| |

Friday, June 1, 2012

Contoh Karangan

Huraikan usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh.   
            Bencana tanah runtuh merupakan satu fenomena yang serius seperti kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur pada Disember, 2006 dan kejadian meragut nyawa anak-anak yatim di Hulu Langat baru-baru ini memerlukan satu pendekatan yang dinamik dan menyeluruh. Fenomena ini merupakan rentetan daripada kegagalan pelbagai pihak bertindak ke atas kesan-kesan semula jadi dan tindakan manusia. Pelbagai reaksi yang ditunjukkan, ada pihak melempar batu, sembunyi tangan. Ada pihak tidak ambil pusing dengan tanda-tanda awal kejadian mungkin berlaku. Justeru, usaha-usaha yang lebih pragmatis perlu dilakukan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini lagi.

            Pemusnahan hutan dan aktiviti pembalakan tanpa kawalan lazimnya dikaitkan dengan fenomena tanah runtuh ini. Kerakusan manusia menggeledah rimba raya dan bukit bukau ini telah mengganggu ekosistem dan lestari alam. Keadaan tanah di cerun bukit digondolkan serta mendedahkanya kepada risiko tanah runtuh. Pokok-pokok yang menjadi ikatan kepada tekstur tanah telah ditebang dan dibuang. Apabila hujan turun air yang mengalir menjadi beban kepada cerun yang longgar dan tidak stabil. Hal ini boleh menyebabkan tanah rebah seperti yang pernah berlaku di tanah tinggi Genting Highland dan Pos Dipang satu ketika dahulu. Oleh itu, kawalan terhadap penebangan hutan dan aktiviti pembalakan ini diharapkan dapat menjadi satu usaha jitu dalam menyelamatkan cerun dan tanah daripada runtuh dan mengancam nyawa.
            Selain itu, usaha menanam semula tumbuh-tumbuhan selepas aktiviti pembangunan merupakan langkah yang agak efisen bagi meminimakan kejadian tanah runtuh. Manusia mengolah alam sekitar dan hidupan untuk mendapatkan keperluan asas hidupnya seperti makanan, pakaian, tempat kediaman, dan mendirikan tempat rekreasi. Dalam usaha memenuhi keperluannya, manusia telah membuka hutan untuk pertanian, perumahan, industri, perlombongan, membina empangan dan mengeringkan hutan paya bakau. Aktiviti-aktiviti manusia ini menukar alam persekitaran serta menghapuskan habitat semula jadi, banyak sepsis tumbuhan musnah. Oleh itu, kerjasama semua pihak yang terbabit membuang segala sifat evasif dengan memikul tanggungjawab lapang bagi memampatkan kembali kelonggaran tanah akibat pembangunan. Ghalibnya, usaha ini dapat kembali menguatkan tanah yang telah melalui proses pembangunan.

            Bagi mengelak kejadian buruk ini, negara perlu mendepani persaingan pembangunan dengan strategik dan bijak. Tindakan strategik dan sistematik terhadap setiap pelan pembangunan adalah sangat mustahak dipraktikkan bagi memastikan pembangunan tidak mengundang padah. Pembangunan terancang mestilah bersifat mesra rakyat, mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Kita ambil contoh, pembangunan tanah perlu diberi perlesenan wajar,  mengambil kira jenis tanah dan kawasan serta faktor cuaca dan alam semula jadi. Perancangan pembangunan perlu melihat simbiosis alam dengan projek yang bakal dimajukan. Usaha ini diharapkan dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
            Tanah runtuh juga mungkin dapat dielakkan, jika negara menguatkuasakan undang-undang.  Hanya undang-undang sahaja yang dapat mencegah kedegilan dan kerakusan manusia mengaut keuntungan tanpa menghiraukan kebajikan sosial. Pesalah perlu dihukum mengikut undang-undang.  Rasuah dan sikap pilih bulu perlu diketepikan sama sekali dalam menjayakan agenda negara agar keberkesanan tindakan dapat dilihat hasilnya. Penetapan akta seperti Akta Pembangunan, akta tanah, akta perhutanan dapat menjaga hak dan menyelamatkan situasi genting.  Pembangunan dilakukan dengan berhati-hati sudah pasti dapat meminimakan kejadian ini.

            Kesimpulannya, sikap bertanggungjawab semua pihak amat perlu dalam mengelakkan kejadian tanah runtuh ini.  Setiap langkah keselamatan dan peraturan tidak boleh dipandang enteng kerana sikap sedemikian sering mengundang padah.  Bagi mengatasi masalah ini, sinergi dari semua lapisan masyarakat sahaja dapat menjayakan misi dan visi murni ini. Sesungguhnya, tindakan kita perlu umpama menarik rambut di dalam tepung, rambut tak putus tepung tak berselerak. Kerja yang teliti pasti membuahkan hasil yang baik.

(Karangan ini dipetik daripada Modul Cemerlang Bahasa Melayu Terbitan PPD Kinta Selatan - Terima Kasih)

1 comment:

taruhan bola said...

semoga bisa menjadi inspirasi dalam banyak orang utk menulis karangan