SEMANGAT PATRIOTIK PERLU DIJIWAI
BUKAN SIMBOLIK
Merdeka! Merdeka! Merdeka. Teriakan
suara hangat, suara penuh semangat, suara keramat yang keluar daripada jiwa
yang merdeka. Zaman dulu-dulu, ketika nenek moyang kita menyebut serta
melafazkan perkataan ini dengan suara bergetar yang mempunyai rasa dalam jiwa
kerana berasa sangat-sangat terharu, sangat gembira dan sangat bersyukur. Kini
bagaimana perasaan kita apabila perkataan merdeka ini disebut atau dilafazkan?
Adakah kita merasa terharu? Adakah kita berasa bersyukur? Atau paling tidak,
adakah kita rasa bangga? 57 tahun negara kita Malaysia telah merdeka daripada penjajahan.
Alhamdulillah. Sekiranya dibuat perbandingan dengan manusia, umur 57 tahun
secara fitrahnya akan tergambar dalam fikiran kita akan kewujudan manusia yang
matang dari segi fikiran dan kerjaya, mantap dari segi sahsiah diri dan
material. Begitu juga dengan negara kita, Malaysia kini gah pada mata dunia,
malah telah menduduki antara negara yang maju berbanding negara jiran. Tetapi
bagaimana pula dengan remaja kita? Adakah kita dapat menyelami apa itu erti
kemerdekaan? Adakah jiwa dan fikiran kita benar-benar merdeka? Adakah betul cara segelintir remaja yang menyambut kemerdekaan dari petang, tengah malam
hingga dinihari?
Remaja dan Patriotisme
Bertitik tolak daripada kerisauan ini,
kami di Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir melakukan satu kajian bagi melihat
dan mendalami sejauh manakah tahap patriotisme dalam kalangan belia Malaysia.
Malangnya, dapatan yang kami peroleh amat menakutkan. Sehingga kami terfikir,
masih wujudkah lagi kemerdekaan negara kita dalam tempoh 50 tahun mendatang
ini. Tidak boleh tidak, setiap kali munculnya bulan Ogos, isu berkaitan
semangat patriotisme sering kali menjadi bualan masyarakat Malaysia.
Patriotisme sering kali dikaitkan dengan cintakan watan yang menjadi satu
semangat atau nilai yang perlu dihayati oleh segenap lapisan masyarakat
khususnya generasi muda. Nilai patriotisme yang menjadi sebahagian daripada
nilai murni, sekiranya dapat dijiwai dan diamalkan sebaik mungkin, akan dapat
menyumbang ke arah pembentukan generasi yang berhemah tinggi dan berakhlak
mulia. Oleh itu, adalah sangat wajar bagi generasi muda khususnya menjadikan
nilai patriotisme sebagai amalan atau pegangan serta disemai dalam jiwa segenap
lapisan masyarakat Malaysia demi kelangsungan negara dalam menghadapi era pasca
modenisme dan dikenali sebagai masyarakat majmuk.
Selain itu, patriotisme
berkait rapat dengan nasionalisme dan kedua-dua istilah ini sering ditukar
ganti penggunaannya seolah-olah sinonim dengan satu sama lain. Patriotisme juga
membayangkan bahawa seseorang wajar mengutamakan kepentingan negara berbanding
kepentingan diri dan kelompoknya. Ketika peperangan, mungkin nyawa diri yang
perlu dikorbankan. Gugur dalam pertempuran demi tanah air adalah contoh tipikal
bagi patriotisme yang aulia atau ekstrem. Walaupun patriotisme sering disamakan
dengan nasionalisme, tetapi kedua-duanya ada perbezaan. Semangat patriotik
dapat disimpulkan sebagai roh atau kumpulan orang yang mempunyai pendapat yang
sama dalam mengekalkan dan melindungi negara tercinta. Nasionalisme wujud
selepas patriotisme dibina dalam jiwa setiap individu dalam masyarakat itu. Ia
wujud selepas beransur-ansur penjanaan nilai-nilai positif patriotik dalam
individu untuk mempertahankan semangat nasionalisme.
Dua jenis patriotisme
Hakikatnya, patriotisme boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu patriotisme
peribadi dan patriotisme rasmi. Patriotisme peribadi adalah berperasaan dan
sukarela. Patriot mematuhi nilai patriotik tertentu, seperti menghormati
bendera. Kerajaan memupuk patriotisme rasmi yang penuh isi simbolik dan istiadatnya.
Patriotisme ini adalah kepentingan logik negeri itu sendiri, yang memperoleh
kesahan daripada menjadi penyataan kebaikan bersama komuniti politik. Tugu
Negara dan Hari Pahlawan dan upacara peringatan adalah contoh bagi jenis
patriotisme ini. Selalunya patriotisme rasmi diatur oleh protokol, dengan
kaedah-kaedah tertentu untuk mengendali bendera, atau jaminan atau penunjukan
kesetiaan tertentu. Kepentingan pupuk semangat patriotisme Patriotisme juga
banyak bergantung kepada tindakan simbolik, seperti mempamerkan bendera,
menyanyi lagu kebangsaan, menyertai perhimpunan berunsurkan kenegaraan secara
beramai-ramai, meletakkan pelekat patriotik pada kenderaan, atau apa-apa cara
sekalipun untuk menyatakan kesetiaan kepada negara pada peringkat umum.
Bagaimanapun, masyarakat sekarang seakan-akan lupa akan pentingnya memupuk
semangat patriotisme dalam diri masing-masing. Hal ini kerana kita sering kali
melihat anak bangsa kita yang tidak mengambil endah akan isu-isu yang
menonjolkan semangat patriotisme seperti bangga akan pencapaian negara dan
budaya bangsa, kehendak memelihara ciri-ciri bangsa dan dasar budayanya dan
identifikasi dengan ahli-ahli lain dalam bangsa. Tanpa kita sedar patriotisme
memainkan peranan yang sangat penting dalam diri setiap rakyat Malaysia dalam
mengekalkan kemerdekaan yang telah kita capai selama ini. Antara signifikasi
patriotisme adalah membina nilai persefahaman dan penyatuan antara kaum,
menjadi pemacu kepada kemajuan negara serta satu pelaburan strategik ke arah
keselamatan negara.
Demi mencapai persefahaman antara kaum pelbagai usaha telah
kerajaan lakukan. Mungkin kita tidak pernah perasan, kebanyakan tema
kemerdekaan berkaitan dengan perpaduan rakyat. Antaranya ialah muhibah dan
perpaduan, bersatu maju, kebudayaan sendi perpaduan, nasionalisme teras
perpaduan dan lain-lain lagi. Dari sini, kita dapat lihat betapa pentingnya
perpaduan sebagai pengikat dalam kalangan rakyat Malaysia yang bersifat majmuk.
Tanpa perpaduan, rakyat Malaysia yang berbeza bangsa, latar belakang dan agama akan
mudah diprovokasi dan diadu domba oleh pihak yang mempunyai kepentingan mereka
sendiri. Dengan kefahaman patriotik yang tinggi, pemeliharaan dan pemerkasaan
perpaduan dapat dibentuk dengan mudah. Dengan itu, peristiwa yang dapat
menggugat keamanan negara seperti peristiwa 13 Mei dan peristiwa Kampung Medan
4 Mac 2001 dapat kita hindari.
Pernahkah kita berfikir apa yang akan terjadi
pada kemajuan negara kita jika nilai patriotisme tidak diterap dalam diri
masing-masing? Lihatlah apa yang terjadi melalui peperangan negara Iraq dan
Afghanistan, penjajahan Israel ke atas Palestin, Mexico dengan masalah dadah
serta Thailand dengan konflik berdarah oleh kumpulan 'Baju Merah' melawan 'Baju
Kuning'. Kesan kepada keadaan yang dihadapi oleh negara itu, menyebabkan
perkembangan ekonomi negara tersebut terencat serta mengganggu hubungan baik
antara negara. Kestabilan ekonomi sesebuah negara tidak dapat dikekalkan jika
masalah-masalah dalaman yang telah mereka hadapi atau sedang harungi, tidak
dirungkai.
Rakyat Malaysia perlu sedar betapa pentingnya nilai patriotisme bagi
memupuk semangat perpaduan yang tinggi sekali gus menentukan hala tuju negara
ke arah negara maju yang kukuh. Kejayaan yang telah dicapai pada hari ini
bukanlah bergantung kepada individu semata-mata, tetapi merangkumi semua aspek
seperti ke arah patriotisme rakyat. Tidak dinafikan tugas menjaga keselamatan
negara diterajui sepenuhnya oleh pihak yang berkenaan seperti polis dan
tentera. Namun begitu tanggungjawab ini juga sepatutnya digalas oleh setiap
warga negara. Dengan semangat patriotisme yang tinggi, rakyat akan menjadi
semakin peka dan prihatin terhadap maruah dan kedaulatan negara. Lantaran itu,
jumlah anggota yang diperlukan dalam Rejimen Askar Wataniah (RAW) dan Ikatan
Relawan Rakyat Malaysia yang menjadi benteng kedua keselamatan negara dapat
dipenuhi. Selain itu, gerakan pihak subversif yang sering menghasut minda
masyarakat, kita dapat disekati. Justeru, patriotisme adalah ejen sosialisasi
yang berkesan dan mantap untuk mengekalkan kemerdekaan sehingga pada masa akan
datang.
Bagaimanapun, terdapat banyak kekangan untuk mencapai objektif ke arah
sifat patriotisme ke arah negara bertamadun tinggi. Sehubungan dengan itu,
perlunya inti pati semangat ini diselitkan dalam pendidikan negara terutama
dari sekolah rendah, bak kata pepatah Melayu "melentur buluh biarlah dari
rebungnya". Oleh itu, pendidik perlu menyemai semangat patriotisme dengan
lebih kreatif supaya pelajar dapat menjiwai dengan lebih mendalam. 50 tahun
mendatang merdekakah kita lagi? Namun begitu, isu yang sering kali menjadi
persoalan utama ketika ini, masihkah ada kemerdekaan untuk Malaysia pada masa
50 tahun yang akan datang? Hal ini kerana kian hari kita disajikan dengan
perilaku anak bangsa yang semakin jauh atau melupai untuk mendalami erti
sebenar semangat patriotisme ini. Anak muda sekarang lebih mudah terpengaruh
dengan dengan perilaku negatif sehingga leka dalam menghayati semangat
patriotik. Contohnya, anak muda lebih mudah terpengaruh untuk turut serta dalam
"penentangan jalanan" tanpa mengetahui dengan lebih mendalam akan
maksud atau faedah sebenar bantahan itu. Bagi mereka keinginan untuk turut
serta dalam kekacauan itu sudah menjadi seperti trend yang dapat mereka
banggakan. Walhal, jika situasi ini berterusan, tidak hairanlah andai suatu
hari kelak, emosi bertemu emosi, perbalahan atau pergaduhan sesama rakyat
Malaysia yang berbilang kaum ini akan tercetus yang mengakibatkan perpecahan
kaum. Mungkin juga keadaan ini akan menyebabkan berlakunya peperangan dalaman
antara rakyat dan kerajaan yang akan menghancurkan kestabilan negara kita.
Saya
bukannya seorang yang rasis, namun sebagai rakyat bumi tercinta ini
tertanya-tanya juga akan sejauh manakah orang bukan Bumiputera menerapkan nilai
patriotisme? Apatah lagi selepas 57 tahun mencapai kemerdekaan, mengapakah
wujudnya penterjemah dalam mahkamah sedangkan Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi
Malaysia? Keadaan ini membuktikan bertapa tahap patriotisme yang telah
berkurangan dalam generasi kini. Hilangnya jati diri sebagai anak Malaysia
menjadikan mereka lupa pada kewujudan Malaysia pada masa lalu.
Bahasa Melayu
yang menjadi bahasa kebangsaan tidak lagi menjadi kebanggaan kepada sesetengah
anak-anak Malaysia terutamanya mereka yang berbangsa bukan Bumiputera. Lebih
menyedihkan, media sosial menjadi medium kebebasan untuk mereka bersuara tanpa
batasan. Malah, ada juga yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap
pentadbiran negara, mempersoalkan hak Bumiputera serta merendahkan kekuasaan
Raja-raja di Malaysia. Ternyata mereka tidak memahami rukun negara kita, apatah
lagi peruntukan Perlembagaan yang membataskan perkara tertentu dalam
dibincangkan secara umum.
Bukan kita menuding jari kepada sesiapa atau tidak
juga mahu menangkan bangsa Melayu. Umum dapat melihat bangsa lain seperti
mengambil mudah isu patriotisme ini. Sebagai contoh, andai orang bukan
Bumiputera diajukan soalan seperti "Saya berasa gembira jika dipilih
menyertai PLKN", "Saya sangat menghormati pahlawan yang berkorban
untuk mempertahankan Malaysia", "Saya sedia berbakti kepada
negara" serta soalan lain yang berunsur patriotisme ini, kebanyakan mereka
sama ada memberikan jawapan yang negatif atau terus menolak untuk menjawab akan
persoalan itu. Sudah jelas menunjukkan bahawa mereka tidak mendalami semangat
patriotisme terhadap negara sendiri? Mungkin "Ya" atau juga mungkin
"Tidak". Oleh sebab itu, patriotisme bukan saja harus dipupuk oleh
bangsa Melayu saja, malahan oleh bangsa lain kerana topik ini harus dititik
beratkan bagi memastikan Malaysia masih terus merdeka. Hal ini kerana Malaysia
adalah sebuah negara unik kerana terdiri dari berbilang bangsa.
Tuntasnya di
sini, seluruh rakyat Malaysia pada masa kini adalah tonggak utama dalam
memastikan Malaysia agar terus merdeka walau 50 tahun mahupun 100 tahun yang
akan datang. Hal ini kerana kemerdekaan yang dicapai adalah daripada kaum yang
bersatu padu dalam memastikan Malaysia terus aman dan menepis segala ancaman
dari dunia luar agar Malaysia tidak akan dijajah semula. Bak kata Tun Dr.
Mahathir: "Mereka yang melupakan sejarah, pasti akan mengulanginya".
Oleh yang demikian, sebagai rakyat yang terdiri daripada berbilang kaum dan
berbeza agama, tentunya tidak mampu menunggu sehingga tahap kritikal. Tentulah
kita mengetahui pentingnya patriotisme sebagai rakyat Malaysia seperti
perumpamaan "sudah terhantuk, barulah terngadah". Rentetan itu, nilai
patriotisme haruslah diterapkan kepada anak muda kita sejak awal pembelajaran
lagi agar menjadi pegangan hidup kelak.
Perbaiki masalah perpaduan
Masih belum
lagi terlambat untuk memperbaiki masalah perpaduan negara. Yang penting ialah
keikhlasan. Barulah semangat patriotik di kalangan rakyat akan dapat disemai.
Penggunaan bahasa kebangsaan harus digalakkan secara menyeluruh. Apa yang
dilakukan sekarang bagus, tetapi masih belum lagi mencukupi. Ironinya, apa erti
Jalur Gemilang berkibar megah, jika nilai sejarah tidak dihormati? Apa gunanya
setiap rumah mengibarkan bendera jika masih ada rakyat yang tidak boleh
berbahasa kebangsaan? Apa ertinya negara akan menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan
Ke-57, jika rakyat yang berbilang bangsa masih lagi syak wasangka sesama
sendiri. Semua ini masalah pokok yang harus diselesaikan. Jika tidak sambutan
tidak ada erti dan tiada bezanya dengan perayaan lain yang dirayakan di negara
ini. Mungkin pantun klasik karya tokoh pejuang kemerdekaan, Dr Burhanudin
al-Helmi dapat memberikan erti kemerdekaan.
Di atas robohan Kota Melaka
Kita
dirikan jiwa merdeka
Bersatu-padulah segenap baka
Membela hak keadilan pusaka
Merdekakah kita sebenarnya?
Mungkin benar kita telah merdeka dari jajahan,
sebaliknya, kita dijajah oleh pemikiran kita sendiri. Terpenjara dalam ruang
ciptaan prasangka dusta. Mari kita bebaskan diri kita ini dengan menghayati
erti sebenar perit mencapai kemerdekaan. Hanya dengan itu, kita akan berusaha
mengekalkannya. Semoga teriakan Merdeka! Merdeka! Merdeka! Kali ini penuh
dengan getaran daripada jiwa yang benar-benar ingin merdeka. Perhimpunan
sambutan kemerdekaan antara tindakan simbolik patriotisme. - Ga