PEMUPUKAN SEMANGAT PATRIOTIK
Jawapan Nurul Aina Aqilah Abdul Rahim
5RKA
Peperiksaan Percubaan 2015
Jawapan Nurul Aina Aqilah Abdul Rahim
5RKA
Peperiksaan Percubaan 2015
Semangat nasionalisme bererti semangat cintakan negara. Selain itu,
semangat ini juga didefinisikan sebagai semangat patriotik. Di mana bumi
dipijak, di situ langit dijunjung. Peribahasa ini menggambarkan nilai kesetiaan
yang perlu ada dalam jiwa setiap rakyat terhadap negara tercinta. Walaupun
hujan emas di negeri orang hujan batu di negeri sendiri, kita seharusnya
mencurah rasa cinta tidak terhingga terhadap negara tanah tumpahnya darah kita.
Namun, perilaku generasi kini yang lebih memuja budaya barat sehingga malu
untuk menyatakan dirinya sebagai anak timur amat menyedihkan hati. Justeru,
masalah ini perlu diatasi dengan segera agar negara Malaysia tidak hancur
binasa akibat perbuatan rakyatnya sendiri. Persoalannya, apakah langkah-langkah
untuk memupuk semangat patriotik dalam jiwa rakyat?
Pada tanggal 31 Ogos 1957,
negara Malaysia memperoleh kemerdekaan dan kebebasan daripada penjajahan
British. Hal ini merupakan titik mula bagi Malaysia untuk membentuk kerajaan
sendiri. Justeru, bagi menghargai dan mensyukuri kemerdekaan yang diperoleh,
sambutan hari kemerdekaan diadakan dengan meriah pada setiap tahun. Sambutan
ini diadakan untuk memperingati jasa-jasa pemimpin tanah air yang telah memerah
keringat untuk mempertahankan negara. Penyertaan semua rakyat tanpa mengira
agama, budaya, kelas dan kaum dapat memupuk semangat patriotik dalam jiwa
rakyat. Seperti mana yang kita dapat perhatikan, di negara Indonesia, rakyatnya
begitu menghargai kemerdekaan dengan mengibarkan bendera tidak kira di mana
mereka berada. Hari kemerdekaan tidak seharusnya dianggap hanya sebagai hari
cuti atau hari untuk membeli-belah di kompleks pakaian. Hari kemerdekaan
merupakan masa bagi rakyat untuk mengenepikan segala ideologi politik. Hari ini
adalah hari bagi rakyat untuk mengangkat tangan mengibarkan bendera ‘Jalur
Gemilang’ sambil melaungkan kata-kata yang mempamerkan semangat patriotik dalam
diri. Sehati, sejiwa dan sederap. Semua rakyat daripada pelbagai lapisan
masyarakat haruslah seiring dan sejalan dalam mengorak langkah untuk memastikan
negara Malaysia dapat teguh berdiri hingga ke akhir zaman. Jelaslah bahawa
sambutan hari kemerdekaan dapat memupuk semangat patriotik.
Seterusnya, pemupukan
semangat patriotik dapat dilakukan melalui pendidikan di sekolah mata pelajaran
sejarah dapat dijadikan sebagai medium untuk menanam rasa cinta akan negara
dalam diri pelajar. Unsur-unsur patriotik harus diselitkan dalam pengajaran
oleh para guru. Sebagai contoh, tajuk seperti ‘perjuangan pemimpin tempatan
menentang penjajah’ dapat memberi pendedahan kepada pelajar tentang keperitan
dan kepahitan yang dialami oleh generasi dahulu untuk memperoleh kemerdekaan.
Hal ini dapat menimbulkan rasa kesyukuran dalam diri anak muda kerana dapat
hidup dalam suasana yang aman dan harmoni. Justeru, rasa cinta yang bercambah
dalam diri mereka dapat menjadikan mereka rakyat yang setia dan patuh kepada
negara. Perkara ini bertepatan dengan rukun negara yang kedua iaitu, kesetiaan
kepada raja dan negara. Kata seorang tokoh terkenal, ‘sesiapa yang tidak
mengingati sejarah, pasti akan mengulanginya’. Dengan pemupukan semangat
patriotik melalui pendidikan, diharap anak muda kini dapat terus memacu negara
menuju kejayaan. Jelaslah bahawa pendidikan dapat memupuk semangat patriotik.
Di samping itu, semangat
patriotik dapat diwujudkan melalui pelancongan. Pihak kerajaan hauslah
menganjurkan tahun melawat Malaysia pada setiap tahun khusus kepada rakat
Malaysia. Justeru, rakyat dapat menghayati keindahan flora dan fauna di
Malaysia dan menyedari warisan turun temurun yang harus dijaga sepanjang hayat.
Hal in dapat menyedarkan mereka untuk menjaga dan mencintai negara Malaysia yang
penuh dengan pelbagai warisan bangsa. Rakyat Malaysia harus mengenepikan segala
unsur perkauman demi menjaga keindahan Malaysia tercinta. Dengan ini diharap,
secebis rasa cinta akan negara akan timbul dalam diri setiap rakyat dapat
memastikan Malaysia kekal indah dengan pelbagai warna alam. Jelaslah bahawa
semangat patriotik dapat dipupuk melalui pelancongan.
Media massa memainkan
peranan penting untuk memupuk semangat patriotik. Tayangan drama atau filem
berkaitan perjuangan pemimpin negara dapat memberi sedikit gambaran kepada
penonton tentang latar belakang pembentukan negara Malaysia. Namun, media massa
kini kerap menayangkan filem-filem barat yang bukan sahaja merosakkan fikiran
malah ia dapat menghakis jati diri anak muda. Kesannya, mereka terpengaruh
dengan budaya kuning yang menyebabkan generasi kini rosak minda dan budaya.
Walaupun kita berada di negara timur, namun, unsur kebaratan itu lebih banyak
dilihat berbanding unsur ketimuran. Justeru, media massa seharusnya memenuhi
masa tayangan dengan filem yang mempunyai nilai-nilai positif. Sebagai contoh,
filem ‘Embun’ yang menceritakan kisah seorang gadis Melayu semasa penjajahan Jepun
dapat menarik minat penonton. Filem ini memaparkan nilai ketabahan seorang
gadis melawan penjajah. Walaupun usahanya itu kecil, ia dapat menyedarkan
masyarakat untuk terus berani mempertahankan negara. Jika filem seperti ni
menjadi bahan tontonan masyarakat, tidak hairanlah jika satu generasi
berwawasan tinggi dapat terbina. Kata Soekarno, jika diberikan 10 orang pria,
lantas dia dapat menggegarkan dunia. Pemuda pemudi yang bersemangat waja dapat
menjadi pemangkin pembangunan negara. Jelaslah bahawa semangat patriotik dapat
dipupuk melalui tayangan filem.
Ke gunung sama didaki, ke
lurah sama dituruni. Sebagai warganegara Malaysia yang berdaulat, marilah kita
bersama-sama menyemarakkan rasa cinta yang mendalam agar negara dapat terus gah berdiri di persada dunia.
No comments:
Post a Comment