Salah satu cara yang boleh dilakukan oleh anak-anak untuk menggembirakan ibu bapa adalah dengan menjaga nama baik mereka.
Huraikan langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk menjaga nama baik ibu bapa anda.
Tidak
ada ibu bapa di dunia ini yang tidak sayang akan anaknya. Mereka sanggup
berkorban apa-apa sahaja untuk memastikan anak-anak sentiasa selamat dan sihat.
Ibu bapa juga sanggup berkorban dan bersengkang mata berjaga malam semata-mata
untuk menjaga terutamanya ketika anak-anak sakit. Bagi ibu bapa, tiada detik
yang paling menggembirakan mereka melainkan ketika melihat anak-anak membesar
sebagai seorang yang berguna dan berjaya dalam hidup. Sebagai seorang anak yang
bertanggungjawab, kita perlu sentiasa ingat akan pengorbanan ibu bapa kita dan
membalas jasa mereka walaupun mereka tidak pernah mengharapkan sebarang balasan
daripada kita. Sebagai seorang anak, saya bertanggungjawab menggembirakan ibu
bapa saya dan menjaga nama baik mereka kerana saya sedar bahawa tiada ibu
bapa, tiadalah saya. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang harus saya
lakukan untuk menjaga nama baik mereka?
Langkah utama yang akan saya lakukan untuk
menjaga nama baik ibu bapa saya adalah dengan belajar bersungguh-sungguh
sehingga mendapat kejayaan yang cemerlang. Ibu bapa saya pasti akan gembira
apabila saya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan dalaman
sekolah atau peperiksaan awam. Untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan , saya
akan menumpukan sepenuh perhatian saya semasa guru sedang mengajar. Sekiranya
saya tidak memahami sesuatu tajuk dalam pelajaran tertentu, saya tidak akan
malu bertanya kepada guru saya kerana pepatah menyatakan bahawa malas
berkayuh perahu hanyut, segan bertanya sesat jalan. Selain itu , saya akan
mengulangkaji pelajaran secara berkumpulan bersama-sama rakan sekelas ketika
ada masa yang terluang. Saya juga akan menyediakan jadual belajar secara
sistematik dan efisyen. Semua kerja rumah yang diberikan oleh guru akan saya
siapkan mengikut ketetapan masa yang
diberi oleh guru. Saya juga akan sentiasa membuat persediaan lebih awal dengan
mengulangkaji pelajaran sebelum menghadapi peperiksaan yang sebenar kerana
pepatah menyatakan sediakan payung sebelum hujan. Kejayaan yang akan
saya peroleh hasil usaha saya yang bersungguh-sungguh ini tentulahkan akan
menaikkan nama baik ibu bapa saya. Reputasi ibu bapa saya sebagai contoh dalam
kalangan masyarakat akan terselah dan nama baik mereka juga akan terbina.
Jelasnya, saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk memperoleh keputusan yang
cemerlang untuk menjaga nama baik ibu bapa saya.
Selain itu, untuk menjaga nama baik ibu
bapa, saya akan bergaul dan berkawan dengan rakan-rakan yang baik dan dapat
membimbing saya menjadi seorang insan yang berguna kepada masyarakat apabila
dewasa kelak. Hal ini demikian kerana, saya akan memastikan diri saya tidak
terlibat dengan rakan-rakan yang bermasalah yang boleh mempengaruhi saya terjebak
dalam kancah gejala sosial seperti merempit, melepak , ponteng sekolah ,
melakukan vandalime dan melibatkan diri dalam penagihan najis dadah. Saya akan
sentiasa berpegang pada pepatah yang menyatakan bahawa “jika kita berkawan
dengan seorang tukang besi, baju kita akan tercarik kerana terkena percikan
api, tetapi jika kita berkawan dengan seorang penjual minyak wangi, tubuh badan
kita akan turut berbau harum”. Saya juga akan membezakan anatara rakan yang
baik dengan rakan yang tidak baik. Saya
akan berkawan dengan rakan-rakan yang mengutamakan pelajaran agar saya dapat
bertukar-tukar pandangan dan ilmu dengan mereka. Hal ini penting bagi
menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya, agar mempunyai semangat dan
motivasi untuk belajar bersungguh-sungguh. Ibu bapa saya pasti bersyukur
sekiranya sebagai seorang anak saya tidak melakukan sesuatu yang boleh
menconteng arang ke muka mereka. Jelasnya , saya akan bergaul dengan
rakan-rakan yang berakhlak baik agar saya tidak tersilap langkah demi menjaga nama
baik ibu bapa saya.
Di samping itu , bagi menjaga nama baik
ibu bapa, saya akan menjaga akhlak dan tingkah laku saya sendiri agar tidak
mencemarkan maruah ibu bapa saya. Setiap ibu bapa pasti berasa bangga
seandainya anak-anak yang lahir mengamalkan nilai-nilai murni dan berbudi
bahasa dalam kehidupan. Kecemerlangan yang dicapai oleh anak-anak dalam bidang akademik
bukan jaminan untuk ibu bapa gembira sekiranya anak-anak yang cemerlang ini
tidak memiliki akhlak yang terpuji dan berbudi bahasa. Sebagai seorang anak,
saya akan sentiasa menghormati ibu bapa dan bercakap dengan lemah lembut
terhadap mereka. Saya juga akan sentiasa mendengar nasihat mereka dan tidak
sekali-kali menjadi anak derhaka seperti cerita si Tanggang. Akhlak akan
seiring dengan kejayaan yang saya miliki . Sebagai seorang murid sekolah pula,
saya akan mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Saya
akan mengelakkan diri daripada terlibat dalam masalah disiplin seperti ponteng
kelas , tidak menghormati guru dan tidak menyiapkan kerja sekolah. Saya sedar
sekiranya saya melanggar peraturan sekolah dan terlibat dengan salah laku di
sekolah, ibu bapa saya akan di panggil dan mereka akan berasa malu akibat
perbuatan saya ini. Oleh itu, saya akan sentiasa menghormati guru-guru di sekolah
dan menghormati orang yang lebih tua daripada saya apabila berjumpa dengan
mereka di mana-mana sahaja. Hal ini demikian kerana masyarakat pasti bertanya “Anak
siapakah yang berbudi bahasa itu?” Secara tidak langsung, ibu bapa saya
akan dipandang tinggi oleh masyarakat kerana mendidik anaknya dengan baik.
Hadis Riwayat Al-Tarmizi menyatakan bahawa ibu bapa yang baik terdiri daripada
ibu bapa yang melahirkan anak-anak yang berakhlak mulia.
Tambahan lagi , saya akan menjaga nama
baik ibu bapa dengan manjalinkan hubungan yang baik dengan ahli keluarga ,
jiran tetangga dan masyarakat setempat. Sebagai seorang anak yang baik, saya
sentiasa menjalinkan hubungan dengan ahli keluarga dan saudara mara yang jauh
dan dekat sama ada di sebelah ibu mahupun di sebelah bapa walaupun mereka telah
meninggal dunia. Saya akan meneruskan jalinan kasih sayang dengan ibu bapa
saudara dan sepupu-sepupu saya termasuklah mereka yang mempunyai hubungan bau-bau
bacang dengan saya. Hubungan yang terjalin ini dapat mengeratkan ikatan
kekeluaargaan dan tali persaudaraan yang mungkin hampir terputus kerana tinggal
berjauhan serta tidak mengenali antara satu sama lain. Sebagai contohnya, saya
akan membawa ibu bapa saya menziarahi sanak saudara dan kaum kerabat saya pada
musim perayaan atau majlis kenduri-kendara. Saya yakin hubungan saya ini dapat
menjaga nama baik ibu bapa saya kerana menjalinkan hubungan baik dalam kalangan
keluarga. Selain itu, saya juga akan menjaga hubungan baik dengan jiran
tetangga seperti selalu bertegur sapa dengan mereka, menziarahi mereka
sekiranya mereka sakit , membantu mereka apabila mereka memerlukan bantuan dan mengunjungi rumah mereka pada hari
perayaan. Sebagai seorang anggota masyarakat, saya akan menyertai setiap
program kemasyarakatan yang dianjukan oleh masyarakat di kawasan tempat tinggal
saya. Ibu bapa saya pasti gembira apabila saya melibatkan diri dalam program
kemasyarakatan kerana mereka tidak perlu berasa bimbang sekiranya saya akan
bergaul dengan rakan-rakan yang tidak baik. Penglibatan saya dalam program
kemasyarakatan juga membuktikan saya menjadi lebih matang dan berminda terbuka
dan tidaklah seperti katak di bawah tempurung.Tegasnya, nama baik ibu
bapa dapat dijaga dan dapat dipelihara sekiranya saya menjalinkan hubungan yang
baik dengan masyarakat setempat. Bak kata pepatah, “hidup kayu biar berbuah, hidup manusia
biar berjasa.”
Akhir sekali, saya akan sentiasa berpegang
teguh pada ajaran agama demi menjaga nama baik ibu bapa saya. Sebagai anak yang
baik, saya akan sentiasa mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan saya agar
saya mempunyai benteng keimanan yang kukuh dan ampuh serta dapat mengelakkan
diri daripada terjebak dan terpengaruh oleh perkara-perkara yang tidak baik.
Sekiranya saya berpegang teguh pada ajaran agama, saya dapat membezakan perkara
yang salah dan benar. Hal ini amat penting untuk menentukan kejayaan saya pada
masa hadapan. Saya akan sentiasa menjaga nama baik ibu bapa dan tidak
menghampakan harapan mereka terhadap saya , kerana saya sedar, “siapalah
saya tanpa ibu bapa”. Saya akan mempraktikkan didikan agama yang saya
terima agar saya mempunyai matlamat hidup yang jelas. Saya sedar akan
kepentingan masa hadapan saya. Untuk meningkatkan nilai kerohanian dalam diri ,
saya akan menghadiri kelas-kelas agam a atau kelas fardhu ain serta
majlis-majlis ilmu agar dapat membentuk jiwa saya kearah melakukan
perkara-perkara baik. Hal ini penting untuk melawan serangan pemikiran yang
boleh menjerumuskan saya untuk melakukan perkara yang tidak baik. Tegasnya,
didikan agama yang saya terima hasil asuhan ibu bapa akan saya praktikkan dalam
kehidupan saya supaya saya dapat
membentuk keperibadian yang baik dalam diri saya sekali gus dapat menjaga nama
baik ibu bapa saya.
Berdasarkan
perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa menjaga nama baik ibu bapa
atau menggembirakan mereka menjadi satu tanggungjawab anak-anak yang hidup di dunia. Oleh itu, saya ingin menyeru
agar semua remaja dan anak-anak sentiasa menjaga nama baik masing-masing dan
jangan sesekali melukakan perasaan ibu bapa mereka atau melakukan sesuatu yang
boleh menjatuhkan imej mereka. Kita perlu ingat bahawa harta benda boleh
dicari tetapi ibu bapa tiada galang gantinya. Tegasnya, berbuat baiklah
kepada ibu bapa selagi hayat mereka masih ada dan sebelum terlambat kerana sesal
dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
4 comments:
Karangan nya itu sangat bagus dong.Bagus bagus
Karangan yang sangat bagus
Terima kasih Cikgu Mohd Sa'ad....saya membantu....
Kn..bagus sagt
Post a Comment