Huraikan usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk
mengelakkan kejadian tanah runtuh.
Bencana tanah runtuh
merupakan satu fenomena yang serius seperti kejadian tanah runtuh di Bukit
Antarabangsa, Kuala Lumpur pada Disember, 2006 dan kejadian meragut nyawa
anak-anak yatim di Hulu Langat baru-baru ini memerlukan satu pendekatan yang
dinamik dan menyeluruh. Fenomena ini merupakan rentetan daripada kegagalan
pelbagai pihak bertindak ke atas kesan-kesan semula jadi dan tindakan manusia.
Pelbagai reaksi yang ditunjukkan, ada pihak melempar batu, sembunyi tangan. Ada pihak tidak ambil pusing dengan
tanda-tanda awal kejadian mungkin berlaku. Justeru, usaha-usaha yang lebih
pragmatis perlu dilakukan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini lagi.
Pemusnahan hutan dan aktiviti pembalakan tanpa kawalan lazimnya
dikaitkan dengan fenomena tanah runtuh ini. Kerakusan manusia menggeledah rimba
raya dan bukit bukau ini telah mengganggu ekosistem dan lestari alam. Keadaan
tanah di cerun bukit digondolkan serta mendedahkanya kepada risiko tanah
runtuh. Pokok-pokok yang menjadi ikatan kepada tekstur tanah telah ditebang dan
dibuang. Apabila hujan turun air yang mengalir menjadi beban kepada cerun yang
longgar dan tidak stabil. Hal ini boleh menyebabkan tanah rebah seperti yang
pernah berlaku di tanah tinggi Genting Highland dan Pos Dipang satu ketika
dahulu. Oleh itu, kawalan terhadap penebangan hutan dan aktiviti pembalakan ini
diharapkan dapat menjadi satu usaha jitu dalam menyelamatkan cerun dan tanah
daripada runtuh dan mengancam nyawa.
Selain itu, usaha menanam semula tumbuh-tumbuhan
selepas aktiviti pembangunan merupakan langkah yang agak efisen bagi
meminimakan kejadian tanah runtuh. Manusia mengolah alam sekitar dan hidupan
untuk mendapatkan keperluan asas hidupnya seperti makanan, pakaian, tempat
kediaman, dan mendirikan tempat rekreasi. Dalam usaha memenuhi keperluannya,
manusia telah membuka hutan untuk pertanian, perumahan, industri, perlombongan,
membina empangan dan mengeringkan hutan paya bakau. Aktiviti-aktiviti manusia
ini menukar alam persekitaran serta menghapuskan habitat semula jadi, banyak
sepsis tumbuhan musnah. Oleh itu, kerjasama semua pihak yang terbabit membuang
segala sifat evasif dengan memikul tanggungjawab lapang bagi memampatkan
kembali kelonggaran tanah akibat pembangunan. Ghalibnya, usaha ini dapat
kembali menguatkan tanah yang telah melalui proses pembangunan.
Bagi mengelak kejadian
buruk ini, negara perlu mendepani persaingan pembangunan dengan strategik dan bijak. Tindakan strategik dan
sistematik terhadap setiap pelan pembangunan adalah sangat mustahak
dipraktikkan bagi memastikan pembangunan tidak mengundang padah. Pembangunan terancang mestilah bersifat
mesra rakyat, mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Kita ambil
contoh, pembangunan tanah perlu diberi perlesenan wajar, mengambil kira jenis tanah dan kawasan serta
faktor cuaca dan alam semula jadi. Perancangan pembangunan perlu melihat simbiosis alam dengan projek yang bakal
dimajukan. Usaha ini diharapkan dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Tanah runtuh juga
mungkin dapat dielakkan, jika negara menguatkuasakan
undang-undang. Hanya undang-undang
sahaja yang dapat mencegah kedegilan dan kerakusan manusia mengaut keuntungan
tanpa menghiraukan kebajikan sosial. Pesalah perlu dihukum mengikut
undang-undang. Rasuah dan sikap pilih
bulu perlu diketepikan sama sekali dalam menjayakan agenda negara agar
keberkesanan tindakan dapat dilihat hasilnya. Penetapan akta seperti Akta
Pembangunan, akta tanah, akta perhutanan dapat menjaga hak dan menyelamatkan
situasi genting. Pembangunan dilakukan
dengan berhati-hati sudah pasti dapat meminimakan kejadian ini.Kesimpulannya, sikap bertanggungjawab semua pihak amat perlu dalam mengelakkan kejadian tanah runtuh ini. Setiap langkah keselamatan dan peraturan tidak boleh dipandang enteng kerana sikap sedemikian sering mengundang padah. Bagi mengatasi masalah ini, sinergi dari semua lapisan masyarakat sahaja dapat menjayakan misi dan visi murni ini. Sesungguhnya, tindakan kita perlu umpama menarik rambut di dalam tepung, rambut tak putus tepung tak berselerak. Kerja yang teliti pasti membuahkan hasil yang baik.
(Karangan ini dipetik daripada Modul Cemerlang Bahasa Melayu Terbitan PPD Kinta Selatan - Terima Kasih)