Tuesday, September 12, 2017

Menarik Minat Murid Lemah Belajar



7 Cara Menarik Minat Murid Lemah Belajar

Arus pendidikan telah mengalami perubahan yang sangat pesat seiring dengan zaman yang kian maju. Generasi kini sudah banyak berubah, berbeza dengan generasi dahulu. Seiring dengan perubahan ini, sewajarnya kaedah mengajar juga harus diubahsuai dengan keadaan semasa.

Cabaran ini juga termasuklah apabila mengendalikan murid-murid yang lemah dalam sesi pembelajaran. Terdapat banyak cara yang boleh dilakukan untuk 
menarik minat murid lemah supaya dapat belajar dengan baik.

1. Tahu gaya pembelajaran mereka.

Ini merupakan faktor yang paling penting dalam memastikan murid-murid dapat menerima apa yang hendak diajar kepada mereka.  Terdapat tiga jenis gaya belajar yang utama iaitu visual, auditori dan kinestetik. Walaupun setiap orang mempunyai ketiga-tiga jenis gaya ini namun seseorang itu mempunyai satu gaya yang dominan dalam diri mereka. Setiap gaya belajar ini mempunyai cara pendekatan yang berbeza. Guru perlu mengenali gaya belajar setiap murid di dalam kelasnya dan menyesuaikan dengan kaedah yang hendak digunakannya.

2. Menggunakan pelbagai kaedah yang berbeza.

Murid yang lemah biasanya mempunyai daya tumpuan yang kurang. Ini menyebabkan mereka cepat bosan dengan apa yang dipelajari. Mereka sewajarnya di ajar dengan menggunakan pelbagai medium yang berbeza. Jika satu sesi pembelajaran mempunyai pelbagai kaedah yang berbeza, minda murid belum sempat merasa bosan dengan sesuatu ia telah diperkenalkan dengan sesuatu yang baru. Ini dapat mengurangkan rasa bosan mereka dan dapat menarik minat mereka untuk belajar. Adalah lebih baik jika guru dapat mengajar dengan berfokuskan bahan bantu mengajar. Bahan tersebut mestilah kreatif dan menggunakan warna yang cerah untuk menarik minat mereka. Selain itu, masa yang diperuntukkan untuk sesuatu aktiviti janganlah terlalu panjang, dan jika ia perlu memakan masa yang panjang sebaiknya diselangkan dengan masa rehat untuk mengelakkan mereka mudah hilang tumpuan. Jika sebelum ini kita hanya belajar di dalam kelas, apa kata kita ke luar kelas, belajar sambil melihat suasana yang berbeza.


3. Menerangkan tentang kegunaan ilmu yang mereka pelajari.
Kadang-kadang murid merasa tidak minat atau bosan dengan apa yang mereka pelajari adalah kerana mereka tidak mengetahui kegunaan ilmu yang mereka pelajari. Mereka hanya mengetahui bahawa mereka perlu belajar kerana disuruh oleh ibubapa mereka atau bagi mereka ia adalah rutin yang perlu mereka lalui seperti rutin-rutin yang lain. Guru yang baik adalah guru yang mampu menjelaskan kepada anak muridnya tentang apa yang boleh mereka aplikasikan dengan apa yang mereka pelajari. Contohnya, jika murid mengetahui dengan jelas kepentingan belajar matematik untuk membantu mereka dalam sukatan yang betul untuk membuat kek pasti murid yang minat membuat kek akan lebih bersemangat untuk mempelajari ilmu tersebut.

4. Melibatkan pengalaman yang sebenar.

Murid-murid yang didedahkan dengan pengalaman yang sebenar akan lebih faham berbanding dengan murid-murid yang hanya belajar secara teori semata-semata. Cara ini lebih berkesan terutamanya untuk generasi sekarang yang hanya mengetahui sesuatu hanya di hujung jari. Sebagai contoh untuk belajar ukuran kilogram, jika guru membawa alat penimbang dan menimbang bahan di depan murid, pastinya akan lebih difahami dan diingati berbanding jika guru hanya memberitahunya secara lisan. Ia akan jadi lebih menarik jika guru mengadakan kelas membuat kek dan sambil mengajar sambil mengajar sukatan ukuran.

5. Menyediakan ganjaran yang menarik minat murid.

Jika pembelajaran disertai dengan ganjaran yang mampu menarik minat murid ia pasti akan lebih berkesan. Dua jenis ganjaran yang biasa diberikan adalah dalam bentuk peneguhan positif dan peneguhan negatif. Peneguhan positif adalah seperti pujian atau memberikan hadiah-hadiah yang membuat murid gembira dan merangsang mereka untuk terus bersemangat dalam belajar. Manakala peneguhan negatif pula adalah seperti memberikan hukuman seperti denda berdiri, buat kerja di luar kelas dan sebagainya. Tujuan jenis ganjaran bersifat negatif ini adalah agar murid tidak mengulangi kesalahan yang sama berulangkali. Kedua-dua jenis ganjaran ini penting mengikut kesesuaian suasana. Namun peneguhan positif lebih sesuai digunakan untuk murid-murid yang lemah seperti puji-pujian, kata semangat. Sebab itulah dalam Pembelajaran Abad 21 perlu disediakan Reward Chart. Ini adalah kerana biasanya murid yang lemah adalah murid yang kurang yakin pada diri mereka sendiri, apabila ada peneguhan barulah semangat dari dalam diri akan muncul.

6. Mengulangi berkali-kali apa yang diajar.
Maksud mengulangi disini adalah mengulangi isi pelajaran dengan kaedah yang berbeza. Murid yang lemah juga biasanya terdiri daripada mereka yang mempunyai masalah dari segi memahami sesuatu. Disebabkan itulah guru perlu sentiasa mengulangi apa yang sedang diajar berulangkali dengan cara yang berbeza. Guru boleh mengulang-ulangnya dengan lisan, kemudian diulang lagi mengunakan media ataupun dengan menggunakan peta minda yang menarik menggunakan kreativiti guru itu sendiri. Selain itu, guru boleh menarik minat mereka dengan sentiasa memanggil nama murid yang lemah berulangkali semasa proses pembelajaran, ini sedikit sebanyak akan menyebabkan mereka akan fokus kepada guru yang sedang mengajar.

7. 
Guru perlu bersikap tegas tapi bukan garang.
 
Semasa mengajar guru harus mengamalkan sikap yang tegas tetapi bukan sifat yang garang. Sifat yang tegas akan membuatkan murid dapat membezakan antara yang mana betul dan salah. Manakala sifat yang garang akan menyebabkan murid-murid takut dan semakin tidak ingin belajar. Biasanya murid yang lemah adalah terdiri daripada mereka yang juga mempunyai masalah displin. Sikap tegas amat penting untuk membantu mereka memahami apa yang mereka pelajari dan membantu mereka mematuhi peraturan semasa belajar. Guru juga perlu sentiasa memberi dorongan dan motivasi kepada murid-murid berkenaan.

Semoga para guru tidak berputus asa mendidik dan membantu murid lemah untuk terus belajar. Anggaplah ia sebagai cabaran untuk kita dalam berjuang dalam dunia pendidikan. Ingat usaha tangga kejayaan.


Dipetik daripada:
Penulis Pendidik2u: Noraini Ismail

Saturday, August 5, 2017

BANGUNAN BERSEJARAH

KEPENTINGAN BANGUNAN BERSEJARAH KEPADA NEGARA

Bangunan bersejarah merupakan antara bahan sejarah yang begitu penting. Oleh itu, kerajaan telah bertindak memelihara dan memulihara bangunan ini.

Pada pendapat anda, apakah kepentingan bangunan ini kepada negara?
.....Bangunan bersejarah merupakan bangunan peninggalan daripada leluhur kita. Bangunan bersejarah lazimnya mempunyai signifikan dan ciri-ciri yang unik sehingga mampu dikagumi dan dilestarikan. Antara contoh bangunan bersejarah ialah Kota A’ Famosa di Melaka, Istana Menanti di Negeri Sembilan, dan Candi Lembah Bujang di Kedah. Persoalannya, apakah kepentingan-kepentingan bangunan bersejarah ini sehingga perlu dikekalkan oleh kerajaan?

.....Antara kepentingannya adalah dapat menarik kedatangan pelancong. Bangunan bersejarah sememangnya mempunyai tarikan yang tersendiri, sehingga mampu memancing hati pelancong, bukan sahaja pelancong asing, malahan pelancong domestik. Lihatlah, betapa Kota Melaka yang terkenal dengan bangunan bersejarah yang berbagai-bagai rupa menyebabkan kunjungan pelancong ke Bandar raya Bersejarah itu tidak pernah surut. Disebabkan negeri ini mempunyai banyak bangunan bersejarah, UNESCO telah mengisytiharkannya sebagai harta warisan dunia yang perlu dipelihara. Secara tidak langsung, pengekalannya telah membantu negara menambahkan pendapatan negara.


.....Selain itu, bangunan bersejarah juga dapat mempamerkan estika dan keunikan seni binanya yang tersendiri. Sesungguhnya, setiap monumen bersejarah mempunyai gaya seni bina masing-masing, sama ada menerima pengaruh luar mahu pun dibina berdasarkan pengaruh tempatan. Misalnya, Bangunan Sultan Abdul Samad yang terletak di depan Dataran Merdeka jelas memperlihatkan keindahan seni binanya melalui pengaruh Inggeris dan Islam. Uniknya, bangunan ini mempunyai menara jam yang didirikan di tengah-tengah bangunan. Begitu juga dengan bangunan Stesen Kereta api Tanah Melayu di Kuala Lumpur yang jelas menonjolkan ciri-ciri seni bina Islam melalui kubahnya seperti masjid.

