Wednesday, September 16, 2015

Faktor Kecemerlangan Murid Dalam Akademik



Faktor Kecemerlangan Murid Dalam Akademik

Khalifah Ar-Rasyidin yang keempat, Saidina Ali Abi Talib pernah menukilkan, “Ilmu apabila diperdagangkan bertambah, sebaliknya harta apabila diperdagangkan berkurang”. Pernyataan ini jelas menunjukkan bahawa ilmu adalah sangat penting dalam kehidupan seharian kita terutamanya murid-murid sekolah.     Kecemerlangan murid dalam akademik adalah sangat penting kerana mereka  merupakan bakal pemimpin kita pada masa hadapan. Remaja yang cemerlang akan menyumbang kepada pembangunan sesebuah negara.  Hal ini bertepatan dengan ungkapan “ Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara ”. Persoalannya, apakah  faktor-faktor yang mempengaruhi kecemerlangan seseorang murid dalam akademik?

 Faktor utama yang membawa kepada kecemerlangan murid dalam akademik ialah melalui tumpuan ketika guru mengajar di bilik darjah semasa proses pengajaran dan pembelajaran  (p&p). Sekiranya seseorang murid itu menumpukan perhatian semasa guru mengajar di bilik darjah, sudah tentu pelajaran tersebut lebih cepat diserap masuk ke dalam minda murid-murid. Pakar psikologi pernah mengatakan bahawa, “lima puluh peratus kejayaan murid dalam akademik adalah melalui tumpuan seratus peratus murid ketika proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah”. Kebanyakan murid yang berjaya dalam akademik adalah terdiri daripada mereka yang sentiasa mengemukakan soalan kepada guru-guru sekiranya terdapat tajuk yang tidak dapat difahami ketika guru mengajar. Selain itu, murid-murid yang sering berjumpa dan berbincang dengan guru-guru tentang akademik, pasti meraih kejayaan yang cemerlang. Dalam hal ini, murid-murid perlu menghindari perasaan malu atau segan untuk bertanya apa-apa masalah tentang akademik kepada guru mereka kerana pepatah menyatakan, malas berkayuh perahu hanyut, segan bertanya sesat jalan. Murid-murid juga perlu menyiapkan segala kerja rumah yang disuruh oleh guru dan menghantar dengan segera kepada guru untuk diperiksa. Murid-murid  juga  turut melibatkan diri dalam aktiviti bilik darjah  secara proaktif bagi membantu mewujudkan proses pengajaran guru yang menarik dan berkesan. Tegasnya, tumpuan murid-murid semasa guru sedang mengajar dalam bilik darjah merupakan faktor utama kecemerlangan murid dalam akademik.

Selain itu, program kecemerlangan akademik yang dianjurkan oleh pihak sekolah turut menyumbang kepada kecemerlangann murid dalam akademik. Antara program yang diadakan ialah pelancaran Minggu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Melalui pelaksanaan program ini, murid-murid dapat memupuk minat mereka dalam subjek tertentu dan seterusnya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam akademik. Selain program Minggu Bahasa, pihak sekolah juga banyak mengadakan bengkel teknik menjawab soalan bagi subjek-subjek tertentu . Dengan menghadiri bengkel menjawab soalan , murid-murid dapat mengetahui kelemahan mereka dalam sesuatu subjek dan memperbaiki kelemahan tersebut serta mendedahkan murid-murid berkaitan teknik untuk menjawab soalan peperiksaan sebenar dengan betul.  Hal ini bertujuan untuk menjadikan murid-murid supaya lebih berkeyakinan semasa menjawab soalan dalam peperiksaan yang sebenar. Sekolah turut mengadakan kem kecemerlangan, kem motivasi dan kem bina insan agar murid dapat membina sahsiah diri, mempunyai motivasi dan membentuk keperibadian yang luhur.  Program Hari Anugerah Cemerlang yang diadakan pada setiap tahun juga turut memberi motivasi kepada murid supaya belajar bersungguh-sungguh.  Jelasnya,  program yang dianjurkan sekolah juga merupakan salah satu faktor kecemerlangan murid dalam akademik.

Seterusnya, saya akan menubuhkan kumpulan perbincangan di sekolah bagi meraih kejayaan yang cemerlang dalam akademik. Saya akan mengajak empat atau lima orang rakan saya untuk sama-sama berbincang tentang sesuatu tajuk atau topik pelajaran yang kurang difahami. Selain guru, penerangan dan penjelasan daripada rakan-rakan dalam kumpulan perbincangan berkaitan sesuatu topik amat penting untuk meningkatkan pemahaman murid tarhadap tajuk pelajaran yang kurang difahami semasa di kelas. Bersama rakan perbincangan juga, saya akan membuat lebih banyak latihan terutamanya  Matematik, Fizik, Prinsip Akaun dan subjek Sains yang lain. Saya dan rakan kumpulan perbincangan akan selalu mengunjungi perpustakaan untuk  mengulang kaji pelajaran dan berbincang dengan rakan-rakan. Kami akan menyiapkan kerja rumah dan latihan yang diberi oleh guru bersama-sama. Kumpulan perbincangan amat penting lebih-lebih lagi menjelang peperiksaan yang sebenar. Murid-murid yang menyertai kumpulan perbincangan di sekolah akan lebih bersedia dan berkeyakinan ketika menghadapi peperiksaan. Oleh itu, penyertaan murid dalam kumpulan perbincangan juga merupakan antara faktor kejayaan murid dalam akademik.

Akhir sekali, kecemerlangan murid dalam akademik berpunca daripada sokongan dan dorongan daripada kedua-dua  ibu bapa. Dorongan daripada ibu bapa dapat menjadikan  seseorang murid  itu rajin dan gigih berusaha untuk mencapai kecemerlanagn.  Hal ini kerana dorongan daripada ibu bapa merupakan satu sumber inspirasi kepada anak-anak. Anak- anak akan lebih berjaya dalam pelajaran mahupun dalam hidup dengan adanya dorongan, motivasi, kata-kata perangsang, restu, dan keredaan daripada ibu bapa. Ibu bapa juga boleh menjadi contoh teladan kepada anak-anak dengan membawa anak-anak ke perpustakaan atau menghantar anak-anak ke kelas tambahan. Anak-anak akan mencontohi ibu bapa dan menganggap dorongan ibu bapa itu sebagai motivasi kepada diri mereka sendiri. Bak kata peribahasa, “ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi”. Salah satu cara ibu bapa memberi dorongan kepada anak-anak adalah dengan memperuntukkan sejumlah wang untuk anak-anak menghadiri kelas tuisyen dan menyediakan kemudahan untuk anak mereka belajar di rumah. Ibu bapa juga boleh menyediakan perpustakaan mini di rumah untuk memupuk budaya membaca dalam diri anak-anak. Dengan ini, anak-anak akan membahagiakan ibu bapa dengan kejayaan yang dicapai oleh mereka. Tegasnya, dorongan ibu bapa amat penting untuk anak-anak mencapai kecemerlangan  dalam akademik.

Kesimpulannya, banyak faktor penentu kecemerlangan  murid dalam akademik. Untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik, murid-murid perlu memberikan tumpuan ketika pembelajaran di bilik darjah. Murid-murid juga hendaklah menyertai program-program akademik yang dianjurkan oleh sekolah selain menyertai kumpulan perbincangan di sekolah. Kecemerlangan murid dalam akademik juga adalah berpunca daripada sokongan dan dorongan daripada ibu bapa. Tegasnya, kecemerlangan seseorang murid dalam akademik  bergantung pada keazaman seseorang murid itu untuk berjaya, bak kata pepatah, usaha tangga kejayaan dan hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

Karangan murid 5RKA 2014, SMKPBG

 

No comments: