Hari Isnin, 20 Julai 2009, bersamaan 27 Rejab 1430H, umat Islam seluruh dunia memperingati peristiwa Israk dan Mikraj. Peristiwa besar dan antara yang terpenting dalam sejarah permulaan Islam itu membawa bersamanya lautan iktibar dan hikmah yang kekal menjadi panduan dan peringatan kepada umat Islam hingga ke akhir dunia.
Antara pengajaran dan perkara utama ditonjolkan menerusi apa yang dialami Rasulullah s.a.w. di dalam peristiwa itu ialah berkaitan kepentingan mendirikan solat. Menerusi peristiwa Israk dan Mikraj Baginda s.a.w. menerima syariat mendirikan solat lima waktu sehari semalam.
Diriwayatkan juga Nabi Muhammad s.a.w. telah mengimami solat bersama para anbiya dan mursalin.
Episod itu bukan sahaja mengisyaratkan Baginda s.a.w. sebagai penghulu segala anbiya dan mursalin, malah kepimpinan beliau itu dikaitkan pula dengan penghormatan diberikan oleh dalam memimpin ibadat utama kepada Allah.
Peristiwa itu juga dijadikan iktibar betapa Islam amat menekankan solat berjamaah. Sebab itu setiap kali para ulama menceritakan Israk dan Mikraj, mereka tidak akan ketinggalan mengaitkannya dengan kepentingan menjaga solat dan memakmurkan masjid menerusi solat berjamaah.
Amat malang bagi umat kini, meski pun peringatan dan penekanan mengenai kepentingan solat berjamaah sering diulang sebut oleh pelbagai pihak yang menitikberatkan amalan itu, ia masih terlalu jauh untuk menjadi tabiat harian umat Islam.
Fenomena masjid dan surau yang kosong dan lengang terzahir di mana-mana. Semua pihak mengambil daya usaha memperbanyakkan jumlah anggota kariah yang melazimi masjid sedia ada untuk berjamaah.
No comments:
Post a Comment