.....Di samping itu, bangunan ini juga dapat mengimbau kembali sejarah negara. Dengan masih berdiri megahnya bangunan yang dibina semasa zaman penjajahan yang membawa air mata sengara dan derita, membolehkan masyarakat menginsafi perjuangan datuk nenek moyang kita yang bermatian-matian sehingga mengalirkan darah, bak kata peribahasa, ‘biar putih tulang, jangan putih mata’. Kota A’ Famosa umpamanya, mengingatkan kita Tanah Melayu dijajah pada tahun 1511 oleh Portugis dan menjadi penanda aras berakhirnya zaman kemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Dengan ini, kita akan lebih berhati-hati dalam menjaga kemerdekaan negara daripada dicabul oleh bangsa asing.


.....Bukan itu sahaja, bangunan ini juga dapat menonjolkan identiti sesuatu masyarakat. Biasanya, untuk mempersembahkan jati diri dan keunikan sesuatu kaum akan ditonjolkan melalui seni bina. Tamsilnya, Istana Menanti di Negeri Sembilan begitu jelas mempamerkan jati diri masyarakatnya yang dikatakan berasal daripada bangsa Minang. Lihatlah, bentuk bumbungnya yang mempunyai pengaruh Minangkabau. Tidak ketinggalan, Candi Lembah Bujang di Kedah juga memperlihatkan betapa penduduk zaman itu mempunyai pegangan yang kuat terhadap agama anutannya, iaitu agama Hindu.



.....Secara totalnya, bangunan bersejarah sememangnya membawa 1001 kepentingan kepada negara serta masyarakat seluruhnya. Oleh itu, semua pihak perlu sedar akan peranan masing-masing dalam usaha mengekalkan struktur dan nilai bangunan ini daripada dimusnahkan. Ahli sejarawan ada berkata, “Orang yang melupakan sejarah pasti mengulanginya.”. Oleh itu, peliharalah bangunan bersejarah supaya episod lara yang pernah dibawa oleh Portugis, British, Belanda, dan Jepun tidak berulang semula. Tidak bermakna bangunan yang telah berusia berates-ratus tahun ini perlu dirobohkan kerana dianggap sudah uzur. Sebaliknya, pewartaannya sebagai bangunan warisan perlu dilakukan oleh kerajaan dengan segera.

KEPENTINGAN SEMANGAT KEJIRANAN



Jiran merupakan orang yang tinggal berdekatan dengan rumah kita. Kita hendaklah mengamalkan semangat kejiranan kerana semangat kejiranan banyak kebaikannya.
Berikan komen anda tentang kepentingan semangat kejiranan.

Pendahuluan
A1: Jiran adalah orang yang tinggal berhampiran dengan rumah kita
A2: Semangat kejiranan merujuk kepada tahap keakraban
A3: Semangat kejiranan jelas dalam masyarakat luar bandar
A4: Masyarakat bandar lebih bersikap individualistik
A5: Ada banyak kepentingan semangat kejiranan

Isi 1: Mendapat bantuan kecemasan
A1: Mudah mendapat bantuan kecemasan
A2: Sering berlaku peristiwa “ luar duga” dalam kehidupan
A3: Contoh: Kebakaran dan kemalangan
A4: Jiran cepat member bantuan
A5: Menghantar ke klinik jika kita sakit

Isi 2 : Menjamin keselamatan
A1: Menjamin keselamatan tempat tinggal
A2: Jiran turut menjaga keselamatan rumah kita
A3; Jiran menhubungi kita apabila rumah dimasuki pencuri
A4: Menjaga rumah semasa musim perayaan
A5: sekali-sekala belilah buah tangan untuk jiran

Isi 3 : Menjayakan majlis keramaian
A1: Membantu dalam majlis keramaian
A2: Kadangkala majlis keramaian yang diadakan menganggu jiran
A3: Contoh: Majlis perkahwinan
A4: Kesan positif jika ada semangat kejiranan
A5; Ada jiran yang membantu sehingga majlis selesai

Isi 4 : Mencegah gejala negatif
A1: Dapat mencegah gejala negatif
A2: Jiran mendidik anak mereka dengan baik
A3: Contoh : pelakuan negatif – bermain mercun
A4: Jiran mensihati anak mereka agar tidak berlumba motor
A5: Berlumba motor boleh menyebabkan kemalangan

Isi 5: Memupuk perpaduan
A1: Kerajaan amat menggalakkan semangat kejiranan
A2: Perpaduan kaum dapat dipupuk
A3: Rakyat dapat hidup dalam keadaan aman
A4: Pihak kerajaan dapat merancang program pembangunan
A5; Negara akan menjadi maju

Penutup
A1: Semangat kejiranan banyak kebaikannya
A2: Penduduk setempat juga mendapat kebaikan
A3: Hubungan baik anatara kaum terjalin
A4: Rakyat hidup dalam keadaan harmoni
A5: Projek pembangunan untuk rakyat dapat dilaksanakan