Tuesday, September 29, 2015

Memupuk Semangat Patriotik



Langkah-langkah Memupuk Semangat Patriotik
Oleh : Nabilah Izzati Adnan
(Tingkatan 5RKA SMKPBG)

        Tanggal 31 Ogos 1957, merupakan satu detik proklamasi yang amat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Tanah Melayu. Saat Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan kalimah keramat “ merdeka ” , seluruh rakyat bersorak dan bersyukur kerana telah bebas dijajah. Namun begitu, semangat meraikan hari kemerdekaan negara yang kian luntur tahun demi tahun. Pengorbanan perajurit-perajurit negara kian dipandang sepi. Sejajar dengan permasalahan itu, beberapa inisiatif perlu diambil demi memupuk kembali semangat patriotik dalam diri rakyat Malaysia.

        Inisiatif yang pertama ialah ibu bapa perlulah menceritakan semula sejarah pembentukan negara Malaysia kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana  'sesiapa yang melupakan sejarah lalu, maka pasti ia akan mengulanginya kelak' . Hatta, demi menghapuskan duri dalam daging seperti Si Kitol yang telah mempertaruhkan maruah negara, ibu bapa sewajarnya sentiasa mengingatkan anak-anak tentang pengorbanan nenek moyang kita terdahulu demi mencapai kemerdekaan yang tidak ternilai harganya. Ibarat kata pepatah, “ melentur buluh, biarlah dari rebungnya ”. Sehubungan dengan itu, demi melahirkan pemimpin masa hadapan yang mempunyai semangat patriotik dalam diri yang tinggi, ibu bapa perlulah memainkan peranan yang penting agar generasi yang lebih proaktif dan berdedikasi dapat dibentuk.

        Inisiatif seterusnya ialah, pihak kerajaan perlu mengadakan kempen mengibarkan jalur gemilang. Selain itu, pihak kerajaan juga perlu mengadakan kempen “ sehati sejiwa ” yang bertepatan dengan tema hari kebangsaan pada tahun ini. Tema “ sehati sejiwa ” pada tahun ini telah memberikan satu anjakan paradigma kepada rakyat Malaysia bahawa seluruh rakyat Malaysia perlu bekerjasama, bersatu padu dan saling membantu dalam memajukan negara di persada antarabangsa sama ada dari aspek ekonomi, sosial mahupun politik. Oleh yang demikian, sifat kebersamaan, kesatuan dan kesepaduan ini secara tidak langsung akan menyuburkan lagi semangat patriotik dalam diri setiap individu yang bergelar rakyat Malaysia.

        Selain itu, pihak sekolah juga boleh menyanyikan lagu yang berunsurkan patriotisme setiap hari sepanjang bulan Ogos sehinggalah 16 September iaitu pada hari Malaysia demi mewujudkan semangat patriotik dalam kalangan warga sekolah yang terdiri daripada pelajar, guru-guru dan pekerja-pekerja am. Malahan juga, guru-guru disarankan menganjurkan pelbagai pertandingan sempena bulan kemerdekaan ini seperti pertandingan menghias kelas, pertandingan nyanyian lagu patriotik, kuiz Sejarah dan sebagainya bagi menyemarakkan lagi rasa cinta akan negara dalam kalangan pelajar. Sesungguhnya, perpaduan kaum di peringkat pelajar, guru-guru dan pekerja- pekerja am dapat diperkukuhkan lagi agar negara Malaysia sentiasa aman dan harmoni.

        Seterusnya, pihak media juga boleh menyiarkan lagu tema hari Kebangsaan di kaca televisyen serta di corong radio agar seluruh rakyat Malaysia dapat menghayati seni kata lagu tersebut tanpa mengira batasan usia. Di samping itu, pihak media juga boleh mewujudkan sebuah program tentang sejarah kemerdekan negara agar generasi muda dapat mengenang kembali betapa besarnya pengorbanan wira-wira terdahulu yang telah rebah tersungkur di medan peperangan demi mempertahankan negara tercinta. 

        Konklusinya, semua pihak perlu berganding bahu dalam memupuk semangat patriotik dalam diri setiap rakyat Malaysia. Hargailah pengorbanan pemimpin terdahulu yang mampu memberikan kita kemerdekaan. Sesungguhnya, jadilah rakyat yang sofistikated dan sentiasa bersemangat patriotik agar Malaysia maju, aman dan sejahtera tanpa diserang oleh mana-mana musuh. Semenjak dahulu lagi rakyat Malaysia diseur untuk hidup bersatu seperti sebaris lirik dalam lagu Negaraku “ rakyat hidup, bersatu dan maju ” . Oleh itu, ayuh rakyat Malaysia, sahutlah seruan Perdana Menteri kita, Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, marilah kita, rakyat 1 Malaysia sama-sama dan sehati sejiwa bersemangat patriotik dan kibarkanlah Jalur Gemilang.
 
(Teks karangan di atas merupakan tulisan sebenar Nabilah Izzati yang dijawab semasa Peperiksaan Percubaan SPM bertempat di Dewan Panglima SMK Panglima Bukit Gantang)

No comments: