Wednesday, April 20, 2016

Generasi Berwawasan



GENERASI BERWAWAWASAN

OLEH : Muhammad Hasif  (5RKA)

Berikut merupakan teks jawapan Bahasa Melayu 1 Bahagian A  Peperiksaan AwalTahun 2016

     Menghirup udara hasil kemerdekaan negara, telah banyak kejayaan yang dikecapi oleh negara kita dari generasi ke generasi hinggalah ke hari ini. Seiring dengan kejayaan ini juga, kerajaan telah menetapkan garis panduan untuk menjamin sebuah negara maju melalui generasi-generasi yang terpimpin dan berkaliber berpaksikan wawasan yang diterap sejak di bangku sekolah lagi. Hal ini dikira amat penting untuk memastikan kemaslahatan negara terjamin dengan adanya generasi yang berwawasan yang mampu mentadbir negara dan masyarakat. Persoalannya, apakah ciri-ciri yang perlu ada bagi setiap generasi yang berwawasan? Bagi merungkai persoalan ini, saya akan menerangkan secara terperinci tentang ciri –ciri yang perlu ada pada setiap generasi yang berwawasan.
     Ciri-ciri yang perlu ada pada setiap generasi yang berwawasan ialah memiliki semangat patriotik. Hak ini kerana, apabila individu mempunyai semangat patriotik, dapat melahirkan rasa tanggungjawab untuk menabur jasa kepada negara. Contohnya, menyumbangkan tenaga dalam usaha mencapai wawasan sebuah negara yang aman sentosa agar dipandang mulia oleh negara-negara luar. Bak kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Jelaslah  bahawa semangat patriotik perlu dimiliki oleh generasi berwawasan.
     Selain itu, generasi berwawasan juga hendaklah sentiasa berusaha menuntut ilmu. Hal ini demikian kerana, ilmu amat penting untuk membantu seseorang menentukan hala tuju dan masa depan khususnya dalam alam pekerjaan. Misalnya, seorang peguam perlulah mempunyai kelayakan akademik yang baik dalam jurusan undang-undang. Dari sudut lain, dengan ilmu pengetahuan dapat membantu seseorang beramal dan beribadat dengan sempurna sesuai dengan pepatah arab iaitu ilmu tanpa amal seperti pohon tanpa buah. Justeru, jelaslah bahawa generasi berwawasan perlulah sentiasa berusaha menuntut ilmu.
      Seterusnya, generasi berwawasan mestilah berkemahiran tinggi. Hal ini kerana, kemahiran yang tinggi membolehkan seseorang individu untuk menyelesaikan masalah dengan baik dan profesional. Sebagai contoh, seorang pakar ekonomi dapat membantu menyelesaikan masalah kemelesetan ekonomi dan inflasi dengan adanya kemahiran untuk menganalisis pelbagai statistik untuk mencari punca dan penyelesaiannya. Impaknya, kedudukan ekonomi negara akan lebih stabil untuk bersaing dengan pasaran global. Natijahnya, jelaslah bahawa kemahiran tinggi perlu ada dalam diri generasi berwawasan.
     Di samping itu, generasi berwawasan hendaklah saling bekerjasama dalam menyelesaikan masalah. Hal ini kerana, dengan bekerjasama, sesuatu masalah dapat ditangani dengan lebih mudah. Contohnya, apabila berlaku isu-isu besar seperti banjir yang melibatkan bantuan kewangan dan nasihat, orang ramai dapat memberikan sumbangan tenaga dan materialiti untuk menjamin kemaslahatan bersama. Kesannya, hubungan persaudaraan dapat dieratkan sesame warganegara Malaysia. Bak kata pepatah, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Jelaslah bahawa semangat kerjasama perlu dipupuk dalam generasi berwawasan.
     Kesimpulannya, terdapat pelbagai ciri yang dapat dipupuk dalam kalangan generasi berwawasan. Sehubungan itu, semua pihak perlulah berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk melahirkan modal insan yang terdidik dalam usaha untuk mewujudkan sebuah negara yang maju dan aman.

Tuesday, April 19, 2016

Persiapan menghadapi alam pekerjaan



PERSIAPAN-PERSIAPAN UNTUK MENGHADAPI ALAM PEKERJAAN

OLEH : HASIF OTHMAN (5RKA)
(Jawapan Soalan BM 1  Peperiksaan Awal Tahun 2016) 
       Setiap individu mempunyai cita-cita tersendiri yang menjadi impian untuk dicapai suatu ketika nanti.  Kita sedia maklum bahawa setiap peringkat dalam kehidupan seseorang individu berkait rapat dengan keperluan dan kematangan masing-masing dalam menghadapi sesuatu situasi atau konflik. Misalnya peringkat kanak-kanak dan remaja dikaitkan dengan alam persekolahan manakala peringkat dewasa lebih cenderung kepada alam pekerjaan yang pada dasarnya menentukan taraf hidup seseorang individu sama ada mampu menampung keperluan diri, keluarga, dan sebagainya dalam menjalani kehidupan  yang semakin mencabar. Persoalannya, apakah persiapan-persiapan yang wajar dilakukan untuk menghadapi alam pekerjaan. Justeru, bagi merungkai persoalan ini, saya akan menerangkan secara teliti dan terperinci tentang persediaan-persediaan yang perlu dilakukan untuk menghadapi alam pekerjaan.
     Antara persiapan untuk menghadapi alam pekerjaan adalah berkaitan dengan kelayakan akademik yang sesuai dengan pengkhususan pekerjaan. Hal ini kerana, jika seseorang individu ingin meneceburkan diri dalam sesuatu bidang pekerjaan sudah tentu pihak majikan akan meneliti tentang kemahiran atau kebolehan yang setaraf dengan sektor atau jabatan yang dapat dijawat melalui kelayakan akademiknya. Sebagai contoh, individu yang mempunyai kelayakan akademik dalam bidang perubatan kebiasaannya akan menceburkan diri dalam bidang sama atau berkaitan dengan pengkhususan kemahiran seperti ahli farmasi, doktor pakar, jururawat, pakar bedan dan sebagainya. Kesannya, seseorang individu dapat menumpukan perhatian ketika di bangku sekolah terhadap bidang yang berkaitan dengan pengkhususan pekerjaan yang sesuai dengan cita-citanya agar dapat mengelakkan pengangguran akibat tidak memenuhi kriteria yang sepatutnya ada apabila berkhidmat di bawah sesebuah agensi sama ada kerajaan mahupun swasta. Justeru, jelaslah bahawa kelayakan akademik amat penting bagi seseorang membuat persediaan menempuh alam pekerjaan.
     Selain itu, seseorang individu juga hendaklah bersedia dari segi fizikal dan mental sebelum memasuki alam pekerjaan. Hal ini demikian kerana, seseorang pekerja seharusnya mempunyai fizikal dan mental yang kuat untuk membolehkan mereka menghadapi tekanan kerja yang boleh memudaratkan bukan sahaja emosi malah kesihatan sekiranya tidak dapat ditangani dengan baik. Contohnya, sekiranya seseorang individu tidak biasa melaksanakan tugasan-tugasan yang berat dan menguji kesabaran secara tidak langsung dapat menggangu emosi dan fikiran yang bercelaru sehingga satu tahap boleh mengundang penyakit serius seperti tekanan darah tinggi, migraine, dan sebagainya. Impaknya, apabila individu itu berkhidmat dalam pekerjaan, akan menyukarnya untuk mengekalkan pretasi dan berkemungkinan besar boleh dipecat oleh majikan. Natijahnya, jelaslah bahawa seseorang individu perlulah bersedia dari segi mental dan fizikal sebelum memasuki alam pekerjaan.
          Seterusnya, seseorang individu juga hendaklah mempertimbangkan tentang prospek pekerjaan berkaitan bidang yang diceburi. Hal ini kerana, apabila seseorang individu membuat pertimbangan awal berkaitan prospek pekerjaannya membolehkan kadar perbelanjaan dan sumber pendapatan alternatif dapat ditentukan untuk mengelakkan pembaziran masa, wang, dan tenaga. Contohnya, sebelum berkhidmat dalam sesebuah agensi, seseorang individu perlulah menekankan faedah sampingan yang bakal diperoleh selain daripada gaji pokok yang ditawarkan seperti elaun tambahan, bonus, suasana tempat kerja, peluang kenaikan pangkat, jarak ke tempat kerja dan sebagainya agar dapat menjamin kedudukan kewangan yang stabil. Impaknya, individu dapat menyeimbangkan kadar perbelanjaannya sesuai dengan pendapatan yang diperoleh untuk menjamin tabungan dan kejadian luar jangka ketika berkhidmat dalam sesebuah sektor pekerjaan. Bak kata pepatah sediakan payung sebelum hujan. Tuntasnya, jelaslah bahawa prospek pekerjaan seseorang individu perlu dipertimbangkan sebelum menceburi alam pekerjaan.
     Di samping itu, persediaan-perssediaan yang perlu dilakukan untuk menghadapi alam pekerjaan ialah mempunyai kemahiran komunikasi yang baik. Hal ini kerana, apabila seseorang itu mempunyai komunikasi yang baik dapat membantunya menyesuaikan diri dengan suasana tempat kerja melalui khidmat nasihat dan pergaulan yang baik sesama rakan sekerja pada masa yang sama mengelakkan perasaan hasad dengki sesama rakan sekerja. Contohnya, individu yang pandai menjaga tutur kata dan adab sesama rakan akan mudah digauli serta mendapat bimbingan khususnya ketika memasuki alam pekerjaan yang bukan sahaja melibatkan komunikasi sesama rakan sekerja dan majikan, malah para pelanggan, klien, pelabur dan sebagainya bergantung kepada bidang masing-masing. Kesannya, kita dapat memperoleh kepercayaan majikan serta pelanggan dalam memberi komitmen dalam tugasan secara profesional yang dapat dijadikan motivasi atau penggerak untuk berkhidmat dalam sektor yang diceburi. Natijahnya, sudah terang lagi bersuluh bahawa kemahiran berkomunikasi amat penting sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.
     Sementelahan pula, persediaan-persediaan yang perlu dilakukan untuk menghadapi alam pekerjaan ialah bijak membahagikan masa. Hal ini demikian kerana seseorang yang dapat membahagikan masa dengan baik dapat mengurangkan risiko menghadapi masalah tekanan akibat prestasi kerja yang tidak selari dengan dengan kitaran biologi seseorang. Misalnya, jika seseorang gagal membahagikan masa kerja dan masa tidur akan menyebabkan produktivitinya menurun berpunca daripada gejala kekurangan tidur semata mata untuk menyiapkan tugasan yang tertangguh. Kesannya, seseorang itu akan sukar untuk melengkapi keperluan hidup yang sihat dari segi rohani,jasmani,emosi,dan sebagainya jika tidak membahagi waktu dengan baik kerana pepatah Arab pernah menyebut waktu bagaikan pedang, sekiranya kita tidak memotongnya dia akan memotong kita.  Justeru jelaslah bahawa pengurusan masa amat penting sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.
        Kesimpulannya, terdapat pelbagai persediaan yang boleh dilakukan untuk menghadapi alam pekerjaan.  Sehubungan itu, semua pihak khususnya individu seharusnya berganding bahu bagai aur dengan tebing dalam usaha bagi melahirkan generasi yang professional dan syumul dalam pelbagai sektor pekerjaan.Oleh hal yang demikian,diharapkan pelbagai program dan bengkel dapat terus dijalankan untuk memberikan pendedahan kepada anak-anak muda tentang pelbagai bidang pekerjaan untuk menjana taraf hidup dan pertumbuhan ekonomi negara.

Sunday, April 17, 2016

Menggembirakan ibu bapa



Salah satu cara yang boleh dilakukan oleh anak-anak untuk menggembirakan ibu bapa adalah dengan menjaga nama baik mereka.


Huraikan langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk menjaga nama baik ibu bapa anda

 
     Tidak ada ibu bapa di dunia ini yang tidak sayang akan anaknya. Mereka sanggup berkorban apa-apa sahaja untuk memastikan anak-anak sentiasa selamat dan sihat. Ibu bapa juga sanggup berkorban dan bersengkang mata berjaga malam semata-mata untuk menjaga terutamanya ketika anak-anak sakit. Bagi ibu bapa, tiada detik yang paling menggembirakan mereka melainkan ketika melihat anak-anak membesar sebagai seorang yang berguna dan berjaya dalam hidup. Sebagai seorang anak yang bertanggungjawab, kita perlu sentiasa ingat akan pengorbanan ibu bapa kita dan membalas jasa mereka walaupun mereka tidak pernah mengharapkan sebarang balasan daripada kita. Sebagai seorang anak, saya bertanggungjawab menggembirakan ibu bapa saya dan menjaga nama baik mereka kerana saya sedar bahawa tiada ibu bapa, tiadalah saya. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang harus saya lakukan untuk menjaga nama baik mereka?
     Langkah utama yang akan saya lakukan untuk menjaga nama baik ibu bapa saya adalah dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat kejayaan yang cemerlang. Ibu bapa saya pasti akan gembira apabila saya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan dalaman sekolah atau peperiksaan awam. Untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan , saya akan menumpukan sepenuh perhatian saya semasa guru sedang mengajar. Sekiranya saya tidak memahami sesuatu tajuk dalam pelajaran tertentu, saya tidak akan malu bertanya kepada guru saya kerana pepatah menyatakan bahawa malas berkayuh perahu hanyut, segan bertanya sesat jalan. Selain itu , saya akan mengulangkaji pelajaran secara berkumpulan bersama-sama rakan sekelas ketika ada masa yang terluang. Saya juga akan menyediakan jadual belajar secara sistematik dan efisyen. Semua kerja rumah yang diberikan oleh guru akan saya siapkan mengikut ketetapan masa  yang diberi oleh guru. Saya juga akan sentiasa membuat persediaan lebih awal dengan mengulangkaji pelajaran sebelum menghadapi peperiksaan yang sebenar kerana pepatah menyatakan sediakan payung sebelum hujan. Kejayaan yang akan saya peroleh hasil usaha saya yang bersungguh-sungguh ini tentulahkan akan menaikkan nama baik ibu bapa saya. Reputasi ibu bapa saya sebagai contoh dalam kalangan masyarakat akan terselah dan nama baik mereka juga akan terbina. Jelasnya, saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk memperoleh keputusan yang cemerlang untuk menjaga nama baik ibu bapa saya.
     Selain itu, untuk menjaga nama baik ibu bapa, saya akan bergaul dan berkawan dengan rakan-rakan yang baik dan dapat membimbing saya menjadi seorang insan yang berguna kepada masyarakat apabila dewasa kelak. Hal ini demikian kerana, saya akan memastikan diri saya tidak terlibat dengan rakan-rakan yang bermasalah yang boleh mempengaruhi saya terjebak dalam kancah gejala sosial seperti merempit, melepak , ponteng sekolah , melakukan vandalime dan melibatkan diri dalam penagihan najis dadah. Saya akan sentiasa berpegang pada pepatah yang menyatakan bahawa “jika kita berkawan dengan seorang tukang besi, baju kita akan tercarik kerana terkena percikan api, tetapi jika kita berkawan dengan seorang penjual minyak wangi, tubuh badan kita akan turut berbau harum”. Saya juga akan membezakan anatara rakan yang baik dengan rakan yang tidak baik.  Saya akan berkawan dengan rakan-rakan yang mengutamakan pelajaran agar saya dapat bertukar-tukar pandangan dan ilmu dengan mereka. Hal ini penting bagi menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya, agar mempunyai semangat dan motivasi untuk belajar bersungguh-sungguh. Ibu bapa saya pasti bersyukur sekiranya sebagai seorang anak saya tidak melakukan sesuatu yang boleh menconteng arang ke muka mereka. Jelasnya , saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang berakhlak baik agar saya tidak tersilap langkah demi menjaga nama baik ibu bapa saya.
     Di samping itu , bagi menjaga nama baik ibu bapa, saya akan menjaga akhlak dan tingkah laku saya sendiri agar tidak mencemarkan maruah ibu bapa saya. Setiap ibu bapa pasti berasa bangga seandainya anak-anak yang lahir mengamalkan nilai-nilai murni dan berbudi bahasa dalam kehidupan. Kecemerlangan yang dicapai oleh anak-anak dalam bidang akademik bukan jaminan untuk ibu bapa gembira sekiranya anak-anak yang cemerlang ini tidak memiliki akhlak yang terpuji dan berbudi bahasa. Sebagai seorang anak, saya akan sentiasa menghormati ibu bapa dan bercakap dengan lemah lembut terhadap mereka. Saya juga akan sentiasa mendengar nasihat mereka dan tidak sekali-kali menjadi anak derhaka seperti cerita si Tanggang. Akhlak akan seiring dengan kejayaan yang saya miliki . Sebagai seorang murid sekolah pula, saya akan mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Saya akan mengelakkan diri daripada terlibat dalam masalah disiplin seperti ponteng kelas , tidak menghormati guru dan tidak menyiapkan kerja sekolah. Saya sedar sekiranya saya melanggar peraturan sekolah dan terlibat dengan salah laku di sekolah, ibu bapa saya akan di panggil dan mereka akan berasa malu akibat perbuatan saya ini. Oleh itu, saya akan sentiasa menghormati guru-guru di sekolah dan menghormati orang yang lebih tua daripada saya apabila berjumpa dengan mereka di mana-mana sahaja. Hal ini demikian kerana masyarakat pasti bertanya “Anak siapakah yang berbudi bahasa itu?” Secara tidak langsung, ibu bapa saya akan dipandang tinggi oleh masyarakat kerana mendidik anaknya dengan baik. Hadis Riwayat Al-Tarmizi menyatakan bahawa ibu bapa yang baik terdiri daripada ibu bapa yang melahirkan anak-anak yang berakhlak mulia.
     Tambahan lagi , saya akan menjaga nama baik ibu bapa dengan manjalinkan hubungan yang baik dengan ahli keluarga , jiran tetangga dan masyarakat setempat. Sebagai seorang anak yang baik, saya sentiasa menjalinkan hubungan dengan ahli keluarga dan saudara mara yang jauh dan dekat sama ada di sebelah ibu mahupun di sebelah bapa walaupun mereka telah meninggal dunia. Saya akan meneruskan jalinan kasih sayang dengan ibu bapa saudara dan sepupu-sepupu saya termasuklah mereka yang mempunyai hubungan bau-bau bacang dengan saya. Hubungan yang terjalin ini dapat mengeratkan ikatan kekeluaargaan dan tali persaudaraan yang mungkin hampir terputus kerana tinggal berjauhan serta tidak mengenali antara satu sama lain. Sebagai contohnya, saya akan membawa ibu bapa saya menziarahi sanak saudara dan kaum kerabat saya pada musim perayaan atau majlis kenduri-kendara. Saya yakin hubungan saya ini dapat menjaga nama baik ibu bapa saya kerana menjalinkan hubungan baik dalam kalangan keluarga. Selain itu, saya juga akan menjaga hubungan baik dengan jiran tetangga seperti selalu bertegur sapa dengan mereka, menziarahi mereka sekiranya mereka sakit , membantu mereka apabila mereka memerlukan bantuan  dan mengunjungi rumah mereka pada hari perayaan. Sebagai seorang anggota masyarakat, saya akan menyertai setiap program kemasyarakatan yang dianjukan oleh masyarakat di kawasan tempat tinggal saya. Ibu bapa saya pasti gembira apabila saya melibatkan diri dalam program kemasyarakatan kerana mereka tidak perlu berasa bimbang sekiranya saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang tidak baik. Penglibatan saya dalam program kemasyarakatan juga membuktikan saya menjadi lebih matang dan berminda terbuka dan tidaklah seperti katak di bawah tempurung.Tegasnya, nama baik ibu bapa dapat dijaga dan dapat dipelihara sekiranya saya menjalinkan hubungan yang baik dengan masyarakat setempat. Bak kata pepatah,  hidup kayu biar berbuah, hidup manusia biar berjasa.”
     Akhir sekali, saya akan sentiasa berpegang teguh pada ajaran agama demi menjaga nama baik ibu bapa saya. Sebagai anak yang baik, saya akan sentiasa mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan saya agar saya mempunyai benteng keimanan yang kukuh dan ampuh serta dapat mengelakkan diri daripada terjebak dan terpengaruh oleh perkara-perkara yang tidak baik. Sekiranya saya berpegang teguh pada ajaran agama, saya dapat membezakan perkara yang salah dan benar. Hal ini amat penting untuk menentukan kejayaan saya pada masa hadapan. Saya akan sentiasa menjaga nama baik ibu bapa dan tidak menghampakan harapan mereka terhadap saya , kerana saya sedar, “siapalah saya tanpa ibu bapa”. Saya akan mempraktikkan didikan agama yang saya terima agar saya mempunyai matlamat hidup yang jelas. Saya sedar akan kepentingan masa hadapan saya. Untuk meningkatkan nilai kerohanian dalam diri , saya akan menghadiri kelas-kelas agam a atau kelas fardhu ain serta majlis-majlis ilmu agar dapat membentuk jiwa saya kearah melakukan perkara-perkara baik. Hal ini penting untuk melawan serangan pemikiran yang boleh menjerumuskan saya untuk melakukan perkara yang tidak baik. Tegasnya, didikan agama yang saya terima hasil asuhan ibu bapa akan saya praktikkan dalam kehidupan saya supaya saya  dapat membentuk keperibadian yang baik dalam diri saya sekali gus dapat menjaga nama baik ibu bapa saya.
            Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa menjaga nama baik ibu bapa atau menggembirakan mereka menjadi satu tanggungjawab anak-anak yang  hidup di dunia. Oleh itu, saya ingin menyeru agar semua remaja dan anak-anak sentiasa menjaga nama baik masing-masing dan jangan sesekali melukakan perasaan ibu bapa mereka atau melakukan sesuatu yang boleh menjatuhkan imej mereka. Kita perlu ingat bahawa harta benda boleh dicari tetapi ibu bapa tiada galang gantinya. Tegasnya, berbuat baiklah kepada ibu bapa selagi hayat mereka masih ada dan sebelum terlambat kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Menangani Isu Pencemaran Alam Sekitar


Peranan Pelbagai Pihak Perlu Menangani Isu Pencemaran Alam

Persembahan Kumpulan Siti Fatimah (5RKA SMK Panglima Bukit Gantang

 Seiring dengan pembangunan pesat yang dijalankan di negara ini sejak satu dasawarsa dahulu, negara kita telah menghadapi pelbagai masalah dan halangan dalam usaha menuju ke Wawasan 2020 yang diidam-idamkan. Selama ini, masalah kebersihan awam dan alam sekitar telah berakar umbi di negara ini serta menjadi semakin kronik belakangan ini bagai bangkai gajah yang tidak dapat ditutupi dengan nyiru lagi. Masalah sosial tersebut tidak seharusnya dipandang enteng memandangkan isu tersebut berkait rapat dengan kesihatan rakyat negara ini. Sebab-sebab berlakunya pengabaian kebersihan awam dan alam sekitar hendaklah dikenal pasti supaya langkah-langkah pencegahan dapat diambil demi kesejahteraan hidup sejagat. Sayugia diingatkan bahawa masalah kebersihan awam dan alam sekitar dapat mendatangkan kesan buruk yang tidak diingini terhadap kesihatan rakyat. Secara keseluruhannya, langkah-langkah yang proaktif dan efektif harus diberikan penekanan dalam usaha mengatasi masalah tersebut. Oleh itu, semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi.

Ibu bapa memainkan peranan yang signifikan dalam memastikan kebersihan awam dan alam sekitar terjamin. Ibu bapa haruslah menitikberatkan didikan agama yang mantap dalam diri kanak-kanak sejak bangku sekolah lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Semua agama menekankan aspek kebersihan dan menegah penganutnya daripada melakukan kekotoran yang akan menjejaskan kemaslahatan awam. Dengan adanya didikan agama yang teguh, insan yang mementingkan kebersihan di tempat awam atau kebersihan alam sekitar dapat dilahirkan. Selain itu, ibu bapa harus menunjukkan perlakuan yang baik dalam aspek kebersihan tanpa mengira di mana jua berada kerana tingkah laku mereka akan menjadi teladan dan ikutan anak-anak mereka kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Ibu bapa tidak seharusnya bersikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus, sedangkan dirinya berjalan senget. Misalannya, ibu bapa haruslah membuang sampah ke dalam tong sampah dan menggunakan tandas awam dengan baik. Dengan ini, anak-anak yang masih berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang akan mencontohi perbuatan ibu bapa mereka dan akan dijadikan sebagai amalan dalam kehidupan mereka kerana alah bisa tegal biasa. Jadi, didikan ibu bapa amat penting dalam memastikan kebersihan tempat awam dan alam sekitar terpelihara.

Selain itu, guru juga memainkan peranan yang penting dalam memupuk nilai kebersihan dalam sanubari para pelajar. Pendidikan Moral dan Pendidikan Agama yang menekankan pembentukan insan yang berkeperibadian mulia dan murni telah diterapkan dalam sistem pendidikan negara kita. Guru perlu mengajar murid tentang kepentingan mengamalkan nilai kebersihan dalam hidup terutamanya yang melibatkan kemaslahatan umum seperti tandas awam dan kawasan rekreasi. Guru tidak seharusnya leka dalam menjalankan obligasi mereka sebagai pendidik yang berkesan kerana setiap ajaran guru akan melekat dalam sukma pelajar dan akan diaplikasikan dalam kehidupan mereka. Sehubungan dengan itu, guru perlu menitikberatkan aspek kebersihan di dalam kelas dan di kawasan sekolah di samping menekankan kepentingan penjagaan kebersihan alam sekitar dengan melarang murid daripada membuang sampah di merata-rata tempat. Konsep bersih ini diperluas bukan sahaja di dalam kelas tetapi kepada kehidupan yang lebih menyeluruh. Pihak sekolah dan guru boleh membina taman mini dan landskap supaya keadaan sekolah lebih cantik dan hijau. Mata pelajaran Pendidikan Moral dan Pendidikan Agama Islam perlu diajar oleh guru-guru dengan pengisian aktiviti pembelajaran yang menarik dan berkesan supaya obejektif yang dirancang tidak tersasar. Langkah yang dijalankan dengan penuh istiqamah ini sudah pasti dapat mendidik generasi muda kita tentang kemaslahatan amalan kebersihan.

Peranan media massa juga tidak dapat diketepikan memandangkan media massa seperti radio, televisyen dan suratkhabar mendatangkan pengaruh yang mendalam dalam kehidupan sehari-hari. Rancangan dan program yang dapat menyemaikan sikap rakyat menjaga kebersihan awam harus disiarkan melalui saluran media bercetak dan media elektronik dari semasa ke semasa untuk menyedarkan rakyat tentang peri pentingnya kebersihan terhadap kesihatan masyarakat. Kempen-kempen kebersihan awam seperti  Cintailah Sungai Kita dan slogan Negara Bersih Sihat patut digiatkan dan diharapkan dapat membangkitkan kesedaran sivik masyarakat negara ini untuk memelihara kebersihan awam. Kempen-kempen yang dijalankan oleh pihak media massa perlulah berketiak ular dan bukannya hangat-hangat tahi ayam. Melalui kempen kesedaran ini, masyarakat diseru untuk menjaga kebersihan alam sekitar dan tempat awam. Dengan ini, sedikit sebanyak langkah ini dapat membendung dan memastikan bahawa kualiti kebersihan alam sekitar dan tempat awam senantiasa bersih dan dijaga. Jadi, kempen kesedaran ini dapat mencapai matlamatnyai apabila semua rakyat sedar akan kepentingan alam sekitar. 

            Dalam pada itu, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan isu kebersihan seperti Akta Alam Sekitar 1971 dan Akta kilang 1974 bagi mengatasi masalah kebersihan awam. Hukuman yang lebih berat harus dijatuhi ke atas mereka yang bersikap bena tak bena terhadap kebersihan awam. Denda wang ringgit nampaknya masih kurang berkesan untuk menyedarkan rakyat negara ini berubah sikap. Sekiranya perbuatan mencemarkan alam sekitar dan tempat awam masih diulangi, denda yang berlipat ganda harus dikenakan dan disertai dengan hukuman yang lebih tegas. Misalannya, negara Singapura telah mengusulkan banyak cadangan yang membina dalam usaha membasmi masalah kebersihan awam. Antaranya ialah rakyat negara itu yang ditangkap membuang sampah sarap atau puntung rokok ke atas lantai di tempat awam akan dikenakan denda yang tinggi di tempat kejadian itu juga oleh pegawai polis yang bertugas. Bagi menjaga maruah diri supaya tidak ditegur atau dikritik ole orang ramai, mereka yang bersalah sudah tidak berani untuk mengulangi perbuatan terkutuk itu di tempat awam. Maka, tidak mustahillah negara Singapura digelar Taman Bandar Raya yang terkenal dengan kebersihannya. Oleh itu, kita harus mencontohi ketegasan undang-undang negara Singapura kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Sesungguhnya ketegasan undang-undang mampu melahirkan individu yang menitikberatkan aspek kebersihan dalam kehidupan 

            Secara tuntas, kebersihan awam dapat dijaga dan dipelihara melalui komitmen daripada pelbagai pihak. Sikap individualistik dan ketiadaan kesedaran sivik terhadap kebersihan awam perlu dikikis. Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad pernah meluahkan perasaan kecewa beliau terhadap sikap rakyat negara ini yang memandang remeh terhadap kebersihan awam setelah melihat keadaan di sekeliling Bukit Bintang yang menjijikkan, ditimbuni sampah sarap yang dihinggapi lalat. Beliau telah menyarankan rakyat Malaysia supaya mengamalkan sikap mementingkan kebersihan awam dalam kehidupan sehari-hari. Kebersihan tempat awam sememangnya merupakan aspek yang amat penting untuk menjamin keharmonian sejagat. Kita tentu tidak ingin generasi yang akan datang hidup dalam keadaan yang dicemari, menyedut udara yang kotor, serta minum air yang bermikro organisma. Maka, sebelum nasi menjadi bubur, marilah sama-sama kita mempraktikkan kebersihan diri dan lebih penting lagi kebersihan awam demi kesejahteraan hidup pada hari muka!