Saturday, November 5, 2016

Usaha mencegah Penyakit


Usaha untuk mencegah penyakit berbahaya dalam kalangan masyarakat bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi juga merupakan tanggungjawab individu.



 Ulaskan pernyataan tersebut.


            “Diabetes dalam kalangan masyarakat”
            “Seluruh keluarga menghidap denggi”
            “Serangan jantung punca kematian”

            Begitulah antara tajuk yang sering terpampang di dada-dada akhbar berkaitan dengan penyakit-penyakit yang berbahaya dalam kalangan masyarakat di negara kita. Antara penyakit berbahaya dalam kalangan masyarakat ialah sakit buah pinggang, strok, diabetes dan zika. Dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan hari ini telah melalaikan kita terhadap tanggungjawab setiap individu untuk mencegah penyakit berbahaya seperti yang dinyatakan. Majoriti masyarakat menganggap bahawa usaha untuk mencegah penyakit berbahaya adalah tanggungjawab kerajaan semata-mata. Namun, adakah kita sedar akan tanggungjawab kita dalam mencegah penyakit berbahaya yang kian meruncing? Belakangan ini, masyarakat bukan sahaja tidak cakna dengan tanggungjawab diri sendiri bahkan sering menuding jari kepada pihak lain seperti kerajaan untuk menyelesaikan permasalahan ini. Sebagai generasi muda, kita merupakan nadi untuk membendung musibah ini. Persoalannya, apakah tanggungjawab setiap individu untuk mencegah penyakit berbahaya dalam  kalangan masyarakat?

            Pihak kerajaan haruslah mengerahkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengadakan pemeriksaan tahap kebersihan di kawasan persekitaran penduduk. Tindakan seumpama ini perlu  memandangkan penyakit berbahaya boleh menular dalam kalangan masyarakat disebabkan tahap  kebersihan yang tidak memuaskan. Penyakit berbahaya seperti demam denggi dan zika menular disebabkan oleh terdapat kawasan takungan air yang menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. Oleh itu, pihak Kementerian Kesihatan perlulah mengadakan “fogging” sekurang-kurangnya sebulan sekali selain memohon kerjasama daripada penduduk agar mengadakan pembersihan kawasan rumah mereka, bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Kesannya, kawasan persekitaran akan menjadi bersih sekali gus dapat mengelakkan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes. Seterusnya dapat menghindari daripada penyakit demam denggi dan zika yang boleh menjejaskan kesihatan masyarakat. Tegasnya pemeriksaan tahap kesihatan secara berkala oleh Kementerian Kesihatan dapat mencegah penyakit berbahaya ini dari terus menular.

            Gaya hidup sihat merupakan langkah utama untuk mengatasi wabak penyakit berbahaya. Hal ini dikatakan demikian kerana, kesihatan individu bergantung kepada corak atau pola pengurusan sistem tubuh yang seimbang dan konsisten.  Pengamalan diet yang tidak seimbang akan mengakibatkan individu menghidap penyakit berbahaya seperti kencing manis..  Seseorang Individu dapat menjamin keperluan vitamin dan serat untuk tubuh yang ideal dengan mempraktikkan sistem piramid makanan dalam amalan pemakanan yang seimbang. Impaknya, tubuh badan akan memperoleh nutrien yang mencukupi untuk membolehkan sel-sel menghasilkan antibodi  yang kuat daripada risiko penyakit berbahaya, bak kata pepatah mencegah lebih baik berbanding mengubati. Intihanya jelaslah bahawa amalan gaya hidup  sihat menjadi faktor perdana dalam usaha bagi individu mengatasi penyakit berbahaya.

            Setiap individu juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam mencegah diri daripada penyakit berbahaya seperti membuat pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya 6 bulan sekali. Hal ini demikian kerana, melalui cara ini, individu dapat mengesan penyakit yang sedang dihidapinya lebih awal agar dapat menerima rawatan lanjut bagi mengelakkan daripada lebih memudaratkan. Pemeriksaan tekanan darah dan pemeriksaan tahap glukosa dalam darah adalah antara perkara yang sering dilakukan semasa pemeriksaan kesihatan bagi mengesan penyakit berbahaya. Jika pemeriksaan kesihatan dilakukan secara berkala seseorang itu akan dapat mengenal pasti tahap kesihatannya dan sekiranya menghidapi sebarang penyakit berbahaya penyakit tersebut dapatlah dirawat dengan segera. Oleh hal yang demikian, kita tidak akan dibelenggu oleh kesengsaraan penyakit yang lewat diberi rawatan. Mencegah adalah lebih baik dari merawat merupakan satu sikap sentiasa berwaspada terhadap kesejahteraan diri yang telah dianugerahkan oleh Tuhan. Tegasnya, setiap individu haruslah mengambil berat terhadap pemjagaan kesihatan diri agar dapat mencegah diri dari mehidapi penyakit yang berbahaya.

            Kesimpulannya, setiap individu hendaklah mengambil langkah segera demi kesejahteraan diri masing-masing. Sehubungan dengan itu, kita perlu menjauhkan diri daripada melakukan sebarang gejala yang tidak sihat kerana gejala itu mampu memudaratkan kesihatan diri kita. Setiap individu perlu memikul tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin agar masyarakat di negara kita bebas daripada menghidapi  wabak penyakit berbahaya. Setiap individu menginginkan kesihatan yang baik berpanjangan, justeru jauhkanlah diri dari amalan yang buruk tetapi sentiasa membudayakan perkara yang dapat menjamin kesihatan yang baik. Sayangilah diri kerana jasad kita hanya dipinjamkan sementara kehidupan kita di dunia ini. Hargailah diri kerana walaupun memiliki wang berjuta tetapi wang tidak dapat membeli sebuah kesihatan yang sejahtera. Oleh itu , ayuhlah kita memikul amanah yang dikurniakan agar dapat menikmati kesihatan diri yang sejahtera.

No comments: