai contoh, kerajaan mengadakan karnival pertandingan tradisional seperti Pesta Layang-layang yang diadakan di Pasir Gudang, Johor setiap tahun. Melalui Kementerian Belia dan Sukan kerajaan boleh mengadakan kursus permainan tradisional ini  untuk golongan belia.  Hal ini secara tidak langsung dapat mengurangkan gejala sosial dalam kalangan remaja.  Usaha kerajaan ini dapat menarik kedatangan pelancong asing ke negara kita sekali gus dapat mempopularkan permainan tradisional ini.

Sementara pihak swasta pula boleh menganjurkan pertandingan permainan tradisional ini.  Pihak swasta boleh menjadi penaja bagi pertandingan yang dianjurkan  dengan menyediakan hadiah yang lumayan.  Sebagai contoh, penganjur menyediakan hadiah berbentuk tiket pelancongan ke luar negara kepada para pemenang. Hal ini dapat menarik  penyertaan pelbagai lapisan masyarakat untuk menyertainya.  Pendek kata, jelaslah bahawa pihak swasta juga memainkan peranan  penting dalam mempopularkan permainan tradisional negara ini.

Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu bekerjasama dalam mempopularkan permainan tradisional ini .  Usaha yang berterusan penting  supaya generasi akan datang dapat mengenali dan meminati permainan tradisional. Kesannya, permainan tradisional ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Usaha mencegah Penyakit


Usaha untuk mencegah penyakit berbahaya dalam kalangan masyarakat bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi juga merupakan tanggungjawab individu.



 Ulaskan pernyataan tersebut.


            “Diabetes dalam kalangan masyarakat”
            “Seluruh keluarga menghidap denggi”
            “Serangan jantung punca kematian”

            Begitulah antara tajuk yang sering terpampang di dada-dada akhbar berkaitan dengan penyakit-penyakit yang berbahaya dalam kalangan masyarakat di negara kita. Antara penyakit berbahaya dalam kalangan masyarakat ialah sakit buah pinggang, strok, diabetes dan zika. Dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan hari ini telah melalaikan kita terhadap tanggungjawab setiap individu untuk mencegah penyakit berbahaya seperti yang dinyatakan. Majoriti masyarakat menganggap bahawa usaha untuk mencegah penyakit berbahaya adalah tanggungjawab kerajaan semata-mata. Namun, adakah kita sedar akan tanggungjawab kita dalam mencegah penyakit berbahaya yang kian meruncing? Belakangan ini, masyarakat bukan sahaja tidak cakna dengan tanggungjawab diri sendiri bahkan sering menuding jari kepada pihak lain seperti kerajaan untuk menyelesaikan permasalahan ini. Sebagai generasi muda, kita merupakan nadi untuk membendung musibah ini. Persoalannya, apakah tanggungjawab setiap individu untuk mencegah penyakit berbahaya dalam  kalangan masyarakat?

            Pihak kerajaan haruslah mengerahkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengadakan pemeriksaan tahap kebersihan di kawasan persekitaran penduduk. Tindakan seumpama ini perlu  memandangkan penyakit berbahaya boleh menular dalam kalangan masyarakat disebabkan tahap  kebersihan yang tidak memuaskan. Penyakit berbahaya seperti demam denggi dan zika menular disebabkan oleh terdapat kawasan takungan air yang menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. Oleh itu, pihak Kementerian Kesihatan perlulah mengadakan “fogging” sekurang-kurangnya sebulan sekali selain memohon kerjasama daripada penduduk agar mengadakan pembersihan kawasan rumah mereka, bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Kesannya, kawasan persekitaran akan menjadi bersih sekali gus dapat mengelakkan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes. Seterusnya dapat menghindari daripada penyakit demam denggi dan zika yang boleh menjejaskan kesihatan masyarakat. Tegasnya pemeriksaan tahap kesihatan secara berkala oleh Kementerian Kesihatan dapat mencegah penyakit berbahaya ini dari terus menular.

            Gaya hidup sihat merupakan langkah utama untuk mengatasi wabak penyakit berbahaya. Hal ini dikatakan demikian kerana, kesihatan individu bergantung kepada corak atau pola pengurusan sistem tubuh yang seimbang dan konsisten.  Pengamalan diet yang tidak seimbang akan mengakibatkan individu menghidap penyakit berbahaya seperti kencing manis..  Seseorang Individu dapat menjamin keperluan vitamin dan serat untuk tubuh yang ideal dengan mempraktikkan sistem piramid makanan dalam amalan pemakanan yang seimbang. Impaknya, tubuh badan akan memperoleh nutrien yang mencukupi untuk membolehkan sel-sel menghasilkan antibodi  yang kuat daripada risiko penyakit berbahaya, bak kata pepatah mencegah lebih baik berbanding mengubati. Intihanya jelaslah bahawa amalan gaya hidup  sihat menjadi faktor perdana dalam usaha bagi individu mengatasi penyakit berbahaya.

            Setiap individu juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam mencegah diri daripada penyakit berbahaya seperti membuat pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya 6 bulan sekali. Hal ini demikian kerana, melalui cara ini, individu dapat mengesan penyakit yang sedang dihidapinya lebih awal agar dapat menerima rawatan lanjut bagi mengelakkan daripada lebih memudaratkan. Pemeriksaan tekanan darah dan pemeriksaan tahap glukosa dalam darah adalah antara perkara yang sering dilakukan semasa pemeriksaan kesihatan bagi mengesan penyakit berbahaya. Jika pemeriksaan kesihatan dilakukan secara berkala seseorang itu akan dapat mengenal pasti tahap kesihatannya dan sekiranya menghidapi sebarang penyakit berbahaya penyakit tersebut dapatlah dirawat dengan segera. Oleh hal yang demikian, kita tidak akan dibelenggu oleh kesengsaraan penyakit yang lewat diberi rawatan. Mencegah adalah lebih baik dari merawat merupakan satu sikap sentiasa berwaspada terhadap kesejahteraan diri yang telah dianugerahkan oleh Tuhan. Tegasnya, setiap individu haruslah mengambil berat terhadap pemjagaan kesihatan diri agar dapat mencegah diri dari mehidapi penyakit yang berbahaya.

            Kesimpulannya, setiap individu hendaklah mengambil langkah segera demi kesejahteraan diri masing-masing. Sehubungan dengan itu, kita perlu menjauhkan diri daripada melakukan sebarang gejala yang tidak sihat kerana gejala itu mampu memudaratkan kesihatan diri kita. Setiap individu perlu memikul tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin agar masyarakat di negara kita bebas daripada menghidapi  wabak penyakit berbahaya. Setiap individu menginginkan kesihatan yang baik berpanjangan, justeru jauhkanlah diri dari amalan yang buruk tetapi sentiasa membudayakan perkara yang dapat menjamin kesihatan yang baik. Sayangilah diri kerana jasad kita hanya dipinjamkan sementara kehidupan kita di dunia ini. Hargailah diri kerana walaupun memiliki wang berjuta tetapi wang tidak dapat membeli sebuah kesihatan yang sejahtera. Oleh itu , ayuhlah kita memikul amanah yang dikurniakan agar dapat menikmati kesihatan diri yang sejahtera.

Sunday, October 30, 2016

Usaha memupuk minat membaca karya sastera



Minat untuk membaca karya-karya sastera dalam kalangan rakyat kini semakin berkurangan.
Bincangkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat orang ramai membaca karya sastera
 
Sedarsawasa yang lalu, karya sastera amat diminati oleh semua bangsa di Tanah Melayu. Karya sastera didefinisikan sebagai wadah atau sarana untuk menyampaikan mesej masyarakat seiring latar masyarakat latar masa. Latar pemikiran sezaman. Karya sastera merupakan karya yang mempunyai daya kreatif yang asli dan tersendiri. Di negara kita, terdapat Sasterawan Negara yang ternama dan terbilang. Saban hari, karya sastera semakin hilang ditelan zaman yang serba canggih dan moden.  Orang ramai yang terdiri daripada golongan dewasa, golongan remaja malahan kanak-kanak pada era ini, dikatakan kurang meminati karya sastera berpunca daripada pelbagai sebab yang berkaitan dengan perkembangan teknologi terkini dan motivasi diri yang rendah terhadap pembacaan. .Justeru pelbagai pihak yang berkaitan perlu mengambil usaha-usaha yang berkesan untuk memupuk minat membaca karya sastera dalam kalangan masyarakat agar karya sastera tidak lupus ditelan zaman.
Pada zaman berteknologi tinggi ini, orang ramai terutama generasi muda telah memiliki pelbagai bentuk alatan teknologi maklumat dan komunikasi untuk mendapatkan maklumat berbanding mencari maklumat daripada pembacaan. Perkembangan teknologi ini boleh dikatakan antara penyebab minat untuk membaca karya-karya sastera dalam kalangan rakyat makin berkurangan. Malah ada yang telah lupa dan tidak kenal akan karya sastera yang dihasilkan oleh sasterawan negara seperti Usman Awang, Shahnon Ahmad, A.Samad Said dan sebagainya. Hal ini tidak boleh dipandang remeh kerana karya sastera yang dihasilkan merupakan warisan bangsa yang menunjukkan identiti dan bangsa kita. Minat untuk membaca karya-karya sastera ini perlu disemarakkan semula dalam kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat orang ramai untuk membaca karya sastera? 
            Antara langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat orang ramai membaca karya sastera termasuklah peranan Pusat Sumber Sekolah. Pusat Sumber Sekolah perlu memperbanyak buku sastera dan karya agung seperti novel ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ oleh Shahnon Ahmad, ‘Salina’ oleh A.Samad Said, ‘Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur’ oleh Kamaludin Muhamad dan ‘Tulang-tulang Berserakan’ oleh Usman Awang agar murid mahupun guru berpeluang untuk membacanya. Pusat sumber boleh menganjurkan pertandingan mengulas novel-novel karya sasterawan negara berkenaan pada setiap bulan. Langkah ini membolehkan  para pelajar dapat mengenali dan menghayati pemikiran karyawan-karyawan tersohor tersebut. Karya-karya yang berjaya dilekatkan pada papan kenyataan berserta gambar novel dan penulisnya. Secara tidak langsung, minat pelajar terhadap karya sastera akan semakin bertambah. Tegasnya, pihak sekolah khususnya pusat sumber memainkan peranan yang penting dalam menarik minat pembaca terhadap karya sastera.
            Selain itu, peranan ibu bapa juga amat penting dalam mengambil langkah untuk menarik minat anak-anak membaca karya sastera. Ibu bapa haruslah memberikan pendedahan tentang karya sastera kepada anak-anak sejak kecil lagi bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Contohnya, ibu bapa boleh membaca sastera ralyat kepada anak-anak sebelum mereka masuk tidur Melalui cara ini, hubungan silaturahim antara ibu bapa dengan anak bukan sahaja dapat dipereratkan, malah anak-anak dapat mengetahui cara hidup dan budaya masyarakat kita sendiri. Selain itu, ibu bapa bolehlah membelikan karya sastera untuk dibaca oleh anak-anak supaya mereka dapat menghayati keindahan hasil warisan bangsa selain dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah. Ibu bapa boleh menghadiahkan novel yang sesuai kepada anak-anak mengikut umur  mereka. Ibu bapa juga perlu pilih bahan bacaan yang hendak dibeli untuk anak-anak sewaktu membawa mereka berkunjung ke kedai buku mahupun pameran buku. Seterusnya, ibu bapa harus menyediakan sebuah perpustakaan mini yang dilengkapi dengan pelbagai bahan bacaan khususnya karya-karya sastera seperti prosa atau puisi tradisional dan moden yang dihasilkan oleh pengarang tersohor  di rumah. Dengan itu, minat anak-anak untuk membaca karya sastera dapat dipupuk dan disemai dalam jiwa mereka.
Di samping itu, media massa turut memainkan peranan yang penting dalam mengambil langkah menarik minat semua lapisan masyarakat membaca karya sastera. Sebagai contohnya, pihak media boleh mempromosikan karya sastera kepada masyarakat melalui radio, televisyen dan surat khabar. Melalui cara ini, lapisan masyarakat dapat mengetahui cara untuk mendapatkan karya sastera di pasaran. Bukan itu sahaja, pihak media juga boleh menyiarkan sudut sastera atau ulasan karya sastera yang agung di akhbar dan majalah kepada orang ramai. Dengan itu, orang ramai berpeluang untuk mengenali karya sastera di negara kita dengan lebih mendalam. Tambahan pula, pihak media turut boleh menganjurkan peraduan teka teki atau menulis sajak dan syair yang bertemakan karya-karya sastera. Jelasnya, pihak media haruslah mengambil langkah untuk menarik perhatian orang ramai untuk membaca karya sastera.
            Seterusnya, pihak kerajaan haruslah mengadakan pameran karya sastera dan kempen menghayati karya sastera di seluruh pelosok negara. Melalui langkah ini, rakyat berpeluang untuk mengenali karya-karya sastera ini dengan lebih dekat. Tambahan pula, pihak kerajaan boleh membina perpustakaan rakyat di setiap daerah bagi memudahkan rakyat untuk membaca ataupun meminjam karya-karya sastera untuk dibaca. Pihak kerajaan turut boleh mengambil inisiatif untuk mengurangkan kadar cukai penerbitan karya sastera. Langkah ini dapat menurunkan harga buku tersebut agar semua rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah berpeluang untuk memiliki karya-karya sastera itu sendiri. Oleh itu, jelaslah bahawa pihak kerajaan turut memainkan watak yang utama dalam mengambil langkah untuk menarik minat orang ramai membaca karya sastera.
            Akhir sekali, pihak-pihak NGO seperti syarikat penerbitan harus menerbitkan lebih banyak karya sastera supaya karya tersebut mudah didapati di pasaran. Pihak penerbit boleh bekerjasama dengan penulis untuk mengeluarkan berbagai-bagai genre sastera. Penerbit juga  perlu memberikan bayaran setimpal dan berpatutan kepada penulis. Persatuan Karya-karya Sastera boleh ditubuhkan untuk melindungi karya-karya penulis supaya tidak dplagiat oleh pihak tertentu yang bermotifkan keuntungan dan bagi membolehkan para peminat  berkongsi pendapat bersama dengan penulis. Kerajaan juga boleh meningkatkan jumlah penerbitan karya sastera dalam setahun dan bekerjasama dengan seberapa ramai penulis dan penerbit untuk menghasilkan karya sastera yang bermutu.
            Berdasarkan perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa semua pihak menggalas tanggungjawab yang berat dalam usaha untuk menghidupkan minat orang ramai membaca karya sastera. Masyarakat pula harus bersikap berhati terbuka  supaya langkah-langkah tersebut mendapat sambutan yang hangat dan seterusnya berjaya direalisasikan. Kita selaku warga Malaysia haruslah mencintai dan menghayati karya sastera kita kerana ia merupakan warisan bangsa dan mencerminkan identiti kita.
(Karangan ini dipetik daripada modul karangan terbitan PPD Kinta Selatan (2011) dengan sedikit penambahbaikan)

Peranan Ibu Bapa dalam Membudayakan Amalan Menabung



Menabung amat penting untuk menjamin kehidupan pada masa hadapan.

Apakah peranan ibu bapa dalam memastikan amalan menabung menjadi budaya masyarakat kita?



Hidup ibarat roda, sekejap di atas, sekejap di bawah, begitulah lumrah manusia dalam kehidupan. Menjelang era milieu yang sarat dengan informasi dan teknologi, momentum arus terus bergerak ke depan dengan tidak berlengah-lengah. Oleh itu, generasi muda perlu berjimat cermat dan sifat menabung perlu disemai sejak anak-anak masih kecil lagi. Amalan menabuing ini diharapkan terbawa-bawa sehingga dewasa. Menabung merupakan tabiat menyimpan wang. Tanggungjawab untuk memupuk amalan ini dalam sanubari anak-anak jatuh pada bahu ibu bapa. Dengan itu, ibu bapa perlu memainkan peranan mereka dengan bijaksana ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Persoalannya, apakah peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa dalam memastikan amalan ini menjadi budaya masyarakat kita?

             
Tindakan utama yang perlu dilakukan oleh ibu bapa bagi menerapkan amalan berjimat-cermat dalam diri anak-anak adalah dengan menjadikan amalan ini sebagai budaya keluarga. Hal ini dikatakan demikian kerana suasana atau budaya keluarga merupakan cara yang paling cepat dan efektif bagi membentuk keperibadian anak-anak. “Anak ibarat sehelai kain putih, ibu bapa yang bakal mencorakkannya menjadi putih atau hitam”. Ibu bapa merupakan orang yang pertama berpeluang untuk berinteraksi dengan anak-anak. Anak-anak telah dibawa ke dunia ini oleh ibu bapa. Anak-anak datang ke dunia yang berwarna-warni ini dengan otak yang kosong. Oleh itu, ibu bapa perlulah mengisikan tempat kosong yang ada dalam minda anak-anak. Dengan kesempatan ini, ibu bapa boleh menyemai amalan menabung dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa boleh mengajar anak-anak menabung dengan menyimpan sebahagian daripada wang perbelanjaan harian sekolah anak-anak. Ajarlah anak-anak berjimat-cermat dan tidak membelanjakan semua wang perbelanjaan harian yang diberi agar anak-anak tahu akan kepentingan menabung. Jelasnya, ibu bapa perlu memupuk tabiat ini dalam kalangan kanak-kanak “sebelum kudis menjadi tokak”.

            Selain itu, ibu bapa wajar menerapkan amalan menabung dalam jiwa anak-anak sejak bangku prasekolah lagi, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sewaktu anak-anak masih kecil, mereka sangat mematuhi kata-kata dan nasihat ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa mudah memberitahu dan mendidik mereka amalan yang berunsur positif seperti amalan menabung. Anak-anak mudah dipengaruhi ketika mereka masih kecil. Mereka tidak akan mengingkari nasihat ibu bapa dan mengikut segala ajaran ibu bapa mereka. Dengan cara ini, amalan menabung, secara tidak langsung, mudah berakar umbi dalam hati anak-anak. Sekiranya didikan dan ajaran seperti ini diberikan sewaktu belia, anak-anak yang berdarah muda tidak akan mempedulikan ibu bapa lagi
 dan nasihat ini bagai mencurahkan air ke daun keladi. Ibu bapa yang melahirkan anak-anak dan membawa mereka ke alam fana ini, sekiranya mangajar kanak-kanak bukan tanggungjawab mereka, siapakah yang mampu bertanggungjawab dalam hal ini lagi?  Oleh itu, ibu bapa perlu menerapkan amalan sedikit demi sedikit dalam jiwa anak-anak sejak lagi.
Selain itu, ibu bapa mengamalkan gaya hidup sederhana dan tidak menunjuk-nunjuk. Anak-anak perlu diterapkan dengan gaya hidup yang sederhana dan tidak membazir. Sebagai contohnya, jenis rumah dan perkakas di dalamnya menjadi penanda aras paling senang bagi menilai taraf hidup sesebuah keluarga. Oleh itu, ibu bapa perlulah bersederhana dalam pembelian peralatan di rumah dan setiap pembelian perlu dibayar tunai tanpa berhutang. Kadangkala, terdapat keluarga yang sanggup berhutang bagi membeli perabot dan perkakas rumah yang bergaya supaya mendapat "pengiktirafan"orang berada oleh orang-orang di sekeliling walaupun hakikat sebenarnya mereka  tidak berkemampuan .Mereka inilah yang berpegang pada prinsip biar papa asal bergaya. Jika ada ibu bapa yang menjadikan hal ini sebagai budaya keluarga, diharapkan mereka dapat menukar perspektif tersebut bagi memudahkan proses penerapan amalan berjimat cermat dalam diri anak-anak.

            “Adat usang pusaka lama”, amalan menabung merupakan tabiat yang bijak dan harus diwariskan secara turun-temurun. Ibu bapa perlu mengajar anak-anak menguruskan wang dengan cekap. Mereka harus memberitahu anak-anak cara penggunaan wang dan cara penyimpanannya. Mereka perlu kerap menggalakkan anak-anak mengamalkan tabiat menabung.  Membuka akaun bank untuk anak-anak merupakan perkara pertama yang boleh diambil bagi menyiapkan anak-anak ke arah berjimat-cermat. Malah, langkah ini boleh diambil sejak usia mereka masih bayi. Ibu bapa dapat menaikkan semangat anak-anak untuk menabung dengan meminta mereka membayangkan wang simpanan yang bakal digunakan untuk masa depan mereka kelak. Kata orang tua, “semua orang memerlukan pujian”. Dengan hal tersebut, ibu bapa boleh memuji anak-anak sekiranya mereka melakukan sesuatu yang baik. Pujian dengan batasan tertentu boleh mewujudkan keyakinan anak-anak. Oleh itu, mereka akan menerima nasihat dan ajaran ibu bapa dengan hati terbuka. Mereka akan belajar pengurusan wang dengan cekap. Amalan menabung mudah ditanamkan. Dengan itu, ibu bapa harus memuji anak-anak dan cara ini dapat memudahkan penerapkan amalan menabung sudah terang seperti “murai berkicau hari siang”.

Pada hakikatnya,   ibu bapa  berperanan  untuk  menunjukkan  contoh  teladan yang baik kepada anak-anak.  Ibu  bapa  sendiri   harus mengamalkan  sikap  menabung.  Mereka harus menabung wang bersama dengan anak-anak.  Anak-anak  mudah  terikut-ikut  oleh  tingkah  laku ibu  bapa dan mereka akan mengikut jejak langkah ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa perlu menujukkan contoh yang baik. Mereka harus mengamalkan tabiat menabung juga.  Cuba  anda  bayangkan, macam mana anak-anak akan rela hati untuk menabung sekiranya ibu bapa mereka sendir iseorang yang boros dan tidak  pandai  menguruskan  wang?   Hal  ini  jelas menunjukkan  betapa pentingnya  imej  yang diberikan oleh ibu bapa di depan anak-anak. Pepatah Melayu juga mengatakan bagaimana acuan, begitulah kuihnya.

            “Jika berkawan dengan tukang besi, baju kita akan tercarik terkena percikan api; jika berkawan dengan penjual pewangi harum, tubuh kita akan berbau harum”, kawan merupakan ‘magnet sakti’ yang boleh mempengaruh anak-anak yang berusia seumur jagung. Ibu bapa harus menapis kawan anak-anak dan mengelakkan mereka berkawan dengan mereka yang kurang berakhlak. Benteng iman yang lemah anak-anak mudah runtuh sekiranya kegembiraan dan kemewahan mengaburi mata, bak kata pepatah, “ikut hati mati, ikut rasa binasa”. Oleh itu, ibu bapa harus mengurangkan peluang anak-anak untuk bercampur dengan golongan tidak bermoral agar amalan menabung tidak akan dialpakan dan diketepikan oleh anak-anak.

Kesimpulannya, ibu bapa sememangnya memainkan peranan dominan dalam memastikan amalan menabung manjadi budaya masyarakat kita. Pepatah cina mengatakan “Jikalau tiada wang semua kerja tak terjadi”. Peribahasa Melayu pula menunjukkan “ada padi semua jadi, ada beras semua deras”. Gambaran ini menunjukkan betapa pentingnya wang dalam zaman globalisasi yang mengutamakan kebendaan dan material. Kita harus menyemai sifat menabung dan menjadikan amalan ini sabagai satu tabiat hidup. Pembentukan generasi muda barakhlak yang merupakan tonggak aspirasi untuk menerajui negara pada masa depan amat diperlukan untuk merealisasikan kelahiran masyarakat madani. “Air bersih, ikannya jernih”.