Monday, November 7, 2016

Kemalangan Jalan Raya



 TEMA                   :               KEMALANGAN JALAN RAYA
TUGASAN            :               USAHA-USAHA UNTUK MENGURANGKAN KADAR KEMALANGAN
                                               DI JALAN RAYA.

ISI-ISI PENTING :

Pengguna perlu mematuhi peraturan jalan raya.
Ibu bapa menjadi contoh kepada anak-anak ketika berada di jalan raya.
Sekolah memperkenalkan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya.
Media massa menyiarkan  dokumentari berkaitan kemalangan jalan raya untuk memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya.
Kerajaan  menjalankan kempen-kempen secara berterusan.

CONTOH KARANGAN .
               
Kemalangan jalan raya sering berlaku di negara kita. Setiap hari, kita boleh membaca berita berkaitan kemalangan di  surat khabar. Kebanyakan kemalangan jalan raya berlaku pada musim perayaan. Banyak nyawa yang telah terkorban dalam kemalangan tersebut. Terdapat pelbagai usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya..

Antara usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya ialah pemandu mesti memastikan kenderaan berada dalam keadaan yang baik. Mereka perlu sentiasa menghantar kenderaan masing-masing untuk diservis. Kenderaan yang baik boleh menjamin keselamatan pemandu dan penumpang ketika di jalan raya. Sebaliknya, kenderaan yang tidak diservis boleh mengakibatkan kenderaan tidak dapat dikawal semasa berlaku kecemasan. Sebagai contoh, kenderaan yang rosak breknya tidak dapat diberhentikan dengan selamat..Oleh itu,keadaan kenderaan yang baik dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Selain itu,ibu bapa juga boleh membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Ibu bapa boleh menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Mereka perlu mematuhi peraturan jalan raya seperti memakai topi keledar ketika menunggang motosikal. Ibu bapa juga perlu memandu kenderaan mengikut had laju yang ditetapkan. .Dengan itu,anak-anak akan mencontohi amalan yang baik itu. Oleh hal yang demikian, ibu bapa sememangnya berperanan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Sekolah juga mampu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita. Sekolah boleh melaksanakan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya. Para pelajar akan diberi pendedahan tentang  hal-hal yang berkaitan dengan keselamatan jalan raya sejak kecil lagi kerana kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Seterusnya, mereka akan menggunakan ilmu yang dipelajari di sekolah dan menjadi pengguna jalan raya yang berhemah. Oleh itu, pendidikan di sekolah boleh mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Di samping itu,media massa juga boleh membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Media massa seperti televisyen boleh menyiarkan dokumentari berkaitan kemalangan jalan raya. Penonton akan menjadikan peristiwa kemalangan yang ditonton sebagai pengajaran. Dengan itu,mereka tidak akan melakukan kesalahan-kesalahan jalan raya seperti memandu dengan laju dan menggunakan  telefon ketika memandu. Tindakan ini dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita.

Seterusnya, kerajaan boleh mengurangkan kadar kemalangan jalan raya ialah dengan mengadakan pelbagai kempen keselamatan jalan raya secara berterusan.. Antara kempen yang telah diadakan ialah Kempen Berhati-hati di Jalan Raya. Kempen ini sangat penting untuk mengubah sikap pemandu agar lebih berhati-hati di jalan raya. Kempen ini boleh dijalankan di sekolah dan disiarkan melalui televisyen. Oleh itu,melalui kempen yang berterusan yang dijalankan oleh kerajaan  dapat mengurangkan kemalangan jalan raya.

Kesimpulannya,kemalangan jalan raya boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Kadar kemalangan  jalan raya boleh dielakkan dengan wujudnya kerjasama daripada pelbagai pihak. Setiap pihak bertanggungjawab melaksanakan usaha-usaha tersebut dengan bersungguh-sungguh. Dengan ini, kemalangan sifar dapat dijadikan kenyataan. Hal ini bertepatan dengan slogan,Pandu Cermat Jiwa Selamat.

Saturday, November 5, 2016

Semangat Kejiranan - JIRAN SEPAKAT MEMBAWA BERKAT



TEMA                    :               SEMANGAT KEJIRANAN
TUGASAN            :               COGAN KATA ” JIRAN SEPAKAT MEMBAWA BERKAT ”

ISI-ISI PENTING :

Memupuk hubungan baik antara jiran
Memupuk nilai kerjasama
Membantu jiran yang menghadapi kesusahan
Menjamin keselamatan masyarakat
Mengenali adat budaya kaum yang lain

CONTOH KARANGAN (Yang mudah, sesuai untuk murid pencapaian sederhana)

Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita. Jiran sangat penting kerana mereka menjadi sahabat dan orang yang rapat dengan kita. Mereka akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan. Oleh itu, jiran sepakat membawa berkat perlu diamalkan oleh masyarakat hari ini.

Jiran penting untuk memupuk hubungan baik antara jiran. Hubungan baik dapat dipupuk melalui aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti ini, mereka dapat berkenalan dan bertanya khabar antara satu sama lain. Kesannya, hubungan sesama jiran semakin erat. Kerjasama yang erat ini bertepatan dengan peribahasa seperti aur dengan tebing. Jelaslah, kerjasama penting untuk memupuk hubungan yang baik antara jiran.
               
Selain itu, jiran juga dapat memupuk nilai kerjasama sesama jiran. Nilai kerjasama ini penting untuk melahirkan masyarakat yang sepakat. Setiap individu akan membantu jiran mereka semasa mengadakan majlis seperti kenduri-kendara. Aktiviti akan menjadi mudah kerana muafakat membawa berkat.  Oleh itu, nilai kerjasama penting dalam amalan kejiranan.

Di samping itu, jiran yang baik akan membantu orang lain yang menghadapi kesusahan. Mereka akan menziarahi jiran yang sakit. Mereka juga akan memberi bantuan wang ringgit untuk meringankan beban jiran. Mereka dapat menyelesaikan banyak masalah. Sesungguhnya, amalan baik ini seperti kata pepatah, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.

Seterusnya, jiran juga dapat menjamin keselamatan masyarakat. Jiran akan bersama-sama menjaga kawasan kediaman daripada kejadian pecah rumah. Mereka boleh membuat rondaan pada waktu malam bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Selain itu, mereka akan melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis. Jelaslah, jiran dapat menjamin keselamatan masyarakat setempat.

Akhirnya, jiran dapat mengenali adat dan budaya kaum yang lain. Pada musim perayaan, kita dapat mengenali pakaian tradisional kaum yang lain seperti sari, baju kurung dan lain-lain. Mereka juga boleh menikmati pelbagai jenis makanan tradisi. Selain itu, adat resam sesuatu kaum dapat diketahui oleh jiran yang berlainan kaum. Oleh itu, kita perlu mengenali adat dan budaya jiran.

Kesimpulannya, jiran sepakat membawa berkat penting dalam masyarakat. Semua pihak hendaklah mengamalkan semangat kejiranan. Amalan ini perlu diteruskan demi memelihara keamanan dan keharmonian masyarakat.  
 (355 patah perkataan)

Menghargai Warga Tua



TEMA                    :               MENGHARGAI WARGA TUA
TUGASAN            :               CARA-CARA MENGHARGAI WARGA TUA

ISI-ISI PENTING :

Peranan keluarga – menyayangi warga tua
Peranan masyarakat – mengambil berat warga tua
Peranan media massa – memaparkan kisah hidup/penderitaan warga tua
Peranan guru – mengingatkan pelajar menghormati warga tua
Peranan kerajaan – menyediakan kemudahan kesihatan untuk warga tua

CONTOH KARANGAN - YANG MUDAH (Sesuai untuk murid pencapaian sederhana)
                                                                                                                              
Warga tua merupakan golongan yang paling berjasa kepada negara. Mereka telah melalui pelbagai rintangan dan dugaan untuk membesarkan anak-anak. Namun, pada hari ini warga tua sering diabaikan ibarat peribahasa melukut di tepi gantang dan jasa mereka dilupakan oleh masyarakat.

Keluarga perlu menyayangi warga tua. Warga tua yang terdiri daripada ibu melahirkan kita dan bapa pula mencari rezeki untuk membesarkan kita. Pengorbanan mereka perlu dibalas dengan sebaik-baiknya. Sebagai anak kita perlu menjaga ibu bapa kita ketika mereka tua dan tidak menghantar mereka ke rumah orang tua-tua.

Di sekolah,guru boleh menasihatkan pelajar agar menghormati warga tua. Warga tua  yang terdiri daripada ibu bapa kita perlu disayangi dan dihormati. Anak-anak perlu bertutur dengan sopan apabila berhubung dengan ibu bapa mereka kerana syurga teletak di telapak kaki ibu.

Kerajaan juga perlu menghargai warga tua. Kerajaan boleh menyediakan pelbagai kemudahan untuk warga tua. Sebagai contoh, warga tua akan mendapat rawatan percuma di hospital kerajaan ataupun kadar bayaran rendah di hospital atau klinik swasta.

Media massa seperti surat khabar dan televisyen boleh menyiarkan cerita-cerita berkaitan penderitaan hidup warga tua. Hal ini menyedarkan kita tentang pentingnya warga tua dalam hidup kita. Oleh itu, kita tidak boleh mengabaikan warga tua..      

Pihak swasta  perlu   membantu warga tua. Mereka boleh mengutip derma untuk mengurangkan beban warga tua manakala kunjungan ke rumah orang tua-tua dapat mengeratkan hubungan .Warga tua akan berasa diri mereka dihargai dan disayangi.

Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu berusaha untuk menghargai jasa  dan pengorbanan warga tua. Kita tidak boleh mengabaikan warga tua kerana merekalah yang melahirkan kita dan membesarkan kita

Usaha-usaha Memantapkan Hubungan Kekeluargaan



TAJUK                   :               HUBUNGAN KEKELUARGAAN YANG AKRAB
TUGASAN            :               USAHA-USAHA MEMANTAPKAN HUBUNGAN
                                               KEKELUARGAAN

ISI-ISI PENTING :

Memberitahu ibu bapa sebelum keluar dari rumah
Ibu bapa menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin keluarga
Peranan masyarakat
Peranan media massa
Peranan kerajaan melalui dasar tertentu


CONTOH KARANGAN - YANG MUDAH (Sesuai untuk murid pencapaian sederhana)

Hubungan kekeluargaan sangat penting.  Hubungan ini penting bagi melahirkan keluarga bahagia. Hal ini sekali gus dapat menangani gejala sosial. Pelbagai  usaha perlu diambil untuk merapatkan hubungan kekeluargaan.

Antara usahanya ialah anak-anak perlu memberitahu  ibu bapa sebelum keluar rumah.  Hal ini demikan supaya anak –anak mendapat keizinan daripada ibu bapa sebelum keluar rumah terutama dalam menuntut ilmu. Hal ini memudahkan ibu bapa mengetahui apa-apa yang dilakukan oleh anak-anak dan dengan siapa mereka berkawan. Oleh yang demikian anak-anak perlu memberitahu ibu bapa sebelum mereka keluar dari rumah.

Selain itu, ibu bapa hendaklah menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin keluarga.  Mereka hendaklah sentiasa berbincang bersama anak-anak jika ada sebarang masalah.  Sebagai contoh, jika akan-anak berhadapan dengan masalah pelajaran, mereka perlu berbincang bersama-sama bagi mengatasinya. Amalan makan bersama-sama dengan ahli keluarga juga dapat merapatkan hubungan kekeluargaan. Tegasnya, ibu bapa perlu menjalankan tangunggjawab mereka dalam merapatkan hubungan kekeluargaan.

Masyarakat turut memainkan peranan penting dalam merapatkan hubungan kekeluargaan.  Antaranya, adalah dengan mengadakan hari keluarga dan temasya sukan. Hal ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan dan menjalinkan kerjasama antara ahli keluarga semasa pertandingan. Dengan ini, jelaslah bahawa masyarakat penting dalam usaha merapatkan hubungan kekeluargaan.

Di samping itu, peranan media massa juga penting untuk merapatkan hubungan kekeluargaan.  Hal ini boleh dilakukan melalui iklan di televisyen dan surat khabar.  Sebagai contoh, terdapat iklan yang menggalakkan ahli keluarga berhubung melalui telefon bimbit.  Terdapat juga  iklan yang mempengaruhi orang ramai supaya  balik ke kampung pada hari-hari perayaan.  Oleh itu jelaslah bahawa media massa memainkan peranan penting  untuk merapatkan hubungan kekeluargaan.

Kerajaan pula telah memperkenalkan  dasar bahawa setiap hari sabtu sebagai cuti umum.  Hal ini bertujuan agar ibu bapa dapat meluangkan masa bersama-sama dengan ahli keluarga.  Langkah ini akan menjadikan hubungan kekeluargaan lebih erat.  Sebagai contoh, ibu bapa membawa ahli keluarga pergi melancong ke tempat yang menarik di negara ini. Hal ini bertepatan dengan Kempen Cuti-Cuti Malaysia.

Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu bekerjasama dalam merapatkan hubungan kekeluargaan . Usaha ini penting kerana hubungan kekeluargaan yang baik  dapat  mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan keluarga. Seterusnya, mewujudkan masyarakat yang sejahtera dan  melahirkan rakyat yang penyayang.