Wednesday, April 20, 2016

Generasi Berwawasan



GENERASI BERWAWAWASAN

OLEH : Muhammad Hasif  (5RKA)

Berikut merupakan teks jawapan Bahasa Melayu 1 Bahagian A  Peperiksaan AwalTahun 2016

     Menghirup udara hasil kemerdekaan negara, telah banyak kejayaan yang dikecapi oleh negara kita dari generasi ke generasi hinggalah ke hari ini. Seiring dengan kejayaan ini juga, kerajaan telah menetapkan garis panduan untuk menjamin sebuah negara maju melalui generasi-generasi yang terpimpin dan berkaliber berpaksikan wawasan yang diterap sejak di bangku sekolah lagi. Hal ini dikira amat penting untuk memastikan kemaslahatan negara terjamin dengan adanya generasi yang berwawasan yang mampu mentadbir negara dan masyarakat. Persoalannya, apakah ciri-ciri yang perlu ada bagi setiap generasi yang berwawasan? Bagi merungkai persoalan ini, saya akan menerangkan secara terperinci tentang ciri –ciri yang perlu ada pada setiap generasi yang berwawasan.
     Ciri-ciri yang perlu ada pada setiap generasi yang berwawasan ialah memiliki semangat patriotik. Hak ini kerana, apabila individu mempunyai semangat patriotik, dapat melahirkan rasa tanggungjawab untuk menabur jasa kepada negara. Contohnya, menyumbangkan tenaga dalam usaha mencapai wawasan sebuah negara yang aman sentosa agar dipandang mulia oleh negara-negara luar. Bak kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Jelaslah  bahawa semangat patriotik perlu dimiliki oleh generasi berwawasan.
     Selain itu, generasi berwawasan juga hendaklah sentiasa berusaha menuntut ilmu. Hal ini demikian kerana, ilmu amat penting untuk membantu seseorang menentukan hala tuju dan masa depan khususnya dalam alam pekerjaan. Misalnya, seorang peguam perlulah mempunyai kelayakan akademik yang baik dalam jurusan undang-undang. Dari sudut lain, dengan ilmu pengetahuan dapat membantu seseorang beramal dan beribadat dengan sempurna sesuai dengan pepatah arab iaitu ilmu tanpa amal seperti pohon tanpa buah. Justeru, jelaslah bahawa generasi berwawasan perlulah sentiasa berusaha menuntut ilmu.
      Seterusnya, generasi berwawasan mestilah berkemahiran tinggi. Hal ini kerana, kemahiran yang tinggi membolehkan seseorang individu untuk menyelesaikan masalah dengan baik dan profesional. Sebagai contoh, seorang pakar ekonomi dapat membantu menyelesaikan masalah kemelesetan ekonomi dan inflasi dengan adanya kemahiran untuk menganalisis pelbagai statistik untuk mencari punca dan penyelesaiannya. Impaknya, kedudukan ekonomi negara akan lebih stabil untuk bersaing dengan pasaran global. Natijahnya, jelaslah bahawa kemahiran tinggi perlu ada dalam diri generasi berwawasan.
     Di samping itu, generasi berwawasan hendaklah saling bekerjasama dalam menyelesaikan masalah. Hal ini kerana, dengan bekerjasama, sesuatu masalah dapat ditangani dengan lebih mudah. Contohnya, apabila berlaku isu-isu besar seperti banjir yang melibatkan bantuan kewangan dan nasihat, orang ramai dapat memberikan sumbangan tenaga dan materialiti untuk menjamin kemaslahatan bersama. Kesannya, hubungan persaudaraan dapat dieratkan sesame warganegara Malaysia. Bak kata pepatah, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Jelaslah bahawa semangat kerjasama perlu dipupuk dalam generasi berwawasan.
     Kesimpulannya, terdapat pelbagai ciri yang dapat dipupuk dalam kalangan generasi berwawasan. Sehubungan itu, semua pihak perlulah berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk melahirkan modal insan yang terdidik dalam usaha untuk mewujudkan sebuah negara yang maju dan aman.