Monday, October 5, 2015

Memupuk Semangat Patriotik



 Langkah-Langkah Memupuk Semangat Patriotik Dalam Kalangan Rakyat
Oleh : Nur Shaqireen Zainon (5RKA)
      
Selepas 446 tahun di bawah penguasaan penjajah, bapa kemerdekaan Malaysia mengisytiharakan kemerdekaan buat Tanah Melayu pada tarikh keramat 31 Ogos 1957.  Kalimat ... Merdeka! Merdeka! Merdeka!... dengan bangganya dilaungkan tujuh kali di Stadium Merdeka.  Kedengaran semangat dan titisan air mata kebahagiaan.  Pada tahun 2015 Malaysia akan menyambut kemerdekaan negara  buat kali ke 58.  Ketika seusia 58 tahun,  jika dibandingkan dengan manusia pastinya kita menggambarkan seseorang yang matang, mampu berfikir secara rasional dan dapat membuat keputusan yang bijak serta  pastinya lebih memahami asam garam kehidupan.  Namun begitu, 58 tahun belum cukup untuk negara kita dibanggakan di mata dunia.  Kita masih bagai enggang dengan pipit dengan negara-negara kelas pertama. Tokoh ilmuan barat pernah mengatakan untuk membina sesebuah negara perkara utama yang perlu ada ialah semangat patriotik yang tinggi dalam diri rakyat.  Hal ini kerana, dengan wujudnya semangat cinta akan negara akan lahirlah individu-individu yang berjiwa besar dalam politik, ekonomi dan sahsiah.  Oleh sebab itu, kita perlu memastikan semangat patriotik sentiasa menyala dalam setiap kalbu rakyat.  Semarak api cinta akan negara seharusnya kekal sepanjang masa bukan seperti hangat-hangat tahi ayam.  Kita mestilah memupuk semangat patriotik, menyiramnya dan membajainya agar semangat itu terus tumbuh dan berakar di hati rakyat. Persoalannya, apakah langkah-langkah progresif dan pragmatik  yang boleh diambil untuk memupuk semangat patriotik dalam diri rakyat?
    Pakar filsuf dunia pernah menyatakan “segalanya bermula dari rumah”. Hal ini menunjukkan peri pentingnya institusi kekeluargaan untuk memupuk semangat patriotik dalam diri seseorang.Ibu bapa yang merupakan tulang belakang dalam keluarga mestilah mengorak langkah yang lebih kreatif dan inovatif agar semangat patriotik dapat disemat di dalam diri anak-anak.  Antara langkah yang boleh diambil ialah membawa anak-anak bercuti di tempat-tempat bersejarah. Tamsilnya, Bandaraya Bersejarah Melaka.  Anak-anak berpeluang untuk lebih dekat dengan sejarah seperti melihat sendiri peninggalan kota A-famosa.Selain itu, ibu bapa mestilah menjadi suri tauladan kepada anak-anak.          
      Misalannya, mengibarkan Jalur Gemilang di rumah,kereta mahupun di basikal anak-anak. Hal ini kerana, anak-anak yang usia setahun jagung dan darah setampuk pinang masih samar-samar dalam memahami semangat patriotik yang sebenar.  Jelaslah, ibu bapa menjadi pencetus utama untuk memupuk semangat patriotik sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya dan dapat mendatangkan impak yang hebat dalam kalangan rakyat kerana untuk menanam sesuatu budaya yang baik, pastinya menggunakan cara yang baik dan tidak berkeras seperti peribahasa bagai menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.
       Pihak kerajaan juga tidak dikecualikan dalam usaha memupuk semangat patriotik dalam diri rakyat. Jika kita melihat ke negara jiran, Indonesia pastinya kita merasa takjub dengan rakyat mereka yang tidak perlu dipujuk dan dirayu untuk menyambut hari kemerdekaan malah mereka dengan rela hati dan berlapang dada untuk meraikannya dengan penuh kemeriahan sebagai tanda kesyukuran dan ucapan terima kasih kepada para pejuang mereka.  Jika hendak dibandingkan dengan kita ibarat langit dengan bumi. Mungkin ini yangt harus di tanggung oleh Malaysia kerana rakyatnya yang kurang rasa empati terhadap perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan yang bukannya murah tetapi menunutut seribu satu perjuangan dan pengorbanan.Rentetan daripada itu, tidak dapat tidak pihak kerajaan terpaksa membelanjakan peruntukan yang besar untuk menganjurkan kempen besar-besaran dan menganjurkan hari kemerdekaan bermula di peringkat institusi pendidikan di seluruh negara dan institusi-institusi awam yang pastinya menelan belanja yang besar.  

      Pihak kerajaan juga mula menghias kawasan-kawasan tumpuan sama ada di ibu kota mahupun desa. Percaya ataupun tidak mata kita akan  diwarnai dengan lautan bendera yaaanggg menghiasi hamper dddi   setiap pelusuk Malaysia. Usaha-usaha ini membuktikan kerajaan komitmen untuk memastikan semangat patriotic tak lekang dek ujan tak luput dek panas.  Kempen yang diadakan mestilah dapat menarik minat rakyat dan mampu memberi bekas di dalam hati rakyat.  Hasrat kerajaan pastinya ingin memastikan usaha mereka membuahkan hasil, bukan sekadar melepaskan batok ditangga dan bagai mencurahkkan air ke daun keladi tetapi alang-alang mandi biarlah basah.  Umum mengeetahui,  kerajaan memberi cuti umum sempena hari kemerdekaan.langkah ini disambut baik oleh masyarakat kerana mereka berpeluang untuk menunjukkan rasa cinta akan Negara dengan menyertai perarakkan kemerdekaan mahupun memberi sokongan kepada anggota masyarakat yang terlibat.namun begitu,masih terdapat segelintir masyarakat hanya beranggapan bahawa cuti umum pada hari kemerdekaan sekadar unutuk melepaskan lelah bekerja atau belajar.  Ada juga masyarakat yang bermentaliti dunia ketiga yang beranggapan bahawa inilah masa keemasan untuk membanjiri gedung membeli-belah kerana adanya pelbagai jualan murah. Di mana letaknya nilai patriotik seseorang rakyat jika kita langsung tidak mengambil peduli tentang peristiwa-peristiwa penting dalam negara kita.  Oleh sebab itu,pihak kerajaan dan masyarakat mestilah berganding bahu untuk memupuk semangat patriotik dalam diri kerana bertepuk sebelah tangan manakan berbunyi.Jelaslah ,pihak kerajaan memainkan peranan penting untuk  memupuk semangat patriotik dari kalangan masyarakat.Usaha kerajaan dengan menganjurkan hari kemerdekaan serta memberikan cuti umum kepada rakyat seharusnya tidak dipandang sepi tetapi mestilah disambut dengan tindak balas positif oleh masyarakat.
     Pada peringkat institusi pendidikan,khususnya pada peringkat sekolah antara cara yang boleh diambil untuk memupuk semangat patriotik ialah melalui mata pelajaran Sejarah.Sehingga kini,Sejarah antara wadah yang mendatangkan kesan positif dalam diri pelajar.Tokoh sejarawan dunia pernah menukilkan bahawa sesiapa yang tidak mempelajari sejarah pasti akan mengulanginya.Kita pastinya tidak mahu pisang berbuah dua kali. Langkah murni Kementerian Pendidikan Malaysia mewajibkan semua pelajar lulus dalam mata pelajaran Sejarah bagi yang menduduki peperiksaan sijil pelajaran Malaysia merupakan satu usaha yang sangat bernas kerana pelajar yang dulunya memandang enteng akan mata pelajaran Sejarah kerana beranggapan ianya antara subjek yang membosankan mula menunjukkan minat dalam mata pelajaran ini apabila mereka cenderung untuk mempelajarinya dengan lebih mendalam.  Peperiksaan bukanlah matlamat aula yang dikejar oleh pelajar, tetapi peperiksaan adalah alat yang mampu menarik minat para pelajaruntuk lebih mendalami sesuatu ilmu.Para pealajar harus merenung sejenak ke belakang agar mereka lebih menghargai kemerdekaan yang diusahakan oleh para penegak kemerdekaan.  Dengan mempelajari ilmu sejarah yang bertunjangkan kepada perjuangan menuntut kemerdekaan,dipaterikan pula dengan ilmu agama yang kukuh pastinya dapat melahirkan pelajar yang mempunyai semangat patriotik yang setinggi Gunung Kinabalu. Misalannya,melalui sejarahlah para pelajar mengetahui bahawa kemerdekaan  yang kita kecapi  pada hari ini berkat kesabaran, usaha keras, kerahan keringat, keberanian dan kebijaksanaan yang menjadi pemacu utama dalam setiap kejayaaan para perjuang terdahulu.Tamsilnya,keberaniaan yang ditunjukkan oleh Rosli Dhobi ketika penentangan di Sarawak dan kebijaksanaan Tunku Abdul Rahman mendapatkan kemerdekaan melalui diplomasi. Semangat patriotik yang tinggi dari pemimpin terdahulu pastinya dapat di cerap dan diserap oleh generasi muda kini. Izharlah,dengan mempelajari sejarah dapat memupuk semangat patrioti dalam diri setiap rakyat.
     Generasi muda pascamerdeka kurang menghayati kehidupan pada zaman penjajahan kerana celik-celik mata mereka telah dilimpahi harta, dikelilingi bangunan-bangunan pencakar langit dan pelbagai mudahan yang menjadikan mereka leka dan alpa dek kesenangan yang melimpah ruah.  Oleh itu inilah signifikannya media massa tidak kiralah media cetak mahupun media elektronik menyedarkan mereka daripada lamunan indah.Semangat patriotik yang kian luntur dalam diri mereka mestilah dicorakkan semula.  Antara langkah yang boleh diambil ialah dengan memaparkan iklan-iklan berbentuk kesedaran kepada mereka.  Inilah masanya untuk mendendangkan lagu-lagu patriotik di corong-coong radio. Selain itu,bagi mengimbau sejarah perjuangan peminmpin tempatan filem-filem bercorak patriotik seperti Bukit Kepong, Paloh, Embun, Sarjan Hassan dan lain-lain lagi seharusnya menjadi pilihan untuk ditayangkan semula di siaran-siaran televisyen. Hal ini kerana, filem yang sarat dengan pengajaran boleh menyalakan sumbu di dalam hati para penonton akan semangat patriotik yang kian suram dan mempertahankan maruah agama, negara dan bangsa yang telah lama dibiarkan terpadam di dalam diri.  Jelaslah, media massa antara wahana penting untuk menyampaikan semangat patriotik dalam diri seseorang.
     Kesimpulannya, sebagai anak watan yang akan menerajui pucuk kepimpinan negara pada masa hadapan, kita semua perlu sehati sejiwa dan sederap melangkah dengan semangat patriotik yang tinggi dalam diri.  Kini bukan masanya untuk menunding jari kepada pihak lain tetapi inilah masanya untuk kita sama-sama memperbaiki diri masing-masing.  Semangat patriotik yang tinggi seperti rela bekorban hingga ketitisan darah yang terakhir demi kepentingan negara mestilah disemat dalam diri masing-masing.  Obligasi mengekalkan kemerdekaan negara tertanggung di bahu setiap rakyat Malaysia.  Kita mestilah mempertahankan maruah negara daripada diinjak-injak oleh bangsa asing.  Akhir sekali, walaupun terdapat pelbagai usaha yang dilakukan jika tanpa pelaksanaan, sekadar angan-angan kosong untuk melahirkan insan yang berjiwa waja dan bersemangat patriotik maka berpuas hatilah kita dengan retorik tanpa noktahnya.

2 comments: