Friday, March 5, 2010

Penggunaan rangkai kata 'salah seorang daripada'

Pengguna bahasa Melayu sering menggunakan rangkai kata salah seorang daripada, seperti dalam ayat yang berikut:
  1. Salah seorang daripada pelumba-pelumba itu telah mengalami kekejangan otot di kaki kirinya.
  2. Salah seorang daripada semua pelumba itu telah mengalami kekejangan otot di kaki kirinya.
  3. Salah seorang daripada pelumba itu telah mengalami kekejangan otot di kaki kirinya.

Semua ayat tersebut tidak gramatis. Ayat 1 hingga 3 tidak gramatis kerana rangkai kata salah seorang daripada mempunyai kelewahan bahasa. Rangkai kata yang tepat ialah seorang daripada atau salah seorang.

Selain itu, frasa nama pelumba-pelumba dan semua pelumba tidak tepat apabila digunakan dalam ayat tersebut. Hal itu dikatakan demikian kerana dalam konteks ketiga-tiga ayat itu, rangkai kata seorang daripada atau salah seorang sudah membawa konsep jamak. Oleh itu, frasa nama pelumba-pelumba dan semua pelumba yang mengikutinya dianggap lewah.

Ayat yang gramatis ialah ayat yang berikut:

4. Salah seorang pelumba itu telah mengalami kekejangan otot di kaki kiri.

5. Seorang daripada pelumba itu telah mengalami kekejangan otot di kaki kiri.

(Dipetik daripada ruangan Soal Jawab Bahasa, Pelita Bahasa Februari 2010, DBP)

No comments: