Peranan Pelbagai Pihak Perlu Menangani Isu Pencemaran Alam
Persembahan Kumpulan Siti Fatimah (5RKA SMK
Panglima Bukit Gantang
Seiring
dengan pembangunan pesat yang dijalankan di negara ini sejak satu dasawarsa
dahulu, negara kita telah menghadapi pelbagai masalah dan halangan dalam usaha menuju
ke Wawasan 2020 yang diidam-idamkan. Selama ini, masalah kebersihan awam dan
alam sekitar telah berakar umbi di negara ini serta menjadi semakin kronik
belakangan ini bagai bangkai gajah yang tidak dapat ditutupi dengan
nyiru lagi. Masalah sosial tersebut tidak seharusnya dipandang
enteng memandangkan isu tersebut berkait rapat dengan kesihatan rakyat negara
ini. Sebab-sebab berlakunya pengabaian kebersihan awam dan alam sekitar
hendaklah dikenal pasti supaya langkah-langkah pencegahan dapat diambil demi
kesejahteraan hidup sejagat. Sayugia diingatkan bahawa masalah kebersihan awam
dan alam sekitar dapat mendatangkan kesan buruk yang tidak diingini terhadap
kesihatan rakyat. Secara keseluruhannya, langkah-langkah yang proaktif dan
efektif harus diberikan penekanan dalam usaha mengatasi masalah tersebut. Oleh
itu, semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing kerana bertepuk
sebelah tangan takkan berbunyi.
Ibu
bapa memainkan peranan yang signifikan dalam memastikan kebersihan awam dan
alam sekitar terjamin. Ibu bapa haruslah menitikberatkan didikan agama yang
mantap dalam diri kanak-kanak sejak bangku sekolah lagi kerana melentur
buluh biarlah dari rebungnya. Semua agama menekankan aspek kebersihan
dan menegah penganutnya daripada melakukan kekotoran yang akan menjejaskan
kemaslahatan awam. Dengan adanya didikan agama yang teguh, insan yang
mementingkan kebersihan di tempat awam atau kebersihan alam sekitar dapat
dilahirkan. Selain itu, ibu bapa harus menunjukkan perlakuan yang baik dalam
aspek kebersihan tanpa mengira di mana jua berada kerana tingkah laku mereka
akan menjadi teladan dan ikutan anak-anak mereka kerana ke mana
tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Ibu bapa tidak seharusnya bersikap
seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus, sedangkan dirinya
berjalan senget. Misalannya, ibu bapa haruslah membuang sampah ke dalam
tong sampah dan menggunakan tandas awam dengan baik. Dengan ini, anak-anak yang
masih berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang akan
mencontohi perbuatan ibu bapa mereka dan akan dijadikan sebagai amalan dalam
kehidupan mereka kerana alah bisa tegal biasa. Jadi, didikan
ibu bapa amat penting dalam memastikan kebersihan tempat awam dan alam sekitar
terpelihara.
Selain
itu, guru juga memainkan peranan yang penting dalam memupuk nilai kebersihan
dalam sanubari para pelajar. Pendidikan Moral dan Pendidikan Agama yang
menekankan pembentukan insan yang berkeperibadian mulia dan murni telah
diterapkan dalam sistem pendidikan negara kita. Guru perlu mengajar murid tentang
kepentingan mengamalkan nilai kebersihan dalam hidup terutamanya yang
melibatkan kemaslahatan umum seperti tandas awam dan kawasan rekreasi. Guru
tidak seharusnya leka dalam menjalankan obligasi mereka sebagai pendidik yang
berkesan kerana setiap ajaran guru akan melekat dalam sukma pelajar dan akan
diaplikasikan dalam kehidupan mereka. Sehubungan dengan itu, guru perlu
menitikberatkan aspek kebersihan di dalam kelas dan di kawasan sekolah di
samping menekankan kepentingan penjagaan kebersihan alam sekitar dengan
melarang murid daripada membuang sampah di merata-rata tempat. Konsep bersih
ini diperluas bukan sahaja di dalam kelas tetapi kepada kehidupan yang lebih
menyeluruh. Pihak sekolah dan guru boleh membina taman mini dan landskap supaya
keadaan sekolah lebih cantik dan hijau. Mata pelajaran Pendidikan Moral
dan Pendidikan Agama Islam perlu diajar oleh guru-guru dengan pengisian
aktiviti pembelajaran yang menarik dan berkesan supaya obejektif yang dirancang
tidak tersasar. Langkah yang dijalankan dengan penuh istiqamah ini sudah pasti
dapat mendidik generasi muda kita tentang kemaslahatan amalan kebersihan.
Peranan
media massa juga tidak dapat diketepikan memandangkan media massa seperti
radio, televisyen dan suratkhabar mendatangkan pengaruh yang mendalam dalam
kehidupan sehari-hari. Rancangan dan program yang dapat menyemaikan sikap
rakyat menjaga kebersihan awam harus disiarkan melalui saluran media bercetak
dan media elektronik dari semasa ke semasa untuk menyedarkan rakyat tentang
peri pentingnya kebersihan terhadap kesihatan masyarakat. Kempen-kempen
kebersihan awam seperti Cintailah Sungai Kita dan slogan Negara
Bersih Sihat patut digiatkan dan diharapkan dapat membangkitkan kesedaran sivik
masyarakat negara ini untuk memelihara kebersihan awam. Kempen-kempen yang
dijalankan oleh pihak media massa perlulah berketiak ular dan bukannya
hangat-hangat tahi ayam. Melalui kempen kesedaran ini, masyarakat diseru
untuk menjaga kebersihan alam sekitar dan tempat awam. Dengan ini, sedikit
sebanyak langkah ini dapat membendung dan memastikan bahawa kualiti kebersihan
alam sekitar dan tempat awam senantiasa bersih dan dijaga. Jadi, kempen
kesedaran ini dapat mencapai matlamatnyai apabila semua rakyat sedar akan
kepentingan alam sekitar.
Dalam
pada itu, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan
dengan isu kebersihan seperti Akta Alam Sekitar 1971 dan Akta kilang 1974 bagi
mengatasi masalah kebersihan awam. Hukuman yang lebih berat harus dijatuhi ke
atas mereka yang bersikap bena tak bena terhadap kebersihan awam. Denda wang
ringgit nampaknya masih kurang berkesan untuk menyedarkan rakyat negara ini
berubah sikap. Sekiranya perbuatan mencemarkan alam sekitar dan tempat awam
masih diulangi, denda yang berlipat ganda harus dikenakan dan disertai dengan
hukuman yang lebih tegas. Misalannya, negara Singapura telah mengusulkan banyak
cadangan yang membina dalam usaha membasmi masalah kebersihan awam. Antaranya
ialah rakyat negara itu yang ditangkap membuang sampah sarap atau puntung rokok
ke atas lantai di tempat awam akan dikenakan denda yang tinggi di tempat
kejadian itu juga oleh pegawai polis yang bertugas. Bagi menjaga maruah diri
supaya tidak ditegur atau dikritik ole orang ramai, mereka yang bersalah sudah
tidak berani untuk mengulangi perbuatan terkutuk itu di tempat awam. Maka,
tidak mustahillah negara Singapura digelar Taman Bandar Raya yang terkenal
dengan kebersihannya. Oleh itu, kita harus mencontohi ketegasan undang-undang
negara Singapura kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan
sempadan. Sesungguhnya ketegasan undang-undang mampu melahirkan individu yang
menitikberatkan aspek kebersihan dalam kehidupan
Secara
tuntas, kebersihan awam dapat dijaga dan dipelihara melalui komitmen daripada
pelbagai pihak. Sikap individualistik dan ketiadaan kesedaran sivik terhadap
kebersihan awam perlu dikikis. Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr.
Mahathir bin Mohamad pernah meluahkan perasaan kecewa beliau terhadap sikap
rakyat negara ini yang memandang remeh terhadap kebersihan awam setelah melihat
keadaan di sekeliling Bukit Bintang yang menjijikkan, ditimbuni sampah sarap
yang dihinggapi lalat. Beliau telah menyarankan rakyat Malaysia supaya
mengamalkan sikap mementingkan kebersihan awam dalam kehidupan sehari-hari.
Kebersihan tempat awam sememangnya merupakan aspek yang amat penting untuk
menjamin keharmonian sejagat. Kita tentu tidak ingin generasi yang akan datang
hidup dalam keadaan yang dicemari, menyedut udara yang kotor, serta minum air
yang bermikro organisma. Maka, sebelum nasi menjadi bubur, marilah sama-sama
kita mempraktikkan kebersihan diri dan lebih penting lagi kebersihan awam demi
kesejahteraan hidup pada hari muka!
2 comments:
Kemah
izinkan saya copy yaa
Post a Comment